Selasa, 30 April 2024

Saintis ramal tarikh 'kiamat' kepupusan manusia dan spesies mamalia di bumi

Saintis ramal tarikh 'kiamat' kepupusan manusia dan spesies mamalia di bumi


Satu kajian baharu meramalkan bahawa manusia akan pupus dalam masa 250 juta tahun lagi dan jauh lebih awal sekiranya aktiviti pembakaran bahan api fosil tidak dikekang, lapor portal berita Daily Mail.


Kajian berdasarkan simulasi komputer oleh pasukan saintis Universiti Bristol itu menyatakan, Bumi berdepan kepupusan sejagat yang juga akan menghapuskan semua hidupan mamalia.


"Paras karbon dioksida juga dijangka melonjak dua kali ganda berbanding sekarang. Manusia bersama spesies mamalia lain akan pupus disebabkan ketidakupayaan untuk mengeluarkan haba melalui peluh bagi menyejukkan badan," kata penyelidik kanan merangkap ketua kajian tersebut, Dr. Alexander Farnsworth.


Menurutnya, dalam masa 250 juta tahun lagi, semua benua di Bumi akan bercantum untuk membentuk sebuah benua 'super' dikenali sebagai Pangea Ultima.


Pangea Ultima hanyalah satu unjuran yang mungkin tentang rupa benua besar Bumi sebaik sahaja plat tektonik bergabung.


Walau apa pun penjajaran yang tepat, saintis pasti benua Bumi perlahan-lahan akan bergabung untuk membentuk satu jisim panas, kering dan sebahagian besarnya tidak boleh didiami.


Proses tektonik dalam kerak bumi yang menyatukan benua akan membawa kepada letusan gunung berapi yang lebih kerap, yang akan menghasilkan pelepasan besar karbon dioksida ke atmosfera, seterusnya memanaskan planet ini.


Hasil kajian turut mendapati hanya sekitar lapan hingga 16 peratus daripada tanah di Bumi sesuai untuk didiami spesies mamalia ketika itu, namun kebarangkalian besar bahawa semua spesies tersebut akan pupus.


"Hanya mamalia yang benar-benar unik berpotensi untuk terselamat," jelas Farnsworth, kajian itu diterbitkan dalam jurnal Nature Geoscience.


Ahli akademik itu berkata manusia mungkin boleh bertahan jika kita membina 'tempat perlindungan terkawal alam sekitar dengan penghawa dingin'.


"Tetapi kami mungkin perlu membina kemudahan lain untuk menempatkan pengeluaran makanan juga," katanya.


Satu lagi harapan untuk manusia ialah membentuk tamadun di planet lain dalam sistem suria lain, tetapi perkara itu pada masa ini hanya bahan fiksyen sains. - Sumber Daily Mail.


Imej menunjukkan geografi Bumi hari ini (kiri) dan geografi Bumi yang dijangkakan dalam 250 juta tahun, apabila semua benua berkumpul menjadi satu benua besar (Pangea Ultima). - Foto University of Bristol.

Imej menunjukkan suhu purata bulan paling panas (darjah Celsius) untuk Bumi dan benua super yang diunjurkan (Pangea Ultima) dalam 250 juta tahun, apabila hampir mana-mana mamalia sukar untuk hidup. - Foto University of Bristol.
Bas membawa lebih 50 penumpang terjunam ke dalam gaung sedalam 300 meter

Bas membawa lebih 50 penumpang terjunam ke dalam gaung sedalam 300 meter


Sekurang-kurangnya 25 orang maut dan 13 lagi cedera apabila sebuah bas terjunam ke dalam gaung dari jalan pergunungan di utara Peru pada malam Ahad, kata pihak berkuasa tempatan pada Isnin.


Pegawai tempatan Olga Bobadilla memberitahu radio RPP bahawa kejadian berlaku kira-kira jam 10.10 malam waktu tempatan di jalan tanah berlubang di wilayah Andes Cajamarca. Bas itu jatuh ke dalam jurang sedalam kira-kira 200 meter (650 kaki).


Ketua polis di wilayah Celendin, Hugo Uriarte, yang memberitahu media tempatan berkata, bas itu berlepas dengan 35 penumpang tetapi mengambil lebih ramai individu di sepanjang laluan itu.


Operasi menyelamat masih diteruskan yang menghadapi kesukaran untuk akses ke lokasi insiden akibat jurang yang dalam, kata Uriarte.


Ketua Komunikasi wilayah Celendin, Jaime Herrera memberitahu TV Peru yang dikendalikan kerajaan bahawa bas itu yang terdampar di Sungai Sendamal, menyebabkan beberapa penumpang hanyut dibawa arus.


Sebahagian daripada mangsa yang terselamat termasuk pemandu bas, mengalami kecederaan serius dan telah dibawa ke hospital di Celendin dan Cajamarca.


Pihak berkuasa sedang mengumpulkan maklumat daripada mangsa yang terselamat untuk menentukan punca kemalangan.


Bandar Celendin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dalam satu kenyataan dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh. Ia juga mengisytiharkan tempoh berkabung selama 72 jam di seluruh wilayah itu. - Sumber South China Morning Post.


Bas itu berlepas dengan 35 penumpang tetapi mengambil lebih ramai individu di sepanjang laluan itu. - Foto AFP.

Isnin, 29 April 2024

Wanita lintas jalan di lebuhraya sehingga akibatkan kemalangan maut disambung reman

Wanita lintas jalan di lebuhraya sehingga akibatkan kemalangan maut disambung reman


Seorang wanita yang memberhentikan kenderaan dipandu sebelum melintas jalan sehingga mengakibatkan kemalangan maut di KM98.6 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah Timur di Temerloh pada 26 April lalu disambung reman, hari ini (Isnin).


Terdahulu, wanita berusia 35 tahun itu ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan memberitahu, tempoh tahanan reman disambung untuk melengkapkan siasatan.


"Hari ini baru sambung (reman), belum ada keputusan (tempoh tahanan)," katanya hari ini.


Dalam kejadian tersebut, seorang lelaki berusia 34 tahun yang bertugas sebagai pemuzik di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya merempuh sebuah pikap jenis Mitsubishi Triton.


Menurutnya, tindakan wanita tersebut menyebabkan pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton terpaksa menekan brek secara mengejut.


Pada masa yang sama, mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki GSX-R1000 dari arah belakang gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang kenderaan tersebut.


"Mangsa terjatuh di lorong laju, manakala motosikalnya tercampak ke bahagian belakang Mitsubishi Triton yang dirempuhnya," katanya.


Ujarnya, akibat kemalangan itu, mangsa yang parah di bahagian dada disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku sejurus pemandu kenderaan pacuan empat roda menekan brek mengejut selepas wanita yang memandu kenderaan jenis utiliti sukan berhenti di bahu kiri jalan sebelum melintas ke kanan laluan itu.
Lelaki langgar, tikam penunggang curi basikal kesayangannya

Lelaki langgar, tikam penunggang curi basikal kesayangannya


Berang terlihat basikalnya yang baru dicuri ditunggang orang tidak dikenali, seorang lelaki bertindak menikam penunggang basikal itu dari belakang, lapor akhbar Mirror UK pada 27 April 2024.


Reece Lowndes, 23, bengang apabila dia melihat James Gregory menunggang basikalnya di St Helens, lalu bertindak menendang dan menikam mangsa.


Sebelum kejadian tikaman itu, mangsa dirempuh dengan kereta BMW 1 Series hitam milik Lowndes dari arah belakang.


Ketika rempuhan, kereta Lowndes itu dipandu rakannya Connor Richards yang dirujuk sebagai defendan bersama manakala Lowndes di tempat duduk penumpang hadapan.


Mahkamah Liverpool Crown pada Jumaat diberitahu, berdasarkan rakaman dari kawasan berhampiran kejadian kira-kira jam 4 petang 12 September tahun lalu itu, selepas mangsa dirempuh kereta dan semasa kenderaan itu masih bergerak, Lowndes melompat keluar dari keretanya dan terus menendang mangsa.


