Selasa, 30 April 2024

Bas membawa lebih 50 penumpang terjunam ke dalam gaung sedalam 300 meter


Sekurang-kurangnya 25 orang maut dan 13 lagi cedera apabila sebuah bas terjunam ke dalam gaung dari jalan pergunungan di utara Peru pada malam Ahad, kata pihak berkuasa tempatan pada Isnin.


Pegawai tempatan Olga Bobadilla memberitahu radio RPP bahawa kejadian berlaku kira-kira jam 10.10 malam waktu tempatan di jalan tanah berlubang di wilayah Andes Cajamarca. Bas itu jatuh ke dalam jurang sedalam kira-kira 200 meter (650 kaki).


Ketua polis di wilayah Celendin, Hugo Uriarte, yang memberitahu media tempatan berkata, bas itu berlepas dengan 35 penumpang tetapi mengambil lebih ramai individu di sepanjang laluan itu.


Operasi menyelamat masih diteruskan yang menghadapi kesukaran untuk akses ke lokasi insiden akibat jurang yang dalam, kata Uriarte.


Ketua Komunikasi wilayah Celendin, Jaime Herrera memberitahu TV Peru yang dikendalikan kerajaan bahawa bas itu yang terdampar di Sungai Sendamal, menyebabkan beberapa penumpang hanyut dibawa arus.


Sebahagian daripada mangsa yang terselamat termasuk pemandu bas, mengalami kecederaan serius dan telah dibawa ke hospital di Celendin dan Cajamarca.


Pihak berkuasa sedang mengumpulkan maklumat daripada mangsa yang terselamat untuk menentukan punca kemalangan.


Bandar Celendin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dalam satu kenyataan dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh. Ia juga mengisytiharkan tempoh berkabung selama 72 jam di seluruh wilayah itu. - Sumber South China Morning Post.


Bas itu berlepas dengan 35 penumpang tetapi mengambil lebih ramai individu di sepanjang laluan itu. - Foto AFP.


EmoticonEmoticon