KUALA LUMPUR - Tambang kelas ekonomi bagi perkhidmatan transit Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Gombak ke Kota Bharu sejauh 523 kilometer bermula RM125 sehala, manakala perkhidmatan ekspres bermula RM147.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, Jemaah Menteri meluluskan mekanisme tambang dinamik pada 16 Oktober lalu, membolehkan harga tiket berubah mengikut waktu perjalanan, permintaan dan ketersediaan tempat duduk.
Bagi laluan Gombak-Kuala Terengganu, tambang bermula RM95 bagi transit dan RM110 bagi ekspres, manakala perjalanan Gombak-KotaSAS masing-masing bermula RM60 dan RM68.
Perkhidmatan transit berhenti di setiap stesen yang dijadualkan, manakala ekspres hanya berhenti di empat stesen utama iaitu Gombak, KotaSAS, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.
MRL turut menawarkan diskaun 50 peratus kepada kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun, warga emas berumur 60 tahun ke atas, pemegang kad orang kurang upaya (OKU) dan pesara kerajaan. Pelajar berusia 13 hingga 24 tahun pula layak mendapat diskaun 40 peratus.
ECRL menyediakan tiga pilihan tempat duduk, iaitu kelas ekonomi, ekonomi premium dan perniagaan. Kadar tambang bagi stesen lain dijangka diumumkan apabila jualan tiket dibuka pada pertengahan November ini.
Darwis berkata, kemajuan keseluruhan projek mencapai 98.16 peratus setakat Oktober 2026, manakala ujian tren telah meliputi jarak terkumpul melebihi 50,000 kilometer.
Ujian Fault-Free Running dijadualkan bermula 23 Oktober ini, diikuti operasi percubaan sepanjang November.
Penjualan tiket rasmi dijangka bermula pertengahan November, manakala operasi komersial penumpang bagi laluan Gombak-Kota Bharu disasarkan bermula 12 Disember 2026, tertakluk kepada pematuhan keperluan keselamatan dan kelulusan berkaitan.

EmoticonEmoticon