Jumaat, 23 September 2022

Lelaki maut selepas tertelan tulang ikan menyebabkan ususnya berlubang

Lelaki maut selepas tertelan tulang ikan menyebabkan ususnya berlubang


Seorang petani di Sri Lanka maut selepas tertelan tulang ikan yang menembusi ususnya serta mencetuskan jangkitan yang membawa maut. Laporan kes yang memperincikan kejadian itu diterbitkan dalam jurnal perubatan, International Journal of Surgery Case Reports.


Memetik laporan akhbar New York Post pada 20 September 2022, pesakit berusia 60 tahun dengan namanya tidak didedahkan itu mengunjungi Hospital Besar Daerah di Sri Lanka selepas mengalami sakit perut, muntah, sembelit dan perut kembung selama tiga hari.


Selepas mengesyaki pesakit berkenaan mengalami kejutan septik, doktor bergegas membawanya ke unit rawatan rapi, di mana imbasan mendapati perutnya dipenuhi cecair.


Gejala itu menunjukkan bahawa buah pinggang pesakit berkenaan telah berhenti berfungsi yang menunjukkan tanda-tanda kemungkinan sepsis, di mana sistem imun badan bertindak menyerang organnya sendiri.


Selepas menjalani pembedahan selama dua jam, kakitangan perubatan menemui lubang kecil pada usus petani tersebut yang berpunca daripada tulang ikan sepanjang 2 sentimeter, lapor akhbar Daily Mail.


Serpihan tulang yang kelihatan tidak berbahaya itu membocorkan usus pesakit berkenaan, menyebabkan najis meresap keluar dan kuman menjangkiti dinding perutnya. Akibatnya, usus membesar manakala nanah kuning terkumpul di sekeliling lubang itu.


Dalam usaha untuk menyelamatkan pesakit tersebut, doktor menghiris sebahagian usus berukuran 10 sentimeter dan mengalirkan lubang tersebut dengan tujuan untuk menyambung semula usus yang sihat selepas jangkitan dihapuskan.


Meskipun telah berusaha sedaya upaya, pesakit itu bagaimanapun meninggal dunia akibat serangan jantung hanya lapan jam selepas dimasukkan ke bilik kecemasan, demikian menurut laporan tersebut.


"Tulang ikan adalah penyebab utama 'perforasi gastrousus'," tulis penulis kajian.


Dalam cara kematian yang sama pada 2021, seorang lelaki Belanda mati tercekik selepas menelan kunci keretanya ketika bercuti di Sepanyol. - Sumber New York Post.


Seorang petani meninggal dunia secara tragis akibat jangkitan kuman selepas tertelan tulang ikan. Dia juga tidak mengingati pernah menelan tulang ikan tersebut. - Foto B.M. Munasinghe/IJSCR.

Khamis, 22 September 2022

Planet Musytari akan berada pada kedudukan paling dekat dengan Bumi 26 September ini

Planet Musytari akan berada pada kedudukan paling dekat dengan Bumi 26 September ini


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menyatakan bahawa Planet Musytari akan berada pada kedudukan paling hampir dengan Bumi pada 26 September ini, lapor akhbar Daily Mail pada 20 September 2022.


Ini bermaksud orang ramai berpeluang melihat planet terbesar dalam sistem suria itu dalam keadaan paling jelas ketika ia menghampiri Bumi pada jarak paling dekat bagi tempoh 59 tahun.


"Orang ramai berpeluang melihat pemandangan indah Planet Musytari sepanjang malam 26 September ini apabila ia mencapai kedudukan tersebut," kata NASA dalam satu hantaran blog.


Fenomena 'pertentangan' itu berlaku dari sudut pandangan Bumi apabila planet itu berada di bahagian timur dan Matahari terbenam di Barat. Ia akan meletakkan Matahari dan Musytari pada kedudukan yang benar-benar bertentangan antara satu sama lain.


Pertentangan Musytari berlaku dalam tempoh setiap 13 bulan, namun pada 26 September ini, planet tersebut akan kelihatan lebih terang dan besar berbanding biasa.


"Bukan itu sahaja, Musytari akan berada paling hampir dengan Bumi dalam tempoh 59 tahun. Kali terakhir ia mencapai pendekatan paling dekat dengan Bumi sejak 1963," kata NASA.


Musytari dikatakan akan berada pada jarak 587 juta kilometer dari Bumi ketika ia dalam kedudukan paling hampir dengan planet kita. Planet besar itu terletak kira-kira 965 juta kilometer dari Bumi pada titik paling jauh. 


Menurut NASA, Bumi dan Musytari tidak mengorbit Matahari dalam bulatan sempurna, ini bermakna mereka melepasi satu sama lain pada jarak yang berbeza sepanjang tahun.


"Pendekatan Musytari yang paling dekat dengan Bumi hampir tidak pernah bertepatan, yang bermaksud pandangan tahun ini akan menjadi 'luar biasa'," kata NASA.


Walaupun Musytari adalah salah satu daripada beberapa planet yang boleh dilihat dengan mata kasar, NASA masih mengesyorkan menggunakan beberapa jenis instrumen.


"Dengan teropong yang baik, pita (sekurang-kurangnya jalur tengah) dan tiga atau empat satelit Galilea (bulan) seharusnya dapat dilihat," kata Adam Kobelski, ahli astrofizik penyelidikan di Pusat Penerbangan Angkasa Marshall NASA di Huntsville, Alabama, dalam satu kenyataan.


Kobelski berkata, tempat 'menonton' yang ideal adalah pada ketinggian yang tinggi di kawasan yang gelap dan kering.


"Teleskop 4-inci atau lebih besar akan membolehkan pemerhati melihat Bintik Merah Besar Musytari dan jalur dengan lebih terperinci," katanya. - Sumber Daily Mail.


Musytari akan berada paling hampir dengan Bumi dalam tempoh 59 tahun. - Foto NASA.

Rabu, 21 September 2022

Petani temui mozek era Byzantine yang memiliki corak 'aneh' ketika bercucuk tanam di kebun zaitunnya

Petani temui mozek era Byzantine yang memiliki corak 'aneh' ketika bercucuk tanam di kebun zaitunnya


Seorang petani Palestin dan anaknya menemui artifak berupa mozek berharga ketika era Byzantine, yang bercorak pelbagai jenis burung berwarna-warni dan beberapa haiwan lain selepas membuat penggalian hampir tiga bulan di kebunnya, lapor akhbar Reuters pada 18 September 2022.


Penemuan mozek itu mendapat perhatian dalam kalangan ahli arkeologi tempatan kerana ia merupakan salah satu khazanah arkeologi terbesar pernah ditemui di Gaza.


Salman al-Nabahin menemui peninggalan berkenaan enam bulan lalu ketika melakukan kerja bercucuk tanam di kebun zaitunnya di kem pelarian Bureij, kira-kira satu kilometer dari sempadan Israel.


"Saya memilih untuk merahsiakan penemuan ini sehingga sesi penggalian tamat dan menutup mozek itu menggunakan kepingan timah sepanjang tiga bulan lepas," kata Salman.


Menurutnya, pada mulanya dia hairan dan tertanya-tanya berikutan beberapa pokok yang ditanamnya tidak tumbuh dengan baik.



Beliau bersama anaknya kemudian menggali tanah berkenaan sebelum kapak digunakan anaknya terkena sesuatu yang keras dan tidak dikenali rupanya.


"Saya membuat carian di internet sebelum mengetahui ia adalah mozek milik era Byzantine.


"Saya melihatnya sebagai sesuatu yang sangat berharga, lebih mahal daripada harta, ia bukan kepunyaan peribadi namun milik setiap rakyat Palestin," kata bapa kepada tujuh anak itu.


Sementara itu, menurut Kementerian Pelancongan dan Kepurbaan Palestin, lantai membabitkan beberapa panel mozek berkenaan menggambarkan haiwan dan ciri-ciri lain kehidupan sosial ketika era Byzantine.


"Penemuan arkeologi masih di peringkat awal dan kami menunggu untuk mengetahui lebih lanjut mengenai rahsia dan nilai ketamadunannya.


"Pasukan penyelidik kebangsaan sedang bekerjasama dengan pakar dan saintis antarabangsa dari Sekolah Arkeologi Perancis bagi tujuan itu," katanya dalam satu kenyataan.


Susulan penemuan tersebut, ramai golongan profesional memohon perlindungan terhadap barangan purba yang ditemui di Gaza kerana bimbang konflik dengan Israel boleh memusnahkan peninggalan sejarah yang ada. - Sumber Reuters.


Petani Palestin Salman al-Nabahin membersihkan lantai mozek era Byzantine yang ditemuinya di kebunnya. Gambar ini diambil pada 18 September 2022. - Foto Reuters/Ibraheem Abu Mustafa.

Pemandangan lantai mozek yang dibuat sejak era Byzantine. Gambar diambil pada 18 September 2022. - Foto Reuters/Ibraheem Abu Mustafa.

Salman al-Nabahin mencuci mozek lantai era Byzantine yang ditemui di kebunnya. Gambar diambil pada 18 September 2022. - Foto Reuters/Ibraheem Abu Mustafa.

Tapak penggalian mozek era Byzantine yang ditemui oleh seorang petani Palestin. - Foto New York Post.
'Simpanan' emas dan tembaga bernilai berbilion ringgit ditemui di Arab Saudi

'Simpanan' emas dan tembaga bernilai berbilion ringgit ditemui di Arab Saudi


Kerajaan Arab Saudi, pada Khamis lepas mengumumkan penemuan tapak galian emas dan bijih tembaga baharu di wilayah Madinah, lapor Al Arabiya News pada 16 September 2022.


Penemuan bijih emas itu berada dalam sempadan Aba al-Raha, di wilayah Madinah, kata Pemantauan Geologi Arab Saudi dalam catatan di media sosial. Ia turut menyatakan bijih tembaga ditemui di empat tapak di wilayah Wadi Al-Faraa juga di Madinah.


Al Arabiya News melaporkan, penemuan baharu itu dijangka menarik pelabur tempatan dan antarabangsa dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.


Laman web itu melaporkan, ia mempunyai saiz pelaburan yang dijangkakan sebanyak AS$533 juta (kira-kira RM2.4 bilion) dan dijangka menjana sekitar 4,000 pekerjaan.


Perlombongan adalah satu daripada sektor yang dikenal pasti untuk pengembangan ekonomi sebagai sebahagian daripada matlamat Wawasan 2030, yang diilhamkan oleh Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman.


Pada Jun, apabila Putera Mahkota Saudi mengumumkan keutamaan negara untuk sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan mampan sektor perlombongan yang berkembang pesat turut menjadi titik tumpuan.


Pada Mei, Kementerian Perindustrian dan Sumber Mineral Arab Saudi menggariskan rancangan untuk menarik AS$32 bilion (kira-kira RM145 bilion) pelaburan ke dalam sektor perlombongan.


Pada bulan Januari lalu, Profesor Abdulaziz bin Labon, Pengerusi Persatuan Koperasi Ahli Geologi Arab Saudi memberitahu SPA bahawa negara itu mempunyai sekurang-kurangnya 5,300 lokasi mineral sama ada yang berbentuk logam atau bukan logam, bahan binaan, batu hiasan dan batu permata.


Sasaran kementerian akan membiayai sembilan projek perlombongan untuk mineral dan logam. - Sumber Al Arabiya News.


Foto fail menunjukkan lombong emas Al Amar, 200 kilometer dari barat daya Riyadh. - Foto fail Reuters.

Isnin, 19 September 2022

Pendapatan tahun lepas mencecah RM28.5 bilion, Mesir naikkan lagi kadar tol Terusan Suez

Pendapatan tahun lepas mencecah RM28.5 bilion, Mesir naikkan lagi kadar tol Terusan Suez


Kerajaan Mesir mengumumkan kenaikan yuran transit bagi semua jenis kapal termasuk pengangkut minyak yang melalui Terusan Suez. Perkara itu diumumkan oleh Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA) dalam kenyataan, kelmarin.


Menurut kenyataan itu, sebanyak 15 peratus kenaikan bayaran akan dikenakan kepada kapal tangki yang membawa minyak dan produk petroleum, di samping 10 peratus peningkatan untuk pengangkut pukal kering serta kapal persiaran.


Pengerusi SCA, Osama Rabie, seperti yang dilaporkan agensi berita Xinhua berkata, kenaikan yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 itu adalah tidak dapat dielakkan dan merupakan satu keperluan.


Menurut beliau, faktor yang mencetus kepada kenaikan tersebut adalah kadar inflasi global yang semakin melonjak, sekali gus meningkatkan kos operasi, penyelenggaraan dan perkhidmatan maritim laluan air paling penting di dunia itu.


Kira-kira 10 peratus daripada kapal dagangan global termasuk tujuh peratus daripada kapal minyak di dunia menggunakan Terusan Suez yang menghubungkan Laut Mediterranean ke Laut Merah.


Pihak berkuasa berkata, terdapat 20,649 kapal melalui terusan itu pada tahun lepas, peningkatan 10 peratus berbanding 18,830 kapal pada 2020. 


Ia sekali gus menjadikan pendapatan yang diperoleh daripada laluan di situ sebagai sumber utama penyaluran mata wang asing ke Mesir.


Pendapatan tahunan Terusan Suez pada 2021 mencecah AS$6.3 bilion (RM28.5 bilion), jumlah tertinggi dalam sejarah negara.


Negara itu bagaimanapun kini berdepan cabaran ekonomi yang serius dan semakin kehabisan mata wang asing yang diperlukan untuk membeli keperluan komoditi seperti bijirin serta bahan api.


BACA: Dunia rugi RM1.6 bilion sejam, disebabkan kapal kontena besar tersadai di Terusan Suez.


Rakaman trafik yang boleh dilihat di Terusan Suez. - Foto Pusat Media Terusan Suez.
Doktor mengeluarkan kain kasa yang tertinggal dalam badan pesakit selama 20 tahun

Doktor mengeluarkan kain kasa yang tertinggal dalam badan pesakit selama 20 tahun


Doktor berjaya mengeluarkan gumpalan kain kasa daripada badan seorang wanita selepas ia ditinggalkan secara tidak sengaja semasa pesakit itu menjalani pembedahan usus 20 tahun lalu, lapor akhbar New York Post pada 16 September 2022.


Kajian kes mengenai prosedur pembedahan wanita itu diterbitkan pada Julai lalu dalam Jurnal perubatan Cureus.


"Pesakit kekal tanpa gejala selama 20 tahun walaupun terdapat kehadiran benda asing yang agak besar di dalam rongga perutnya," tulis penulis kajian kes tersebut.


Kejadian itu berlaku apabila pesakit berusia 65 tahun yang menghidap sejenis kanser dipanggil adenokarsinoma mukosa genetik, menjalani beberapa pembedahan pada tahun 1999.


Pesakit yang identitinya tidak didedahkan itu menjalani gastrectomy (pembedahan membuang sebahagian perut) dan epiploectomy (pembedahan buang lapisan tisu pada organ) sebelum menjalani kemoterapi.


Sebelum diisytiharkan bebas kanser, pakar bedah secara tidak sengaja meninggalkan sesuatu semasa pembedahan.


Pesakit berkenaan tidak menyedari perkara itu sehingga 20 tahun kemudian apabila mengalami sakit perut yang teruk selama dua hari, demam, berpeluh pada waktu malam dan bengkak pada pehanya.


Pesakit itu turut mengalami anoreksia (gangguan makan) yang tidak dapat dijelaskan menyebabkan dia hilang berat badan sebanyak 7.7 kilogram (kg), lebih 10 peratus jisim badannya.


Setelah menjalani ujian ultrasound di hospital, doktor menemui gumpalan kain kasa di dalam perutnya. Mereka percaya ia ditinggalkan di dalam usus semasa pembedahan lebih dua dekad lalu.


Pakar-pakar bedah berjaya mengeluarkan kain itu tanpa sebarang halangan. Foto yang disiarkan menunjukkan kain 'perubatan' yang dikeluarkan kelihatan berkerak dan coklat seperti pembalut mumia purba. - Sumber News York Post.


Imbasan ultrabunyi mendedahkan gumpalan kain kasa dalam badan wanita. - Foto Jam Press.

Pesakit kekal 'asimtomatik' selama 20 tahun walaupun kain perubatan itu berada di dalam badannya. - Foto Jam Press.

Pakar-pakar bedah berjaya mengeluarkan kain itu tanpa sebarang halangan. -  Foto Jam Press.

Sabtu, 17 September 2022

Pemandu Mercedes cabut lari lepas rempuh pam minyak

Pemandu Mercedes cabut lari lepas rempuh pam minyak


Seorang pemandu kenderaan mewah jenis Mercedes C43 dipercayai melarikan diri selepas merempuh sebuah pam di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), awal pagi tadi (Sabtu).


Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba Taman Tun dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 12.13 tengah malam.


"Seramai lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tun dikejarkan ke tempat kejadian.


"Setibanya di lokasi didapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta merempuh pam minyak di stesen berkenaan.


"Bagaimanapun, pemandu tiada di dalam kereta terbabit semasa pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian," ujarnya dalam kenyataan hari ini.


PGO Kuala Lumpur memaklumkan, berlaku tumpahan minyak petrol susulan kemalangan terbabit.


"Pasukan bomba bertindak membersihkan minyak berkenaan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.


"Operasi pembersihan tamat sepenuhnya pada jam 12.49 tengah malam," ujarnya.


Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja pembersihan minyak di lokasi kejadian untuk mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku. - Foto JBPM.

Tangkap layar video tular memaparkan pam minyak rosak akibat dirempuh Mercedes berkenaan dalam kejadian di LDP, awal pagi tadi.
Jantung tertua di dunia berusia 380 juta tahun ditemui dalam fosil ikan prasejarah

Jantung tertua di dunia berusia 380 juta tahun ditemui dalam fosil ikan prasejarah


Penyelidik baru-baru ini telah menemui jantung berusia 380 juta tahun pada fosil ikan prasejarah. Penemuan itu adalah detik penting dalam evolusi organ berkenaan yang terdapat pada semua haiwan vertebrata dan manusia, lapor BBC News pada 15 September 2022.


Jantung itu milik seekor ikan yang dikenali sebagai Gogo, yang kini telah pupus. Penemuan itu telah diterbitkan dalam jurnal Science.


Ketua saintis, Prof Kate Trinajstic dari Curtin University di Perth memberitahu BBC mengenai saat dia dan rakan-rakannya menyedari bahawa mereka telah membuat penemuan terbesar dalam hidup mereka.


"Biasanya, tulang yang bertukar menjadi fosil, dan bukannya tisu lembut. Tetapi di sebuah lokasi ini di Kimberley, dikenali sebagai batuan Gogo, elemen mineral telah mengekalkan banyak organ dalaman ikan, termasuk hati, perut, usus dan jantung.


"Ini adalah detik penting dalam evolusi kita," kata Prof Trinajstic.


Rakan usaha samanya, Prof John Long dari Flinders University di Adelaide, menyifatkan penemuan itu sebagai 'penemuan yang membingungkan dan mengejutkan'.


"Kami tidak pernah mengetahui apa-apa mengenai organ lembut haiwan seusia ini, sehingga kini," katanya.


Ikan Gogo adalah yang pertama dari kelas ikan prasejarah yang dipanggil placoderm. Ia adalah ikan pertama yang mempunyai rahang dan gigi serta boleh membesar sehingga 29.5 kaki (9 meter) panjang.


Placoderm adalah hidupan dominan planet ini selama 60 juta tahun, wujud lebih daripada 100 juta tahun sebelum kewujudan dinosaur.


Imbasan fosil ikan Gogo menunjukkan bahawa jantungnya lebih kompleks daripada yang dijangkakan untuk ikan primitif. Ia mempunyai dua ruang di atas satu sama lain, struktur yang serupa dengan jantung manusia.


Penyelidik membuat kesimpulan, ia adalah faktor yang menjadikan jantung haiwan itu lebih cekap dan adalah langkah kritikal yang mengubahnya daripada ikan yang bergerak perlahan kepada pemangsa yang bergerak pantas.


Pemerhatian penting lain ialah kedudukan jantungnya berada lebih hadapan berbanding ikan yang lebih primitif. Kedudukan ini dikaitkan dengan bentuk leher ikan Gogo dan memberi ruang untuk paru-paru.


Dr Zerina Johanson dari Natural History Museum London, yang adalah peneraju dalam kajian placoderm, menyifatkan penyelidikan itu sebagai 'penemuan yang sangat penting' yang membantu menjelaskan mengapa tubuh badan manusia menjadi seperti hari ini.


"Terdapat banyak perkara yang berlaku pada placoderm ini yang kita lihat ada pada diri kita hari ini seperti leher, bentuk dan kedudukan jantung dalam badan," katanya.


Menurut Dr Martin Brazeau, pakar placoderm di Imperial College London berkata, penemuan itu mengisi satu langkah penting dalam evolusi kehidupan di Bumi.


Ia benar-benar mengujakan untuk melihat keputusan ini," katanya kepada BBC News.


"Ikan yang saya dan rakan sekerja saya kaji adalah sebahagian daripada evolusi kami. Ini adalah sebahagian daripada evolusi manusia dan haiwan lain yang hidup di darat dan ikan yang hidup di laut hari ini," tambahnya. - Sumber BBC News.


Jantung ikan Gogo mempunyai dua ruang, satu di atas, yang kemudian berkembang menjadi jantung manusia. - Foto BBC News.

Para penyelidik mengimbas di dalam batu kemudian menemui hati, perut, usus dan jantung, ditunjukkan dalam warna merah. - Foto KATE TRINAJSTIC/SCIENCE.

Ikan itu diawet dengan sempurna di dalam batu besar yang terdapat di wilayah Kimberley di Australia Barat. - Foto LINDSAY HATCHER.

Ilustrasi artis mengenai ikan Gogo. - Foto PALEOZOO.

Fosil kepala ikan Gogo dengan soket mata yang besar. - Foto BBC News.

Jumaat, 16 September 2022

Nelayan naikkan jerung mata 'alien' makhluk laut dalam yang jarang ditemui

Nelayan naikkan jerung mata 'alien' makhluk laut dalam yang jarang ditemui


Seorang nelayan di Sydney, Australia menangkap seekor jerung daripada spesies jarang ditemui yang mempunyai sepasang mata amat ganjil, lapor akhbar New York Post pada 15 September 2022.


Trapman Bermagui, memuat naik gambar hidupan marin itu di laman Facebook pada Isnin lalu selepas menangkapnya dari laut pada kedalaman 560 meter.


Dia percaya haiwan tersebut adalah sejenis jerung berkulit kasar dan hidup di laut dalam. Penemuan luar biasa itu mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial, sekali gus menjadikan hantaran tersebut tular.


"Laut dalam adalah dunia lain," kata seorang pengguna.



Sementara itu, menurut beberapa pakar, haiwan tersebut berkemungkinan adalah jerung 'dogfish' berkulit kasar yang turut dikenali sebagai Centroscymnus owstoni.


"Dalam kajian laut dalam saya, kami telah menangkap beberapa ekor jerung seumpama itu di Teluk Mexico dan Bahamas.


"Ia tergolong dalam kumpulan Somniosidae atau jerung tidur iaitu keluarga yang sama dengan jerung Greenland, tetapi spesies yang lebih kecil.


"Saya kerap menemui jerung 'dogfish' pada kedalaman antara 731 meter hingga 1,158 meter," kata Pengarah Kajian Bersekutu di Makmal Pantai dan Laut Universiti Florida, Dean Grubbs.


Bermagui turut bersetuju bahawa jerung itu boleh ditemui pada kedalaman melebihi 182 meter.


"Kebiasaannya kami menangkap jerung ini pada musim sejuk," katanya. - Sumber New York Post.


Seekor jerung spesies jarang ditemui yang kelihatan mengerikan dilihat di Australia mengejutkan pengguna media sosial. - Foto Trapman Bermagui.
Teleskop JWST, merakam imej Nebula Orion yang terbentuk 4.5 bilion tahun lalu 'tempat bintang baharu dilahirkan'

Teleskop JWST, merakam imej Nebula Orion yang terbentuk 4.5 bilion tahun lalu 'tempat bintang baharu dilahirkan'


Pasukan penyelidik antarabangsa pada Isnin (12/9/2022) mendedahkan imej pertama Nebula Orion yang dirakam dengan Teleskop Angkasa James Webb (JWST). Lokasi imej itu dikesan di buruj Orion yang terletak dalam jarak 1,350 tahun cahaya dari bumi.


Nebula Orion, yang terbentuk lebih daripada 4.5 bilion tahun yang lalu, dipenuhi dengan gas berwarna berbeza, bahan molekul, habuk dan cahaya bintang yang bertaburan dan imej baharu.


Imej yang dirakam teleskop JWST itu membolehkan penyelidik memahami dengan lebih baik bagaimana bintang besar dilahirkan oleh awan habuk dan gas yang besar.


"Ia menunjukkan gugusan terbuka bintang besar muda yang membentuk awan habuk dan gas dengan sinaran sengit dan filamen padat, yang mungkin memainkan peranan penting dalam melahirkan bintang baharu," kata NASA.


Nebula itu sebelum ini dirakam oleh Teleskop Hubble pada tahun 2004, namun imej itu kabur kerana dikesan daripada habuk menyebabkan ia mustahil untuk dilihat menerusi teleskop cahaya.


Bagaimanapun, JWST boleh beroperasi dalam spektrum inframerah dan menembusi habuk, membolehkan pemerhati melihat melalui lapisan habuk dan mengintip ke dalam pusat kosmiknya.


Persekitaran Nebula Orion, dikatakan serupa dengan sistem suria kita yang juga dipercayai sudah wujud lebih daripada 4.5 bilion tahun lalu. Saintis percaya ia boleh memberikan petunjuk mengenai apa yang berlaku dalam sejuta tahun pertama evolusi bumi.


Imej itu diperoleh sebagai sebahagian daripada Program Sains Keluaran Awal yang membabitkan lebih 100 saintis dari 18 negara.


Kajian itu juga turut dijalankan bersama beberapa institusi termasuk Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan Perancis (CNRS), Universiti Barat di Kanada dan Universiti Michigan, Amerika Syarikat (AS).


"Kami terpesona dengan imej Nebula Orion yang menakjubkan. Imej baharu ini membolehkan kita memahami dengan lebih baik," kata ahli astrofizik Universiti Els Peeters dalam satu kenyataan. - Sumber Daily Mail.


Nebula itu sebelum ini dirakam oleh Teleskop Hubble (kiri) pada tahun 2004, namun imejnya nampak kabur. Bagaimanapun, James Webb (kanan) mampu menangkap cahaya inframerah, membolehkan ia melihat melepasi habuk. - Foto NASA/ESA/CSA.

Imej itu menunjukkan gugusan terbuka bintang besar muda yang membentuk awan besar, habuk dan gas dengan sinaran sengit dan filamen padat yang mungkin memainkan peranan penting dalam melahirkan bintang baharu. - Foto NASA/ESA/CSA.

Teleskop Angkasa James Webb NASA telah merakam imej paling terperinci Nebula Orion yang terletak 1,350 tahun cahaya dari Bumi, yang menurut pakar boleh memberikan petunjuk kepada beberapa juta tahun pertama sistem suria kita. - Foto NASA/ESA/CSA.

Berikut ialah imej yang menunjukkan kawasan yang lebih besar mengelilingi Nebula Orion. - Foto NASA/ESA/CSA.