Lowndes dari Chiltern Road itu kemudian menikam James ketika mangsa terbaring tidak berdaya, lapor Liverpool Echo.


Pendakwa Raya Stella Hayden, menggambarkan bagaimana Lowndes mendekati pengadu (mangsa) dan segera melancarkan sepakan kuat yang menjatuhkan mangsanya ke lantai jalan.


Selepas itu, Lowndes mula memberi tendangan dan tumbukan ke atas James sebelum menikamnya dari belakang.


Hakim Anil Murray menjatuhi hukuman penjara selama 33 bulan terhadap Lowndes selepas tertuduh mengaku mencederakan dan memiliki senjata dalam serangan di tempat awam.


Richards sebagai defendan bersama, yang tidak pernah disabitkan kesalahan sebelum ini juga sepatutnya mengetahui nasibnya serentak keputusan terhadap Lowndes, tetapi kesnya ditangguhkan untuk mendapatkan laporan lanjut sebelum hukuman ditetapkan.


Dia akan dibawa semula ke mahkamah pada 17 Mei, dibebaskan dengan ikat jamin selepas turut mengaku bersalah melakukan kecederaan parah. - Sumber Mirror UK.


Reece Lowndes dijatuhi hukuman 33 bulan. - Foto Liverpool Echo.

Ahad, 28 April 2024

Bertengkar dengan isteri punya pasal, menantu bakar rumah mertuanya

Bertengkar dengan isteri punya pasal, menantu bakar rumah mertuanya


Sebuah rakaman tular di media sosial Indonesia hari ini memaparkan perbuatan seorang menantu lelaki membakar rumah mertua selepas dia bertengkar dengan isterinya, lapor akhbar Tribunnews pada 28 April 2024.


Kejadian dilaporkan berlaku di Kota Makassar, wilayah Sulawesi Selatan semalam sekitar pukul 2.13 pagi (waktu tempatan).


Menerusi rakaman itu, suspek dilihat menyimbah petrol pada kediaman mangsa lalu menyalakan api sebelum meninggalkan tempat kejadian.


Api yang kemudian marak dapat segera dipadamkan oleh pemilik rumah, namun kebakaran itu menyebabkan meja dan dinding hadapan kediamannya rosak.


Pegawai polis tempatan, Muhammad Idris mengesahkan kejadian itu dan mangsa telah membuat laporan polis.


"Pemilik rumah sudah membuat laporan polis. Kami sudah mendapat rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.


"Semalam dia tidak melaporkannya tetapi kami mengarahkannya. Kes seperti ini harus membuat laporan kepada polis kerana sudah menjadi lain daripada yang lain," kata Idris.


Jelas Idris, pihaknya masih memburu suspek yang melarikan diri sejak dari hari kejadian.


Ketika kejadian, Muhammad Idris mengakui dia segera ke lokasi kejadian dan kes itu dilaporkan secara rasmi oleh bapa mentua selepas dikunjungi kakitangannya.


"Malam itu, kami segera menanganinya, namun pelaku melarikan diri," jelasnya kepada Tribun-Timur.com pada petang Sabtu (27/4/2024). - Sumber Tribun News.


Lelaki tersebut bertindak membakar rumah mertuanya selepas bertengkar dengan isterinya. - Foto Tribun News.

Lelaki Ghana mencipta rekod dunia baharu peluk lebih 1,100 pokok dalam masa sejam

Lelaki Ghana mencipta rekod dunia baharu peluk lebih 1,100 pokok dalam masa sejam


Seorang lelaki Ghana yang sedang mengikuti pengajian perhutanan di Alabama, Amerika Syarikat (AS) berjaya mencipta rekod dunia baharu apabila memeluk 1,123 batang pokok dalam masa sejam.


Abubakar Tahiru, 29, berminat dengan pemuliharaan alam semula jadi semasa membesar dalam komuniti petani di Tepa Ghana.


