Ahad, 8 November 2026

Masuk Malaysia melalui laluan haram, PATI didakwa bayar sehingga RM15,000 kepada sindiket


KOTA BHARU - Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diseludup masuk ke Malaysia melalui pangkalan haram dan laluan laut didakwa perlu membayar antara RM5,000 hingga RM15,000 seorang kepada ejen atau sindiket bagi mengatur perjalanan mereka.


Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, kadar bayaran itu berbeza mengikut kewarganegaraan, laluan kemasukan serta destinasi pekerjaan yang ditawarkan.


Menurutnya, berdasarkan risikan dan kes yang dikesan sepanjang tahun ini, terdapat PATI yang sanggup membayar jumlah berkenaan kepada ejen untuk memasuki negara ini secara tidak sah.


Bagaimanapun, katanya, bayaran itu bukan kadar tetap kerana ia bergantung kepada laluan digunakan dan perkhidmatan yang disediakan sindiket.


Beliau berkata, sekurang-kurangnya tujuh pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok dikenal pasti menjadi antara laluan utama kegiatan penyeludupan PATI.


Antara lokasi berkenaan ialah Pangkalan Haram Azizah, Parking, Pak Antah, MCA, Kuala Senggeng, Kedap dan Perdah.


Menurut Ahmad Radzi, sindiket tidak bergantung kepada satu laluan sahaja, sebaliknya menggunakan beberapa pangkalan haram secara serentak bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.


Katanya, apabila sesuatu laluan diperketatkan kawalan atau diserbu, mereka akan segera beralih ke laluan alternatif seperti lorong tikus, kawasan kebun, jalan kampung dan pesisir sungai.


Beliau menjelaskan, antara cabaran utama membanteras kegiatan itu ialah keadaan geografi sempadan yang luas dan kompleks, termasuk Sungai Golok yang panjang serta terbuka.


Kewujudan sungai kecil, kawasan hutan dan banyak laluan tidak sah turut menyukarkan pemantauan secara menyeluruh.


Malah, di sepanjang sempadan Kelantan sahaja terdapat ratusan pangkalan haram serta laluan alternatif yang perlu dipantau secara berterusan.


Ahmad Radzi berkata, modus operandi sindiket juga sentiasa berubah mengikut tahap kawalan keselamatan, termasuk menggunakan laluan laut dan sungai kecil bagi meneruskan kegiatan penyeludupan.


Sehubungan itu, pihak berkuasa terus mempergiat risikan dan pemantauan bagi mengekang kegiatan penyeludupan migran serta memastikan keselamatan sempadan negara terpelihara.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon