Rabu, 14 Oktober 2026

Dituduh bunuh rakan senegara, lelaki Rohingya berdepan hukuman mati


Lelaki etnik Rohingya dihadapkan di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya pada 18 September lalu.


Tertuduh, Abdul Shukor, 31, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R Vinoshen. Tiada pengakuan direkodkan kerana kes terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian Mohammed Tuasin, 18, di sebuah bangsal kayu berhadapan Tanah Perkuburan Islam Taman Desa Kujid, Kampung Pok Boh, di Kota Bharu.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 4.20 petang hingga 9.38 malam pada 18 September lalu.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Disember ini sebagai sebutan semula kes bagi status laporan pakar bedah siasat.


Media sebelum ini melaporkan, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditemukan maut dengan kesan kelar dan tetak di leher berhampiran bangsal sebuah rumah yang dalam pembinaan di Taman Desa Kujid.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon