Jumaat, 6 November 2026

Kastam rampas jutaan batang rokok, sindiket didakwa bungkus semula produk tamat tempoh


Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membongkar kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras menerusi dua serbuan di Taman Sejahtera, Kuala Lumpur, pada 26 Oktober lalu dengan nilai rampasan serta duti cukai berjumlah kira-kira RM2.56 juta.


Pengarah JKDM, Jamal Paiman berkata, operasi pertama kira-kira jam 3 petang membawa kepada penahanan sebuah van yang membawa 10,000 peket bersamaan 200,000 batang rokok pelbagai jenama yang disyaki diseludup.


Seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang memandu van berkenaan turut ditahan untuk siasatan.


Dalam serbuan kedua kira-kira jam 4 petang di sebuah premis berhampiran, pihak kastam merampas 1,370 botol minuman keras, 4,824 tin bir, 244 kotak mengandungi lebih 2.8 juta batang rokok serta 221 unit barangan elektrik.


Turut dirampas sebuah mesin pembungkusan yang dipercayai digunakan sindiket untuk membungkus semula rokok yang sudah tamat tempoh sebelum dipasarkan semula.


Menurut Jamal, sindiket dipercayai menukar label dan pembungkusan bagi mengaburi status sebenar rokok sebelum menjualnya pada harga lebih rendah untuk menarik pembeli.


Nilai keseluruhan rampasan bagi kedua-dua operasi dianggarkan RM359,271, manakala jumlah duti dan cukai yang terlibat mencecah kira-kira RM2.20 juta.


Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. JKDM turut menyiasat kemungkinan kedua-dua kegiatan berkenaan mempunyai kaitan.


EmoticonEmoticon