Selepas menamatkan pengajian ijazah sarjana muda pengkhususan dalam perhutanan di salah sebuah universiti terkemuka di Ghana, Abubakar berpindah ke Alabama, AS tahun lepas untuk memulakan ijazah sarjana dalam perhutanan di Auburn University.


Percubaan rekodnya dilakukan di Taman Hutan Negara Tuskegee, salah satu daripada empat hutan negara di negeri Alabama yang kaya dengan kayu.


Dalam percubaan rekod itu, Abubakar perlu memeluk pokok dengan kedua-dua belah tangannya tanpa menyebabkan kerosakan dan dia perlu bertindak pantas semasa melakukan aksinya itu.


Semasa acara itu, dia dikatakan sedang berpuasa dalam bulan Ramadan dan percubaan tersebut dikatakan sangat mencabar kepada dirinya.


"Tidak dapat meminum air sepanjang percubaan ini telah menimbulkan cabaran yang ketara, terutamanya ketika memberikan tenaga fizikal yang diperlukan," katanya.


Dengan purata 19 pokok seminit, Abubakar dengan mudah melepasi syarat minimum 700 pokok untuk menjadi pemegang pertama rekod ini.


Rekod dunia itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan untuk menjaga dan memulihara alam sekitar. - Sumber Guinness World Records.


Abubakar memeluk pokok untuk mencipta rekod dunia baharu di Taman Hutan Negara Tuskegee, AS. - Foto Guinness World Records.

Sabtu, 27 April 2024

Gunung berapi Erebus di Antartika kini muntahkan emas setiap hari

Gunung berapi Erebus di Antartika kini muntahkan emas setiap hari


Sebuah gunung berapi di Benua Antartika memuntahkan ketulan-ketulan emas kecil bernilai sekitar AS$6,000 (RM28,656) setiap hari, lapor agensi berita United Press International (UPI) pada 25 April 2024.


Menurut kajian 2017, benua beku ini mempunyai 138 gunung berapi dengan sekitar sembilan daripadanya dilaporkan aktif. Dengan ketinggian puncak 12,448 kaki (3,794 meter), Gunung Erebus adalah yang paling terkenal.


Gunung Erebus merupakan gunung berapi paling aktif di selatan di Bumi, yang terletak di antara dua lapisan glasier yang memberikan sedikit haba di tengah-tengah landskap beku.


Kira-kira 80 gram emas dimuntahkan setiap hari melalui letusan gelembung gas, manakala emas dikesan sehingga sekitar 900 kilometer dari gunung berapi itu, demikian menurut penyelidik-penyelidik Antartika.


Erebus adalah salah satu daripada tiga gunung berapi yang membentuk Pulau Ross.


Difahamkan, gunung berapi itu pernah meletus pada tahun 1841 semasa pelayaran Kapten James Clask Ross yang melakukan tinjauan magnet di Artik dan Antartika.


Para saintis masih memerhati gunung berapi melalui Balai Cerap Gunung Erebus dan menjalankan kempen lapangan untuk mencari bentuk kehidupan yang melampau.


Imej satelit gunung berapi mendedahkan tasik lava yang telah menggelegak sejak sekurang-kurangnya 1972, menurut IFL Science.


Gunung berapi itu kerap mengepam keluar kepulan gas dan wap dan telah diketahui mengeluarkan bongkah batu separa cair yang dikenali sebagai 'bom gunung berapi.'


Walaupun bom gunung berapi menarik, ia adalah letupan gas yang menyemburkan kristal kecil emas logam yang mengejutkan saintis, yang menganggarkan gunung berapi itu memuntahkan sekitar 80 gram emas sehari, yang bernilai sekitar AS$6,000.


Emas itu telah ditemui ratusan kilometer jauhnya dari Gunung Erebus. Penyelidik Antartika telah mengesan kesan debu emas di udara ambien sehingga 900 kilometer dari gunung berapi. - Sumber UPI dan The Sun UK.


Gunung Erebus ialah gunung berapi aktif tertinggi di Antartika dengan ketinggian puncak 12,448 kaki. - Foto Alamy.

