Jumaat, 6 November 2026

Warden sekolah berdepan dua pertuduhan amang seksual murid, mengaku tidak bersalah


KOTA BHARU - Seorang guru yang bertugas sebagai warden asrama sebuah sekolah rendah di Dabong, Kuala Krai, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki berusia 11 tahun, tahun lalu.


Tertuduh, Mohd Faiz Rohizat, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.


Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di dalam bilik warden asrama sekolah berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari pada April 2025.


Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa di lokasi yang sama kira-kira jam 4 petang pada September 2025.


Pertuduhan pertama dikemukakan mengikut Seksyen 14(b), manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.


Kedua-dua peruntukan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin, manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Fathma Nuraimi Mohamad.


Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dihadapi tertuduh.


Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan atas alasan anak guamnya merupakan penjawat awam, selain mempunyai isteri dan seorang anak berusia tiga tahun yang perlu ditanggung.


Peguam turut memaklumkan tertuduh mempunyai alamat kediaman tetap di Bachok dan tidak berisiko melarikan diri.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan beberapa syarat tambahan.


Antaranya, tertuduh perlu mengemukakan alamat kediaman tetap, tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan, melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua bulan sekali serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.


Mahkamah menetapkan 23 Disember depan untuk sebutan semula kes.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon