Jumaat, 6 November 2026

Gaji pekerja lelaki Pakistan tanpa permit, doktor didenda RM10,000


JOHOR BAHRU - Seorang doktor poliklinik swasta didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menggaji pekerja warga Pakistan tanpa permit kerja yang sah, bulan lalu.


Tertuduh, N Vigneswaran, 44, turut berdepan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Bagaimanapun, beliau menjelaskan denda itu.


Hukuman dijatuhkan Majistret Atifah Hazimah Wahab selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggaji Adnan Khan, 34, warga Pakistan tanpa permit kerja sah di sebuah klinik di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, kira-kira jam 1.44 pagi, 18 Oktober lalu.


Dalam prosiding berasingan, Adnan turut didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah tinggal lebih masa di negara ini mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


Bagaimanapun, lelaki itu gagal membayar denda dan diperintahkan menjalani hukuman di Penjara Kluang.


Berdasarkan fakta kes, Adnan ditahan dalam satu operasi bersama polis dan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) ketika sedang memberikan konsultasi kepada pesakit di klinik berkenaan.


Ketika pemeriksaan, lelaki itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sebelum semakan dengan Jabatan Imigresen mengesahkan dia tidak mempunyai permit kerja yang sah.


EmoticonEmoticon