Gunung berapi Erebus memuntahkan 80 gram kristal emas setiap hari yang dianggarkan bernilai AS$6,000. - Foto Alamy.
Seorang guru wanita mengaku $embelih teman lelakinya kerana curang

Seorang guru wanita mengaku $embelih teman lelakinya kerana curang


Seorang guru sekolah rendah mengaku menyembelih teman lelakinya yang curang dan menanamnya di taman berhampiran, pengakuan ditulis dalam catatan diarinya.


Menurut akhbar Daily Mail pada 26 April 2024 melaporkan, Fiona Beal, 50, mengikat Nicholas Billingham, 42, ke katil dengan tali kabel kemudian menikam lehernya.


Selepas membunuh pasangannya di rumah mereka di Northampton pada 1 November 2021, guru wanita itu menghantar mesej kepada rakan-rakan mendakwa mereka berdua positif Covid dan terpaksa mengasingkan diri.


Mayat Billingham ditemukan pada Mac 2022, empat bulan selepas dia kali terakhir dilihat masih hidup. 


Selepas digali, mayat itu ditemui dibalut dengan kain di dalam kubur sementara, yang diisi dengan beg kompos dan sepuluh beg 22.5kg Batu Cotswold yang dibeli oleh Beal daripada kedai B&Q.


Perbicaraan pertama mendengar bahawa Beal menggunakan telefonnya untuk menghantar mesej kepada kawan-kawan dan rakan sekerjanya selepas pembunuhan itu.


Beal yang juga guru tahun enam sudah menukar pengakuannya kepada bersalah ketika perbicaraan semula di Old Bailey.


Mahkamah diberitahu Beal juga mendakwa dia 'dikawal dan dimanipulasi' oleh Billingham sambil menjelaskan "mengapa dia membunuhnya seperti yang dia lakukan."


Bercakap selepas perbicaraan, Pegawai Penyiasat Kanan Ketua Detektif Inspektor Adam Pendlebury berkata, pihaknya lega Beal kini mengambil keputusan untuk mengakui dia memang membunuh Billingham.


"Berharap ia membawa penyelesaian teka-teki pembunuh sebenar yang bermain di fikiran keluarga si mati selama lebih daripada dua tahun.


"Berita ini akan menjadi sangat melegakan kerana mereka menunggu hukuman dilaksanakan terhadap pembunuh dijangka bulan depan," katanya.


Hakim Mark Lucraft memberitahunya: "Anda pagi ini telah mengaku bersalah atas pembunuhan, seperti yang anda diberitahu, membawa hukuman penjara seumur hidup."


Semasa juri meninggalkan bilik mahkamah, Beal yang sebak mengesat matanya dengan tisu.


Pada Mac 2022, empat bulan selepas dakwaan pembunuhan, polis telah dipanggil ke kabin percutian yang disewa Beal di Cumbria di tengah-tengah kebimbangan terhadap kebajikannya.


Pegawai menemui diari yang mana Beal menggariskan rancangannya di bawah alter egonya 'Tulip 22', yang menunjukkan sisi yang sama sekali berbeza dengan personalitinya. - Sumber Daily Mail.


Rakaman CCTV memaparkan Beal meninggalkan kedai perkakasan B&Q di Northampton pada 13 November 2021, di mana dia membeli sepuluh beg kompos 50 liter, sepuluh beg 22.5kg Batu Cotswold dan palung plastik kelabu. - Foto Daily Mail.

Beal mengebumikan teman lelakinya di dalam kubur sementara bersama dengan beg kompos dan sepuluh beg 22.5kg Batu Cotswold yang dibelinya dari kedai B&Q khas untuk tujuan itu. - Foto Daily Mail.

Beal (kiri) akhirnya mengaku membunuh teman lelakinya, Billingham. - Foto Daily Mail.
'Spiderman' dan 'Spiderwomen' dicekup polis kerana melakukan aksi berbahaya atas motosikal

'Spiderman' dan 'Spiderwomen' dicekup polis kerana melakukan aksi berbahaya atas motosikal


Akibat teruja buat aksi 'stunt' yang tidak kena tempat, seorang lelaki dan seorang wanita yang berpakaian adiwira 'Spiderman' dan 'Spiderwomen' telah ditahan polis selepas didapati membuat tindak tanduk berbahaya atas motosikal di jalan raya sekitar Dwarka, New Delhi, India.


