Memaparkan catatan dengan label Terkini. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Terkini. Papar semua catatan

Khamis, 7 Mei 2026

Tiga beranak ingkar arahan tarikh mula puasa didenda RM5,000 dan RM2,500

Tiga beranak ingkar arahan tarikh mula puasa didenda RM5,000 dan RM2,500


Seorang mudir sebuah madrasah dan dua anak lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Syariah Muar, atas pertuduhan mengingkari arahan pihak berkuasa berkaitan pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengenai tarikh permulaan puasa 1 Ramadan.


Mereka ialah Ambiah Bunanjin, 68; anaknya, Abdul Qodir Jailani, 29, dan Muhammad Idris, 25, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Syarie, Mohamad Fadzil Esa.


Ambiah berhadapan dua pertuduhan kemudian didenda RM5,000 manakala Abdul Qodir Jailani dan Muhammad Idris masing-masing satu pertuduhan, didenda RM2,500 seorang.


Mahkamah juga memerintahkan Ambiah menjalani hukuman penjara dua tahun dan Abdul Qodir Jailani dan Muhammad Idris setahun, sekiranya mereka gagal menjelaskan denda dikenakan terhadapnya.


Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Ambiah didakwa mengingkari pihak berkuasa agama dengan mengetuai upacara melihat anak bulan serta enggan mengikuti arahan untuk berpuasa pada tarikh ditetapkan 19 Februari lalu (1 Ramadan).


Kedua-dua kesalahan ini dilakukan di pantai Parit Penyengat, Muar dan madrasah tertuduh dalam daerah ini pada 18 dan 19 Februari lalu.


Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang boleh dipenjara sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan dikenakan.


Sementara itu, Abdul Qodir Jailani yang juga tenaga pengajar madrasah itu dan Muhammad Idris, dituduh mengikut Seksyen 43 (A) enakmen sama kerana bersubahat dengan bapanya menyebarkan kenyataan mengenai permulaan puasa.


Berdasarkan fakta kes, penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mendapat maklumat mengenai terdapat beberapa individu mula berpuasa pada 20 Februari (2 Ramadan) selepas melihat sendiri anak bulan pada 18 Februari lalu.


Siasatan dijalankan mendapati, Ambiah serta beberapa orang anak muridnya serta orang awam pergi pantai Parit Penyengat di Muar pada 18 Februari dan mereka mula berpuasa pada 2 Ramadan (20 Februari).


Tertuduh mendakwa anak bulan tidak kelihatan dan memberitahu supaya mula berpuasa pada tarikh berkenaan.


Muhammad Idris yang bertindak sebagai pengendali kumpulan WhatsApp kemudiannya menyebarkan mesej itu kepada ahlinya yang terdiri 72 orang serta turut dikongsi orang awam sehinggalah penguatkuasa JAINJ menerima aduan itu.


Susulan itu, penguatkuasa JAINJ menahan tertuduh serta dua pengikutnya bagi membantu siasatan.


Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Muhammad Lutfi Md Latif dan Azry Ismail Hassan manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.


Sementara itu, Mohamad Fadzil dalam penghakiman berkata, kesalahan itu adalah berat yang tidak sepatutnya berlaku di negeri ini mempunyai sultan sebagai ketua agama.


"Jangan cuba mengada-adakan hukum sendiri dengan membelakangi mufti dan sultan. Tertuduh sepatut mematuhi pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengenai permulaan 1 Ramadan," katanya.


Pada masa sama, mahkamah meminta madrasah terbabit diletakkan di bawah pemantauan ketat JAINJ sesuai dengan prosedur dan ketetapan oleh jabatan itu.


Selain itu, mahkamah juga memerintahkan tiga beranak ini diberi bimbingan serta pemulihan termasuk pengikut dan pentadbiran madrasah.

KPDN serbu warga asing pindahkan gas LPG di ladang kelapa sawit, RM750,000 ketirisan dikesan

KPDN serbu warga asing pindahkan gas LPG di ladang kelapa sawit, RM750,000 ketirisan dikesan


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berjaya menumpaskan aktiviti dipercayai penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) dalam satu serbuan di kawasan ladang kelapa sawit, Jalan Tok Mori, Tanjung Sepat, Kuala Langat semalam.


Pengarahnya, Muhamad Hanif Asa'ari, berkata serbuan ke atas sebuah premis tanpa nombor di dalam kawasan ladang kelapa sawit itu dilakukan menerusi OPS TIRIS 4.0 (BERSEPADU) dengan kerjasama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kira-kira jam 3 petang semalam.


Menurutnya, serbuan dilakukan susulan hasil risikan yang dilakukan selama sebulan sebelum operasi semalam dan aktiviti terbabit dipercayai sudah beroperasi sejak sebulan.


"Hasil serbuan dan pemeriksaan, pasukan risikan KPDN Selangor mengesan terdapat aktiviti membabitkan gas LPG, yang mana dua individu lelaki bukan warganegara berumur bawah 30 tahun sedang menjalankan aktiviti 'decanting' iaitu memindahkan LPG 14 kilogram (kg) bersubsidi kepada tong gas 50kg komersial di kawasan itu.


"KPDN Selangor mengesyaki aktiviti di premis ini menjual LPG 50kg yang berisi LPG bersubsidi kepada pihak industri dengan harga yang lebih rendah berbanding harga sebenar mengikut pasaran.


"Tangkapan dibuat ke atas dua individu lelaki terbabit untuk rakaman percakapan diambil bagi keperluan siasatan awal.


"Menerusi operasi ini, KPDN Selangor berjaya melumpuhkan ketirisan subsidi LPG subsidi negara dianggarkan bernilai RM750,000 dalam tempoh sebulan sindiket beroperasi di lokasi serbuan dalam kes ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Muhamad Hanif berkata, pasukan serbuan turut menemui beberapa peralatan seperti hos penyambung dan bungkusan beg plastik berisi ais berada di sekitar kawasan aktiviti decanting dilakukan.


"Siasatan mendapati, ais terbabit dipercayai digunakan sebagai teknik decanting atau pemindahan menggunakan teknik konvesional iaitu menggunakan ais.


"Modus Operandi (MO) di dalam hasil serbuan ini, dipercayai bekalan LPG subsidi diperoleh daripada pemborong berlesen sekitar Banting, Tanjung Sepat dan Sungai Pelek, Sepang.


"Berdasarkan maklumat awal ini, KPDN Selangor akan memfokuskan siasatan rantaian pembekalan yang membawa kepada aktiviti tidak bertanggungjawab ini berlaku," katanya.


Beliau berkata, operasi ini dijalankan mengikut Subseksyen 10 (1) (b) Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan tindakan sitaan juga dilaksanakan.


"Sitaan dibuat ke atas tong LPG pelbagai jenama berkapasiti 14kg dan 50kg dianggarkan mencecah 250 unit dengan anggaran jumlah berat LPG mencecah 3,000kg.


"Alat timbang pelantar yang ditemui di dalam kes ini turut disita. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM400,000," katanya.


Katanya, kertas siasatan akan dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini akan dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta mengenalpasti rantaian pengedaran LPG terbabit.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 AKB 1961, dibaca bersama dengan Peraturan 3(1) iaitu memiliki barang kawalan dengan menimbulkan syak yang munasabah akan melakukan kesalahan dengan berurusniaga barangan kawalan tanpa lesen sah," katanya.

Ahad, 3 Mei 2026

Kerajaan Madani lebih lantang, tegas perkukuh agenda bumiputera

Kerajaan Madani lebih lantang, tegas perkukuh agenda bumiputera


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan Madani tidak pernah mengabaikan kepentingan Bumiputera, sebaliknya terus memperkukuh agenda pemerkasaan golongan itu secara lebih lantang, tegas dan berani berbanding sebelum ini.


Anwar berkata, sepanjang tiga tahun pentadbiran Kerajaan Madani, tidak ada ruang bagi fahaman elitisme yang meminggirkan kepentingan Bumiputera seperti yang diandaikan oleh sesetengah pihak.


Tegasnya, prinsip utama kerajaan adalah memastikan keadilan sosial dilaksanakan secara saksama dengan memberi peluang lebih besar kepada masyarakat yang terpinggir, tanpa menafikan hak kaum lain.


"Sebab itu dalam gagasan kita, saya nak sebut dalam Kerajaan Madani, tidak ada sama sekali pandangan mendukung elitisme semata-mata atau meminggirkan kepentingan Bumiputera seperti yang diandaikan oleh sebahagian orang.


"Malah saya nak tekankan, saksinya Datuk Seri Zahid Hamidi, tiga tahun Kerajaan Madani, program Bumiputera itu lebih lantang, lebih tegas, lebih berani daripada sebelumnya," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan 60 Tahun Mara di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.


Mengulas mengenai kerangka pemikiran besar kerajaan, Anwar berkata sokongan terhadap aspek kecemerlangan (merit) tidak bermakna peluang untuk Bumiputera dikurangkan.


Beliau memberi contoh keputusan kerajaan baru-baru ini yang memberikan tempat automatik di universiti kepada semua pelajar yang memperoleh keputusan 10A ke atas, tanpa mengira latar belakang.


"Tetapi dalam masa yang sama 90 peratus anak bumiputera itu diberikan kesempatan untuk program matrikulasi. Jadi jangan bila dalam perbahasan, jangan pilih satu (aspek) sahaja," katanya.


Dalam masa sama, Anwar turut menegur segelintir pihak termasuk golongan profesor dan akademik yang disifatkan tidak berlaku adil apabila hanya menonjolkan sebahagian fakta berhubung kuota pendidikan sehingga mencetuskan persepsi mengelirukan.


Beliau mengingatkan bahawa Program Matrikulasi pada asalnya diwujudkan 100 peratus untuk Bumiputera, sebelum kerajaan membuka ruang 10 peratus bagi membantu anak-anak bukan Melayu yang miskin dan terpinggir.


Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta semua pihak agar melihat dasar kerajaan secara menyeluruh dan tidak mencetuskan persepsi 'zero-sum game' yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

Khamis, 30 April 2026

CCTV pintar AI bantu selesaikan 50 peratus kes jenayah di KL

CCTV pintar AI bantu selesaikan 50 peratus kes jenayah di KL


Sistem kamera litar tertutup (CCTV) bersepadu berskala besar dilengkapi perisian kecerdasan buatan AI membantu menyelesaikan 50 peratus kes jenayah di ibu negara sejak penggunaannya bermula tahun 2020.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, kos pengoperasian terkumpul sejak pemasangan 10,000 kamera di seluruh ibu negara setakat ini mencecah RM500 juta yang dioperasikan menerusi Pusat Kawalan dan Operasi Kuala Lumpur (KLCCC).


"Mesej yang kita mahu sampaikan hari ini bahawa koordinasi mantap antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari segi perkongsian maklumat bagi membanteras jenayah.


"Paling utama kita mahukan Kuala Lumpur yang selamat bagi kanak-kanak, kaum wanita malah semua pengunjung selamat untuk ke mana sahaja di ibu negara," katanya pada sidang media di Menara 1 DBKL, hari ini.


Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus sebagai pengguna akhir sistem CCTV lengkap keupayaan AI itu.


Fadil berkata penggunaan sistem pintar itu membantu PDRM menjejaki pergerakan penjenayah menerusi kebolehan pengencaman wajah dan kenderaan menggunakan kamera beresolusi tinggi.


"Ini sebuah inisiatif terbaik. Degan 10,000 CCTV lengkap sistem AI kita percaya bahawa ianya amat membantu kepada PDRM.


Kita akan berkolaborasi dengan pihak berkuasa tempatan untuk menjaga keselamatan Bandar Raya Kuala Lumpur secara keseluruhannya.


"Ianya membantu dari segi siasatan seperti mana kebolehan pengecaman wajah, sistem amaran tingkah laku (mencurigakan), ini semuanya akan membantu kepada siasatan pihak polis.


"PDRM kita mengharapkan bahawa sistem ini akan ditambah baik dari sudut pengendaliannya, dari sudut teknologinya hingga membolehkan kita mengawal lalu lintas menggunakan sistem yang ada," katanya.


Fadil berkata, masalah lalu lintas pada waktu puncak merupakan antara masalah utama dihadapi warga kota dan ketika ini PDRM hanya bergantung kepada polis trafik untuk mengendalikan lalu lintas secara manual.


Katanya, beliau berharap sistem CCTV bersepadu itu mampu mengesan kesesakan seterusnya menguruskan lalu lintas secara automatik sebagai contoh menggunakan teknologi AI untuk mengawal lampu isyarat berdasarkan jumlah kenderaan masa kini.


Sementara itu Fadlun berkata, DBKL dan Polis Kuala Lumpur akan terus bekerja sama dengan lebih efisien bagi memberikan perkhidmatan terbaik dan pantas kepada warga kota serta pengunjungnya.


"DBKL memperkukuhkan penyelarasan dengan pihak PDRM demi keselamatan bandar. Pelaksanaan sistem CCTV bersepadu berskala besar yang menghubungkan keupayaan pemantauan, penguatkuasaan dan pengurusan bandar.


"10,000 kamera dipasang dan diintegrasikan di lokasi strategik termasuk jalan utama, persimpangan, kawasan awam dan pusat komersial.


"Sistem ini bukan sekadar merakam sebaliknya ia mengesan, menganalisis dan mencetuskan tindakan secara masa nyata, membolehkan respons antara agensi dibuat dengan lebih pantas dan selaras," katanya.


Beliau berkata maklumat antara agensi sering terputus sebelum ini mengakibatkan masa tindak balas yang perlahan serta koordinasi atur gerak yang kurang efisien justeru jurang komunikasi itu ditutup menggunakan sistem bersepadu pintar ini.


Katanya, pelbagai insiden seperti kemalangan jalan raya, banjir, kesesakan lalu lintas dapat dikesan lebih awal sekaligus menghasilkan masa respon yang lebih singkat dan berkesan.


Mengulas lanjut Hannah berkata pelaksanaan sistem CCTV secara meluas dilihat tidak melanggar hak privasi mana-mana pihak berikutan ianya dipasang di kawasan awam sahaja.

Isnin, 27 April 2026

Bilal Erdogan seru negara Islam contohi kepimpinan Malaysia dalam kewangan Islam

Bilal Erdogan seru negara Islam contohi kepimpinan Malaysia dalam kewangan Islam


Negara-negara Islam diseru supaya mencontohi sektor kewangan Islam Malaysia dalam usaha membangunkan sistem kewangan yang kurang bergantung kepada rangkaian kewangan Barat, kata Necmeddin Bilal Erdogan.


Bercakap sebagai seorang daripada ahli panel di Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri Ke-11, beliau yang berasal dari Turkiye itu berkata kekuatan Malaysia dalam kewangan Islam boleh dijadikan pelan praktikal untuk kerjasama serantau.


"Malaysia mempunyai kekuatan dalam kewangan Islam, yang boleh dipelajari oleh negara Islam lain serta dilaksanakan melalui kerjasama dalam membangunkan sistem kewangan supaya kita tidak bergantung kepada rangkaian kewangan Barat," katanya.


Erdogan, yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Ibn Haldun berkata dunia Islam masih terlalu terikat dan dibayangi oleh pengaruh lama Eropah dan Amerika Syarikat, justeru memerlukan keyakinan baharu dalam menghadapi perubahan global.


"Kita semua masih dibayangi pengaruh lama itu. Saya fikir kita boleh membina semula keyakinan diri berdasarkan perkembangan dunia semasa, dan ini akan merapatkan hubungan antara kita.


"Kini kita melihat bahawa tamadun Barat yang sebelum ini mendakwa membawa kestabilan, kemajuan, keamanan, kebebasan, demokrasi dan nilai liberal tidak lagi memberi keutamaan kepada nilai-nilai tersebut. Nilai itu hanya dianggap relevan selagi ia selari dengan kepentingan Barat," katanya.


Dalam masa sama, Erdogan turut menekankan kepentingan hubungan institusi yang lebih kukuh, khususnya dalam bidang pendidikan, dengan mencadangkan lebih banyak program pertukaran pelajar dan pensyarah antara Malaysia dan Turkiye.


"Jika kita melabur dalam mengeratkan hubungan pelajar sekolah menengah dan pelajar universiti supaya menjadi rakan, kita sebenarnya sedang membina sesuatu yang nyata dan bernilai untuk beberapa dekad akan datang," katanya.


Sementara itu, Pengarah Institut Pembangunan dan Penyelidikan Islam (IIDR) Sharif Hasan Al-Banna yang turut menjadi ahli panel, berkata negara-negara Islam perlu memperkukuh perdagangan dua hala serta membentuk blok perdagangan intra-Islam bagi mengurangkan kebergantungan kepada sistem kewangan luar.


Beliau berkata integrasi ekonomi merupakan antara empat laluan ke arah perpaduan yang praktikal dunia Islam, di samping kerjasama, kebebasan intelektual dan pakatan strategik.


Bertemakan "Muslim Unity in Times of Geopolitical Crisis", forum itu menampilkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku moderator.

Khamis, 23 April 2026

Tiada asas pihak luar ambil alih kawalan keselamatan Selat Melaka

Tiada asas pihak luar ambil alih kawalan keselamatan Selat Melaka


Negara serantau mempunyai keupayaan penuh untuk mengawal dan menjaga keselamatan di perairan Selat Melaka.


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, laluan perkapalan strategik berkenaan kini berada dalam keadaan yang aman tanpa sebarang ancaman yang menghalang kelancaran navigasi.


Berikutan itu, beliau menyifatkan tiada asas yang munasabah untuk mana-mana pihak luar menyatakan hasrat mengambil alih kawalan keselamatan di situ.


"Apapun, Selat Melaka ini keadaannya aman, tiada halangan terhadap kapal untuk lalu-lalang. Tidak ada sebab untuk mana-mana negara, kuasa kecil ke kuasa besar, untuk menyatakan hasrat untuk mengawal.


"Negara-negara yang ada di sini semua mampu untuk mengawal," katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan hasrat Amerika Syarikat untuk mengambil alih kawalan di kawasan berkenaan.


Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menyatakan pendirian yang selari dengan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, bahawa hak kedaulatan perairan itu adalah tertakluk kepada negara yang berkongsi laluan berkenaan.


Katanya, sebarang ketetapan, keputusan atau tindakan yang ingin dilaksanakan di Selat Melaka tidak boleh dibuat secara bersendirian, sebaliknya menuntut konsensus mutlak daripada negara jiran.


"Apa-apa yang nak dibuat untuk Selat Melaka mesti dapat keputusan bersama daripada negara yang ada di kawasan ini iaitu Indonesia, Singapura, Malaysia dan Thailand," katanya.

Isnin, 20 April 2026

Kerajaan diminta campur tangan bagi menyelesaikan isu catuan feri Langkawi

Kerajaan diminta campur tangan bagi menyelesaikan isu catuan feri Langkawi


Kerajaan diminta campur tangan bagi menyelesaikan isu catuan perjalanan feri ke Langkawi, yang didakwa memberikan kesan kepada industri pelancongan serta kehidupan harian penduduk setempat.


Perkara itu disuarakan oleh beberapa wakil badan bukan kerajaan pada perhimpunan aman yang disertai ratusan peserta di hadapan Terminal Jeti Penumpang Kuah, petang semalam.


Pengerusi Anak Muda MADANI Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, catuan feri daripada lima kepada tiga perjalanan sehari yang dilaksanakan pengusaha feri sejak 25 Mac lepas menyebabkan kedatangan pelancong ke Langkawi semakin merosot.


"Catuan feri ini memberikan kesan khususnya kepada penduduk Langkawi yang bergantung kepada industri pelancongan, terutamanya peniaga kecil. Jika keadaan ini berterusan untuk tempoh sebulan atau dua bulan lagi, ekonomi Langkawi akan terus merudum.


"Sebab itu, himpunan pada petang ini (semalam) yang diadakan mengikut prosedur ditetapkan pihak berkuasa bertujuan memberikan tekanan kepada pengusaha feri agar catuan ini dihentikan segera," katanya kepada media, semalam.


Beliau berkata, kerajaan telah bersetuju melaksanakan pengenaan surcaj bahan bakar bunker secara bersasar sebagai langkah mitigasi sementara yang berkuat kuasa hari ini bagi menampung sebahagian kecil peningkatan kos operasi akibat kenaikan harga diesel.


Sehubungan dengan itu, pengusaha feri seharusnya mengembalikan lapan perjalanan sehari ke Langkawi bagi menggalakkan kemasukan pelancong serta memudahkan orang ramai.


"Jika catuan feri masih dilakukan, selepas ini kami memohon kerajaan membuka ruang seluas-luasnya kepada pengusaha lain untuk menyediakan perkhidmatan feri ke Langkawi," katanya.


Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pelancongan, Langkawi Zainudin Kadir mendakwa catuan perjalanan feri sejak hampir sebulan lepas menyaksikan penurunan jumlah kedatangan pelancong, khususnya domestik, ke Langkawi.


Beliau berkata, perkhidmatan feri merupakan pengangkutan utama ke Langkawi dengan kira-kira 70 peratus pelancong menggunakan perkhidmatan itu untuk ke pulau peranginan berkenaan.


"Apabila catuan perjalanan feri dilaksanakan, ia merencatkan kemasukan pelancong ke Langkawi. Jika dilihat di kaunter ejen pelancongan di sini banyak yang tidak beroperasi," dakwanya.


Pengerusi Persatuan Pemandu Bas Daerah Langkawi, Mohamad Syukri Saad pula mendakwa banyak tempahan pengangkutan bas pada bulan ini telah dibatalkan oleh pelancong berikutan catuan perjalanan feri.


"Apabila perjalanan feri berkurangan, pelancong sukar untuk masuk ke Langkawi, khususnya kumpulan besar yang ingin tiba pada waktu pagi kerana mahu lebih banyak masa melawat lokasi di Langkawi," katanya.


Bagi Timbalan Pengerusi Persatuan Warga Emas Daerah Langkawi, Ramli Ahmad, catuan perjalanan feri menyebabkan beliau sering tidak dapat membeli tiket untuk ke tanah besar kerana kehabisan.


"Jika sebelum ini saya bersama keluarga mudah mendapatkan tiket feri kerana perjalanan lebih kerap, tetapi sekarang sukar. Kadangkala, jika ada kecemasan, terpaksa menggunakan perkhidmatan RoRo," katanya.


Sebelum ini, Pengurus Besar Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line), Dr Baharin Baharom berkata catuan perjalanan feri daripada lima kepada tiga perjalanan sehari yang bermula 25 Mac lepas perlu dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan operasi perkhidmatan itu dan mengelakkan ia dihentikan sepenuhnya. - Bernama.

Sabtu, 18 April 2026

Permohonan media kekalkan kuota RON95 300 liter sebulan dibawa ke MTEN - Fahmi

Permohonan media kekalkan kuota RON95 300 liter sebulan dibawa ke MTEN - Fahmi


Permohonan pengekalan kuota 300 liter BUDI MADANI RON95 (BUDI95) untuk pengamal media akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Selasa depan.


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, permohonan yang disuarakan oleh Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) itu bakal diputuskan oleh MTEN dan maklum balas akan diberikan kemudian.


"Saya akan bawa ke mesyuarat MTEN pada Selasa nanti bagi mendapatkan pertimbangan lanjut berhubung permohonan berkenaan," katanya selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kesihatan Awam Universiti Malaya (UM) di Pantai Dalam, Kuala Lumpur hari ini.


Sebelum ini media melaporkan, GKMM memohon kerajaan mempertimbangkan pengecualian khas kepada pengamal media berdaftar supaya mengekalkan kuota 300 liter petrol RON95 sebulan.


Menurut GKMM, pihaknya menerima banyak keluhan daripada pengamal media khususnya di negeri-negeri yang perlu melakukan perjalanan jauh serta berulang-alik ke lokasi liputan setiap hari.


Tambahnya, keputusan kerajaan mengehadkan kuota BUDI95 kepada 200 liter sebulan ketika ini mula memberi cabaran besar kepada pengamal media dalam menyempurnakan tugasan di lapangan khususnya yang jauh dari pejabat masing-masing.


Sementara itu, Fahmi turut memaklumkan Kementerian Komunikasi juga mengambil langkah proaktif bagi memudahkan pengamal media mendapatkan maklumat berkaitan isu semasa termasuk krisis tenaga global.


"Bermula Rabu minggu hadapan, sesi taklimat berkaitan krisis tenaga global dan sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri akan dilaksanakan secara hibrid.


"Ini bagi membolehkan wartawan sama ada bertugas di Putrajaya hadir secara fizikal atau yang berada di Kuala Lumpur mengikuti secara dalam talian serta mengemukakan soalan," katanya.


Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata, inisiatif itu diambil bagi memastikan akses maklumat lebih menyeluruh selain mengambil kira kekangan logistik dan kos yang dihadapi pengamal media ketika ini.


"Sebagai Jurucakap Kerajaan MADANI, saya melihat keperluan untuk mempermudah rakan media mendapatkan maklumat secara terus tanpa mengira lokasi," katanya.

Khamis, 16 April 2026

UMNO dijangka lulus semua permohonan bekas ahli sertai Rumah Bangsa

UMNO dijangka lulus semua permohonan bekas ahli sertai Rumah Bangsa


Mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, esok dijangka akan meluluskan permohonan bekas ahli untuk kembali parti itu menyertai menerusi inisiatif Rumah Bangsa.


Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, keyakinan itu berdasarkan pendekatan terbuka yang diambil parti berkenaan tanpa meletakkan sebarang syarat kepada pemohon.


Menurutnya, inisiatif tersebut bukan sahaja memberi ruang kepada bekas ahli untuk kembali, malah turut membuka peluang kepada individu baharu untuk menyertai UMNO.


"Saya yakin tiada masalah untuk meluluskan permohonan yang diterima kerana kita telah membuka pintu seluas-luasnya.


"Senarai yang ada ini merupakan kumpulan pertama permohonan dan saya percaya semuanya akan diluluskan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor Bahru hari ini.


Tambah beliau, permohonan untuk menyertai UMNO melalui inisiatif Rumah Bangsa masih dibuka dan tidak terhad kepada mesyuarat yang akan berlangsung esok.


Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, pendekatan tersebut selari dengan sambutan ulang tahun ke-80 parti itu pada 11 Mei ini.


"Ketika parti lain mengambil pendekatan menyingkirkan ahli, UMNO memilih untuk membuka ruang seluas-luasnya kepada semua pihak.


"Kita terima, terima dan terus terima keahlian baharu demi memperkukuh parti," katanya.

Rabu, 15 April 2026

441 kandungan palsu berhubung isu krisis tenaga global dilaporkan - Fahmi

441 kandungan palsu berhubung isu krisis tenaga global dilaporkan - Fahmi


Sebanyak 441 kandungan palsu berkaitan isu krisis tenaga global telah dikenal pasti berdasarkan aduan awam sejak 29 Mac hingga hari ini, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.


Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Madani berkata, kesemua kandungan berkenaan telah dikenal pasti untuk diturunkan selepas aduan rasmi diterima daripada orang awam, sebelum permohonan penurunan dikemukakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia kepada platform media sosial terlibat.


"Daripada jumlah kandungan palsu yang telah dikenal pasti itu, sebanyak 54 kertas siasatan telah dibuka, 12 kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk penelitian dan tindakan lanjut, manakala 42 lagi kertas siasatan masih berjalan," katanya.


Beliau berkata demikian pada taklimat krisis tenaga global dan sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.


Fahmi berkata, satu grafik palsu yang menyalahgunakan format sebuah media tempatan melibatkan pengumuman mengenai mekanisme harga automatik (APM) turut dikesan disebarkan sejak semalam.


Beliau menegaskan bahawa sebarang perubahan harga bagi produk bahan api hanya akan diumumkan setiap Rabu sekitar 6 atau 7 petang melalui saluran rasmi Kementerian Kewangan.


"Sebarang maklumat yang dibuat atau sebaran yang dikesan sebelum hari dan waktu itu, yang bukan disebarkan melalui laman rasmi Kementerian Kewangan, berkemungkinan bersifat palsu," katanya.

Isnin, 13 April 2026

Tahanan Pakistan lari masih bersendirian, polis buka dua kertas siasatan

Tahanan Pakistan lari masih bersendirian, polis buka dua kertas siasatan


Suspek tahanan lelaki warga Pakistan yang meloloskan diri dari Penjara Sungai Buloh sejak Khamis lalu dipercayai masih berseorangan dan belum berhubung dengan mana-mana pihak.


Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya percaya suspek masih belum melakukan sebarang komunikasi termasuk dengan rakan-rakannya susulan langkah diambil polis bagi mengekang perkara tersebut.


Menurutnya, berdasarkan maklumat diperoleh setakat ini, suspek juga dipercayai masih berada di sekitar kawasan Sungai Buloh.


"Pada waktu ini, kita percayai tahanan tersebut masih lagi belum berkomunikasi dengan rakan-rakan yang lain susulan tindakan kita dalam menghalang proses tersebut. Kita percaya dia masih berseorangan.


"Usaha pengesanan masih diteruskan dan kita percaya pesalah tersebut masih berada di sekitar kawasan Sungai Buloh.


"Operasi mencari turut diperkukuh dengan penambahan anggota melibatkan beberapa agensi termasuk Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerakan Udara serta unit-unit teknikal lain," katanya pada sidang akhbar hari ini.


Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah anggota terlibat dalam operasi berkenaan.


"Kita yakin ada perkembangan positif akan diperoleh dalam tempoh terdekat hasil operasi bersepadu yang sedang digiatkan," katanya.


Dalam pada itu, Shazeli berkata, Polis Selangor turut membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti sekiranya berlaku sebarang kelemahan atau ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).


"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan dan kita akan meneliti sebarang kecuaian atau kelemahan. Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat keterangan mencukupi," ujarnya.


Tambah beliau, keterangan telah dirakam daripada pelbagai pihak termasuk anggota polis, pegawai Jabatan Penjara serta beberapa tahanan yang menjadi saksi kejadian.


"Tiada tangkapan dibuat setakat ini, namun mereka (anggota polis terlibat dalam kes itu) telah dihadkan kepada tugasan tidak aktif sementara siasatan dijalankan," tegasnya.


Terdahulu, lelaki tersebut, Muhammad Hassan, 24, kali terakhir dilihat memakai kemeja-T berwarna oren dan berseluar panjang hitam.


Warga asing itu menghadapi beberapa pertuduhan termasuk di bawah Seksyen 377C dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan selain kesalahan imigresen.

Sabtu, 11 April 2026

Anggota polis akan ditempatkan di stesen minyak sempadan

Anggota polis akan ditempatkan di stesen minyak sempadan


Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menempatkan anggota polis di stesen minyak berhampiran kawasan sempadan bagi memantau dan mengekang penyeludupan bahan api.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata langkah itu susulan arahan terbaharu Kabinet minggu lalu susulan konflik di Asia Barat yang berisiko memberi kesan rantaian terhadap bekalan dan harga barangan negara.


Penugasan itu katanya, akan tertumpu kepada lebih 80 stesen minyak yang dikenal pasti berhampiran garis sempadan, daripada keseluruhan lebih 4,000 stesen minyak di seluruh negara.


"Arahan terbaharu Kabinet meminta polis turut mengatur gerak bagi mengawasi stesen minyak berdekatan sempadan supaya tidak berlaku aktiviti penyeludupan.


"Arahan ini perlu disegerakan dan anggota akan terus digerakkan. Namun, mereka akan pastikan tugas hakiki lain seperti banteras jenayah narkotik, trafik dan jenayah komersial tidak terganggu atau dikompromi," katanya.


Beliau ditemui selepas Lawatan Kerja dan Pemantauan Operasi Kawalan Sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Mini KDN Padang Besar hari ini.


Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, langkah pemantauan ketat itu perlu memandangkan bebanan subsidi kerajaan untuk petrol dan diesel telah melonjak secara drastik susulan krisis di Asia Barat.


"Sebelum krisis bermula, kerajaan membelanjakan lebih kurang RM700 juta sebulan untuk subsidi petrol dan diesel secara bersasar. Namun, selepas krisis tercetus, tanggungan subsidi dua bahan api ini melonjak hingga hampir RM6 bilion sebulan," katanya.

Khamis, 9 April 2026

Malaysia-Bangladesh perkukuh kerjasama dalam migrasi pekerja

Malaysia-Bangladesh perkukuh kerjasama dalam migrasi pekerja


Malaysia dan Bangladesh menegaskan komitmen bersama dalam memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang migrasi pekerja dengan memberi penekanan kepada sistem lebih telus, inklusif dan berintegriti.


Perkara itu dinyatakan ketika kunjungan hormat delegasi Bangladesh yang diketuai Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Ariful Haque Choudhury bersama Penasihat Perdana Menteri Bangladesh, Mahdi Amin ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, hari ini.


Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan yang turut menghadiri pertemuan itu menerusi hantaran di Facebook, berkata antara fokus utama perbincangan adalah memastikan proses migrasi yang selamat, teratur dan sah di samping menangani cabaran sedia ada dalam proses pengambilan pekerja.


"Antara perkara penting yang dipersetujui termasuk usaha mempercepatkan pembukaan semula pasaran pekerjaan bagi pekerja Bangladesh berdasarkan keperluan sektor di Malaysia serta memastikan proses pengambilan yang adil, beretika dan telus.


"Langkah ini turut membabitkan pengurangan peranan orang tengah, penurunan kos serta penggunaan agensi pengambilan yang sah dan berkelayakan," katanya.


Ramanan berkata, Malaysia juga membentangkan inisiatif memperkenalkan sistem pengambilan pekerja berasaskan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada perantara serta memastikan kos pengambilan ditanggung sepenuhnya oleh majikan selaras dengan prinsip Employer Pays oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).


Beliau berkata, pihak Bangladesh juga menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif tersebut dan kesediaan untuk bekerjasama dalam pelaksanaannya.


Katanya, perbincangan turut menyentuh isu berkaitan kes undang-undang serta kebimbangan terhadap pemerdagangan manusia dalam pengambilan pekerja.


"Kedua-dua pihak menegaskan kepentingan mematuhi kedaulatan undang-undang, memastikan proses keadilan yang telus serta melindungi reputasi antarabangsa masing-masing.


"Selain itu, kerjasama dalam pembangunan kemahiran, latihan, pensijilan dan perkongsian maklumat turut diberi penekanan bagi memastikan padanan yang lebih baik antara keperluan industri dan tenaga kerja, seterusnya meningkatkan produktiviti," katanya.


Ramanan berkata, sesi libat urus akan diteruskan secara berkala bagi memastikan segala inisiatif yang dipersetujui dapat dilaksanakan dengan berkesan.


"Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama dalam membina sistem migrasi pekerja yang lebih adil, mampan dan berdaya saing di peringkat global," katanya. - Sumber BERNAMA.

Selasa, 7 April 2026

Berakhirnya perang Iran mungkin tidak turunkan harga minyak global - Pakar

Berakhirnya perang Iran mungkin tidak turunkan harga minyak global - Pakar


Harga minyak global mungkin tidak turun kembali seperti sebelum konflik, meskipun perang Iran berakhir, menurut pakar antarabangsa, lapor Xinhua.


Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam menerusi platform media sosialnya Truth Social, untuk menghancurkan seluruh negara Iran "dalam satu malam" jika perjanjian gagal dicapai sebelum tarikh akhir malam ini yang ditetapkannya untuk Tehran membuka semula Selat Hormuz.


Pakar berpendapat walaupun Iran bersetuju, kerosakan infrastruktur tenaga mungkin mengambil masa untuk dibaiki sepenuhnya, dengan beberapa pakar menganggarkan tempoh tiga hingga lima tahun.


Lebih 40 aset tenaga di seluruh wilayah "rosak teruk atau sangat teruk" dan mungkin mengambil masa berminggu-minggu untuk menyelesaikan penghantaran yang tertunda dan eksport tenaga global kembali pulih, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa.


Meskipun dengan kemudahan logistik beroperasi pada tahap puncak, "ia akan mengambil masa untuk membersihkan baki minyak, gas dan barangan lain yang dipunggah daripada kapal," lapor Al Jazeera, memetik Pengarah Urusan Persatuan Risiko Perang Bersama Pemilik Kapal Norway, Svein Ringbakken.


Ringbakken berkata. hal itu diburukkan lagi dengan serangan yang merosakkan infrastruktur tenaga dan pengangkutan di seluruh Asia Barat.


Beliau berkata, jika permusuhan gagal diselesaikan dan laluan maritim terus disekat, pasaran minyak global boleh menjadi lemah dan jika penghantaran terus terganggu, boleh memaksa perubahan struktur dalam penghantaran dan mendorong harga tenaga jangka panjang yang lebih tinggi, lapor BBC.


"Walaupun perang berakhir esok, ia mungkin akan mengambil masa setahun atau lebih untuk semua kemudahan pengeluaran dan perkapalan dipulihkan sepenuhnya," kata Pengasas Bersama Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Dasar,Dean Baker, kepada Xinhua.


Pihak lain mengulangi kenyataan sedemikian, menganggarkan bahawa harga minyak akan kekal tinggi akibat konflik di Iran.


"Tekaan saya ialah harga tidak akan kembali ke arah AS$60 (setong) selama beberapa bulan selepas perang tamat," kata felo kanan bukan pemastautin di Institut Peterson untuk Ekonomi Antarabangsa, Gary Hufbauer, kepada Xinhua, sambil menyatakan bahawa harga minyak mentah Brent berlegar melebihi paras AS$100 setong.


Pada masa yang sama, Iran mula mengenakan bayaran kepada kapal tangki minyak untuk melalui selat itu - dalam beberapa kes sebanyak AS$2 juta setiap kapal - dan Parlimennya meluluskan undang-undang untuk menguatkuasakan tol ke atas kapal yang transit di laluan air.


Rang undang-undang untuk mengenakan bayaran bagi kapal yang melintasi laluan air utama itu diluluskan Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran, lapor media negara itu, semalam.


Tindakan terbabit adalah usaha untuk menegaskan apa yang Iran percaya sebagai "peranan berdaulat" di laluan air, menurut Penyiaran Republik Islam Iran.


Semalam, Trump berkata, AS yang harus mengenakan bayaran tol ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz, sambil menekankan bahawa pembukaan semula Selat itu mesti menjadi sebahagian daripada sebarang perjanjian untuk menamatkan perang dengan Iran.


"Kami perlu mengadakan perjanjian yang boleh diterima oleh saya dan sebahagian daripada perjanjian itu ialah kami mahukan trafik minyak percuma dan segala-galanya," kata presiden AS itu.


Felo Kanan Brookings Institution, Michael O'Hanlon, memberitahu Xinhua, beliau dia tidak melihat peluang untuk laluan air itu dibuka dalam masa terdekat.


Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran mendakwa Selat Hormuz memasuki "realiti baharu" dan tidak akan kembali kepada status sebelumnya, khususnya bagi AS dan Israel.


Pakar mencadangkan bahawa mengganggu penghantaran kapal melalui selat itu juga boleh menjejaskan Iran dan Tehran akan menimbang kos kegawatan ekonomi berbanding keselamatan.


"Akan ada perbincangan dalaman di Tehran tentang sejauh mana kesan kegawatan ekonomi berbanding kelebihan keselamatan," kata penyelidik di Pusat Kajian Antarabangsa dan Keselamatan di Universiti Maryland, Clay Ramsay, kepada Xinhua.


Sementara itu, Tehran memberi amaran tentang tindak balas yang "lebih teruk dan meluas" jika Presiden AS itu mengotakan janjinya untuk menyerang jambatan dan infrastruktur tenaga Iran.


Antara "banyak perkara yang dibincangkan" ialah cadangan gencatan senjata selama 45 hari, lapor NBC, memetik seorang pegawai kanan Rumah Putih.


Ini berlaku selepas Tehran menolak cadangan Washington, memberi tumpuan kepada keperluan untuk menamatkan konflik secara muktamad, menurut laporan berita.

Sabtu, 4 April 2026

DBKL sita peralatan tiga 'ulat foto' di kawasan tumpuan pelancong

DBKL sita peralatan tiga 'ulat foto' di kawasan tumpuan pelancong


Aktiviti 'ulat foto' di sekitar kawasan tumpuan pelancong masih berlaku selepas tiga peralatan fotografi individu disita dalam operasi penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar ibu kota semalam.


DBKL berkata, operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan di sekitar Persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC), Jalan Ampang dan Jalan P Ramlee iaitu kawasan tumpuan pelancong.


"Dalam operasi ini, tiga individu diambil tindakan sitaan kerana menjalankan aktiviti jurugambar tanpa kebenaran di kawasan awam.


"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat individu bukan warganegara yang terbabit dalam aktiviti itu manakala seorang lagi individu adalah warga tempatan," kata kenyataan itu, hari ini.


Selain itu, DBKL berkata, sebanyak enam notis kompaun dikeluarkan terhadap kesalahan lalu lintas di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 membabitkan kenderaan yang didapati mengingkari peraturan.


Dalam pada itu, DBKL menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan tanpa kompromi.


"Sebarang aktiviti tidak berlesen, pelanggaran undang-undang serta tindakan yang menjejaskan imej bandar raya akan dikenakan tindakan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.


"Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa," katanya.


Terdahulu Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam dilaporkan berkata, seramai 25 'ulat foto' ditahan dalam operasi penguatkuasaan di sekitar KLCC pada Isnin lalu.


Sazalee berkata, semua tangkapan terdiri daripada 23 lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang lelaki Filipina berusia antara 16 hingga 48 tahun.


Katanya, semua individu terbabit direman tiga hari bagi membantu siasatan termasuk semakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membabitkan ketulenan kad pengenalan.


Sebelum ini media melaporkan, 18 ulat foto ditahan pada 22 Mac kerana disyaki membelasah dua lelaki selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.

Tiga perkampungan haram dalam hutan di Setia Alam terbongkar

Tiga perkampungan haram dalam hutan di Setia Alam terbongkar


Seramai 214 pendatang asing tanpa izin (PATI) dikesan 'bersarang' di tiga perkampungan haram yang berselindung di tengah ladang kelapa sawit di sebalik kawasan berbukit di Setia Alam, Shah Alam.


Helah itu terbongkar apabila sepasukan pegawai Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi lain menggempur perkampungan haram itu menerusi Ops Bersepadu Mega tengah malam tadi.


Wartawan yang mengikuti operasi mendapati pasukan serbuan terpaksa mendaki kawasan berbukit-bukau sejauh kira-kira 400 meter sebelum sampai ke perkampungan haram itu.


Dalam usaha menangkap PATI terbabit, pasukan serbuan bukan sahaja perlu berdepan dengan kawasan persekitaran yang berbukit dan gelap malah berhadapan risiko haiwan berbisa.


Tinjauan di lokasi mendapati koloni warga asing itu walaupun terpencil, lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk surau, kedai runcit malah barangan bersubsidi seperti tong gas dan diesel malah mempunyai bekalan elektrik serta air.


Turut kelihatan beberapa sangkar ayam yang difahamkan kemungkinan berlaku aktiviti sabung ayam selain laluan tikus turut dikesan di sekitar kawasan itu dipercayai digunakan untuk melarikan diri sekiranya diserbu pihak berkuasa.


Sementara itu, Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, ketiga-tiga penempatan itu dipercayai sudah wujud sejak lima ke sembilan tahun.


Katanya, secara keseluruhan pihaknya memeriksa 356 warga asing dalam operasi bersepadu itu dan menahan 214 disyaki PATI.


"Hasilnya, 214 disyaki PATI ditahan membabitkan 120 lelaki, 65 wanita, 16 kanak-kanak lelaki serta 13 kanak-kanak perempuan berusia satu bulan hingga 80 tahun.


"Semakan awal tangkapan membabitkan warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan dan Sri Lanka," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan hari ini.


Menurutnya, rata-rata warga asing terbabit bekerja sebagai buruh serta pekerja pembersihan sekitar kawasan itu dan tidak menolak kemungkinan kampung haram itu memiliki 'penjaga' berperanan sebagai ketua yang memungut sewa bulanan.


Katanya operasi itu dijalankan dengan bantuan Imigresen Putrajaya, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Jumaat, 3 April 2026

Harga diesel di Thailand naik 3.50 baht berkuat kuasa hari ini

Harga diesel di Thailand naik 3.50 baht berkuat kuasa hari ini


Harga runcit diesel di Thailand meningkat sebanyak 3.50 baht (RM0.43) seliter bermula hari ini, susulan pengurangan kadar subsidi oleh Jawatankuasa Pengurusan Dana Bahan Api Minyak (OFFMC) di tengah-tengah lonjakan mendadak harga diesel global.


Dalam satu kenyataan pada Khamis, jawatankuasa itu memaklumkan bahawa subsidi untuk Diesel B7 akan dikurangkan sebanyak 3.51 baht seliter, daripada 17.78 baht kepada 14.27 baht seliter, manakala subsidi untuk Diesel B20 akan dikurangkan sebanyak 3.48 baht seliter, daripada 20.12 baht kepada 16.64 baht seliter.


Jawatankuasa itu mengaitkan pelarasan berkenaan dengan peningkatan ketara harga diesel global yang telah melonjak melebihi US$292 setong, sekali gus membawa kepada kos penapisan yang lebih tinggi.


"Pelarasan kadar subsidi adalah perlu bagi mencerminkan situasi pasaran semasa," menurut kenyataan itu sambil menambah bahawa keputusan berkenaan dibuat selepas pertimbangan teliti.


Berikutan itu, harga runcit Diesel B7 akan meningkat kepada 47.74 baht (RM5.90) seliter, manakala Biodiesel B20 akan meningkat kepada 42.74 baht seliter.


OFFMC menekankan bahawa langkah itu bertujuan untuk mencapai keseimbangan antara mengekalkan keselamatan tenaga nasional dan mengurangkan kesan kepada orang awam, selain menggesa masyarakat supaya menggunakan tenaga secara cekap dan berjimat cermat semasa tempoh ketidaktentuan harga tenaga global.


Ini menandakan hari kedua berturut-turut harga diesel meningkat selepas ia turut dinaikkan sebanyak 3.50 baht pada Khamis.


Sementara itu, harga petrol bagi semua jenis di Thailand juga dijangka meningkat sebanyak 0.70 baht (RM0.09), berkuat kuasa 3 April.


Setakat 2 April, harga Gasohol 95 berada pada paras 43.25 baht (RM5.34) seliter, Gasohol 91 pada 42.88 baht (RM5.29) seliter, manakala Diesel B7 dijual pada harga 44.24 baht (RM5.46) seliter.

Rabu, 1 April 2026

Aktiviti proses plastik haram bernilai RM8.5 juta di Sungai Siput tumpas

Aktiviti proses plastik haram bernilai RM8.5 juta di Sungai Siput tumpas


Pihak berkuasa menumpaskan operasi pemprosesan plastik haram bernilai RM8.5 juta dan merampas puluhan tan plastik serta beberapa mesin dalam satu serbuan di Sungai Siput semalam.


Serbuan yang dijalankan pada tengah hari itu adalah sebahagian daripada Op Taring Alpha 5, membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, dan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput.


Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, premis itu dipercayai beroperasi tanpa kelulusan JAS dan digunakan untuk memproses bahan plastik terpakai.


"Siasatan awal mendedahkan bahawa premis itu telah beroperasi selama lebih daripada tiga tahun, mendapatkan sisa plastik dari kawasan perindustrian di Kulim, Kedah sebelum memprosesnya menjadi bahan separa siap untuk diedarkan ke Lembah Klang," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, pemeriksaan bersama JAS mendapati bahawa kemudahan itu telah memasang dan mengendalikan beberapa mesin pemprosesan plastik tanpa memaklumkan atau mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa.


"Sejumlah besar bahan plastik, baik yang belum diproses mahupun yang separa diproses, turut ditemui di lokasi tersebut, bersama pelbagai jentera yang digunakan dalam aktiviti pemprosesan.


"Antara barang yang dirampas ialah kira-kira 100,000 kilogram plastik yang belum diproses dan 45,000 kilogram plastik separa diproses, selain pelbagai mesin dan peralatan.


"Seorang wanita berusia 40-an dipercayai pemilik premis telah ditahan bagi membantu siasatan," katanya yang memaklumkan kes diserah kepada JAS Perak untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 34A(6) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 (Pindaan) 2024 kerana gagal mengemukakan laporan kesan alam sekitar.


Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM100,000 hingga RM1 juta jika sabit kesalahan.


Beliau berkata, JAS turut mengambil tindakan segera dengan menghentikan operasi jentera di premis tersebut, terutamanya peralatan yang berkaitan dengan pencemaran mengikut Seksyen 38(1)(a) akta sama.


Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam aktiviti pemprosesan plastik haram dan memberi amaran bahawa operasi sedemikian boleh menimbulkan risiko serius kepada alam sekitar dan keselamatan awam.


"Kami akan terus memperhebatkan operasi, pengumpulan risikan dan penguatkuasaan untuk membendung aktiviti haram yang mengancam kelestarian alam sekitar.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pencemaran alam sekitar atau aktiviti pemprosesan plastik haram digesa untuk menghubungi Briged Utara GOF bagi membantu usaha penguatkuasaan," katanya.

Isnin, 30 Mac 2026

Papagomo didenda RM4,000 kes hasutan, datangkan kebencian terhadap Agong

Papagomo didenda RM4,000 kes hasutan, datangkan kebencian terhadap Agong


Penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo didenda RM4,000 selepas didapati bersalah atas pertuduhan menghasut yang mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dua tahun lalu.


Hakim Mahkamah Sesyen, Norma Ismail mengenakan hukuman denda itu selepas mendapati Papagomo, 43, yang juga bekas anggota polis gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan.


"Tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan hukuman denda RM4,000 dan penjara empat bulan jika gagal membayar denda. Wang jaminan RM15,000 dikembalikan," katanya.


Selepas prosiding berakhir, isterinya yang berada di galeri awam pergi ke arah Papagomo dan mencium tangan suaminya susulan keputusan mahkamah itu.


Pada 2 Mei 2024, Papagomo yang juga bekas EXCO Pemuda UMNO mengaku tidak bersalah menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn Bhd menghadap Sultan Ibrahim di laman Twitter atau X miliknya.


Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada jam 12 tengah hari, 29 April 2024, mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman dalam hujahan pemberatan hukuman berkata, Papagomo bukan individu biasa kerana dia adalah bekas anggota polis.


"Dia sedar sebab dan akibat perbuatannya dengan menghasut sehingga menyebabkan kebencian kepada Yang di-Pertuan Agong dalam Twitter.


"Dia juga bukan pesalah muda dan mengikut latar belakang, dia ada pengetahuan undang-undang tetapi memilih untuk membuat hantaran sebegitu di media sosial.


"Undang-undang digubal demi menjaga ketenteraman awam. Hantaran yang dibuat berbentuk kata-kata kesat yang menghina terhadap Yang di-Pertuan Agong, oleh itu hukuman denda sahaja tidak memadai kerana ia tidak mencerminkan keseriusan kesalahan tertuduh," katanya.


Sementara itu, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Papagomo memohon mahkamah tidak mengenakan pemenjaraan sebaliknya hukuman denda dengan alasan tertuduh adalah bapa lima anak.


Menurutnya, ia adalah kesalahan pertama bagi kes hasutan dan sepanjang perbicaraan, anak guamnya memberikan kerjasama sepenuhnya termasuk hadir ke balai polis bagi melapor diri seperti syarat yang ditetapkan oleh mahkamah.


"Mohon mahkamah ambil kira dia adalah bapa kepada lima anak dan anak bongsunya ada autisme yang memerlukan kehadiran lelaki dalam rumah.


"Anak guam saya juga tidak mempunyai kesalahan lampau bagi kes berkaitan hasutan, namun beliau mempunyai dua kes berlainan dengan kes yang dibicarakan di mahkamah ini.


"Bagi kesalahan hasutan, ia adalah kesalahan pertama dan saya mohon mahkamah mengenakan hukuman denda sahaja dan mengenakan keseragaman daripada segi hukuman," katanya.


Pada 24 September tahun lalu, Papagomo diperintah membela diri selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie dan dia adalah satu-satunya saksi di peringkat pembelaan.


Muhammad Rafique ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Khamis, 26 Mac 2026

Kuota RON95 dalam BUDI95 dikurangkan kepada 200 liter sebulan mulai 1 April

Kuota RON95 dalam BUDI95 dikurangkan kepada 200 liter sebulan mulai 1 April


Kerajaan akan menyelaraskan kelayakan penggunaan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April ini dalam usaha memastikan subsidi bahan api terus dinikmati majoriti rakyat.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu diambil sebagai pendekatan bersasar susulan ketidaktentuan pasaran minyak global dan kesan konflik di Asia Barat terhadap bekalan serta ekonomi dunia.


Beliau berkata penyelarasan berkenaan tidak menjejaskan sebahagian besar pengguna memandangkan data menunjukkan majoriti rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan.


"Kita (sudah) meneliti apakah penggunaan BUDI95 ini mencukupi. Kita dapati, purata penggunaan BUDI95 adalah sekitar 100 liter, maknanya majoriti rakyat guna hanya 100 liter sebulan dan hampir 90 peratus rakyat menggunakan kurang dari 200 liter sebulan, maka tidak terjejas.


"Oleh itu, kerajaan akan membuat penyelarasan kelayakan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026.


"Langkah ini tentunya sementara menunggu keadaan minyak, bekalan minyak dan ekonomi dunia pulih, tetapi belum ada tanda-tanda ke arah itu," katanya


Beliau berkata demikian dalam perutusan khas berhubung langkah strategik negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat, hari ini.


Pada masa sama, Anwar menegaskan inisiatif BUDI95 kekal pada harga RM1.99 seliter selain had siling bagi e-hailing dan pekerja gig sehingga 800 liter turut dikekalkan.


"Maka untuk meringankkan beban rakyat, saya tegaskan BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter.


"Kita turut kekalkan had siling sehingga 800 liter (bagi pekerja gig dan e-hailing) mengambil kira tanggungjawab mereka, pekerjaan mereka, dan urusan yang mereka harus lakukan," katanya.