Selain didakwa melakukan aksi itu, pasangan dikenali sebagai Aditya, 20, dan Anjali, 19, turut didakwa menunggang motosikal tanpa cermin sisi dan nombor plat, kata polis pada Jumaat.


Mereka memperkenalkan diri sebagai 'Spiderman dan 'Spiderwoman' India dan aksi itu dimuat naik dalam akaun Instagram dengan bertajuk 'Spiderman Nagafgarh Part 5'.


Dalam video itu, Spiderwomen mendekati rakan-rakan di kejiranannya dan bersalam dengan mereka. Kemudian dia menunggang motosikal dan menuju ke jalan raya sekitar New Delhi.



Kemudian semasa dalam perjalanan, mereka dilihat bercakap antara satu sama lain dan tiba-tiba melakukan gerakan seperti mendepa tangan atas motosikal.


Selepas video mereka tular di media sosial, polis trafik New Delhi berjaya menahan mereka dan mengenakan saman di bawah Akta Kenderaan Bermotor.


"Pihak berkuasa telah mengambil tindakan tegas untuk memastikan keselamatan jalan raya di bandar ini, bagi mengelak perbuatan seperti itu berlaku pada masa hadapan," kata polis trafik New Delhi.


Pasangan itu dilaporkan memuat aksi mereka dalam akaun Instagram bertajuk 'India Spidey Official' telah mempunyai 10,000 pengikut dan beberapa video mereka mendapat lebih 70,000 tanda suka. - Sumber India Today.


'Spiderman' dan 'Spiderwomen' India dicekup polis New Delhi kerana melakukan aksi berbahaya atas motosikal. - Foto India.com.

Jumaat, 26 April 2024

Penumpang pesawat rakam UFO berbentuk silinder 'muncul' di langit New York

Penumpang pesawat rakam UFO berbentuk silinder 'muncul' di langit New York


Seorang ibu yang duduk bersama anak perempuannya di tepi tingkap sebuah pesawat terkejut apabila melihat satu objek terbang tidak dikenali (UFO) berbentuk silinder terbang di langit Bandar Raya New York, lapor akhbar Metro UK, semalam.


Michelle Reyes, merakam video objek misteri itu di sekitar Lapangan Terbang LaGuardia baru-baru ini dan menghantarnya kepada pihak berkuasa persekutuan.


"Perkara pertama yang saya lakukan adalah menghantar e-mel kepada FAA (Pentadbiran Penerbangan Persekutuan) untuk memberitahu mereka apa yang saya lihat.


"Malangnya, saya tidak mendapat maklum balas daripada mereka (pihak FAA)," katanya kepada program Banfield di stesen televisyen News Nation pada malam Rabu.


Reyes turut menunjukkan rakaman itu kepada bapanya yang berkhidmat dengan Tentera Laut Amerika Syarikat.


"Dia tidak tahu apakah objek itu. Dia juga bingung seperti saya," katanya.


Reyes berkata, dia turut berkongsi klip itu dengan pangkalan data UFO nasional dan Enigma Labs, yang merupakan satu-satunya organisasi yang bertindak balas. Dia juga berkata ada saksi lain.


"Seorang ibu lain dalam penerbangan itu berkata bahawa dia telah menyedarinya ketika berada di udara, jadi saya bukan satu-satunya yang melihatnya," kata Reyes.


Pengacara siaran UFO Witness di saluran Discovery+, Ben Hansen berkata, pasukannya telah menganalisis video Reyes dan mendapati tiada bukti bahawa dia memalsukan atau menipu kandungan tersebut. - Sumber Metro UK.


Reyes rakam video UFO berbentuk selinder di langit Lapangan Terbang LaGuardia, New York baru-baru ini. - Foto News Nation.