Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan

Rabu, 23 September 2026

Dalam dinding, lantai dan perabot ada RM14.94 juta, 34 individu ditahan dalam serbuan awal pagi

Dalam dinding, lantai dan perabot ada RM14.94 juta, 34 individu ditahan dalam serbuan awal pagi


Pihak berkuasa Itali menemukan wang tunai berjumlah 3.2 juta euro (kira-kira RM14.94 juta) yang disembunyikan di dalam dinding, lantai dan perabot sebuah pangsapuri di Napoli pada Isnin, dalam serbuan awal pagi yang membawa kepada penahanan 34 individu.


Pegawai penguat kuasa undang-undang anti-mafia menemukan wang tunai dalam bentuk wang kertas 50 euro di sebuah kediaman di Caivano, menurut kenyataan polis tentera Napoli Carabinieri kepada CNN.


Bongkah wang kertas yang dibalut dengan selofan dan disusun kemas di bawah jubin lantai serta laci tersembunyi di dalam almari pakaian itu dikeluarkan menggunakan baldi plastik sebelum dimasukkan ke dalam kenderaan kalis peluru.


Polis turut menemukan 11 jam tangan mewah jenama Rolex, senjata api dan peralatan menjual dadah dalam serbuan berkenaan, kata pegawai pada sidang media di Napoli pada Isnin.


Serbuan itu adalah sebahagian daripada operasi sulit selama beberapa bulan yang diketuai pendakwa raya anti-mafia Neapolitan, Nicola Gratteri.


Menurut Gratteri, pihak berkuasa turut memintas talian telefon bimbit milik anggota mafia yang dipenjarakan selepas peranti berkenaan diseludup masuk oleh ahli keluarga.


"Bagi membuktikan kepentingan operasi ini, di satu kediaman sahaja, kami merampas wang tunai 3.2 juta euro (kira-kira RM14.94 juta) selain jam tangan berharga," katanya.


Pihak berkuasa memaklumkan maklumat berkenaan diperoleh daripada pemberi maklumat yang memberikan bukti kepada pendakwa raya sebagai pertukaran untuk mendapatkan perlindungan.


Mereka yang ditahan didakwa anggota kumpulan Angelino clan yang dikatakan sudah meresap ke Caivano sehingga pentadbiran tempatan terpaksa diletakkan di bawah pentadbiran kehakiman tahun lalu, kata Gratteri.


Menurut kenyataan Carabinieri, 34 individu itu dituduh atas kesalahan persatuan jenayah berunsur mafia, pengedaran dadah, pemerasan dan pemilikan dadah untuk tujuan pengedaran.


Pihak berkuasa turut membongkar kaedah kumpulan itu yang menggunakan sistem "keusahawanan" dengan menempatkan individu secara bergilir-gilir bagi menjalankan kegiatan haram.


Wang yang dirampas akan dimasukkan ke dalam "Tabung Keadilan" negara bagi menyokong mangsa jenayah terancang. Bagaimanapun, Gratteri berseloroh bahawa sebahagian wang berkenaan sepatutnya digunakan untuk menampung kos pemintasan talian.


"Saya terfikir apabila menteri mahu mengurangkan pemintasan talian bagi menjimatkan wang. Namun dengan 3.2 juta euro (kira-kira RM14.94 juta) yang ditemukan hari ini dan akan disalurkan terus ke Tabung Keadilan, kami sudah membayar kos pemintasan talian selama sembilan tahun di Napoli sahaja. Kami perlu menjalankan beberapa lagi operasi seperti ini," katanya.


Serbuan itu berlaku ketika kerajaan memperkenalkan "Model Caivano" pada 2023 bagi memulihkan bandar berkenaan dan mencegah jenayah. Namun, selepas penahanan itu, beberapa ahli pembangkang menyifatkan perkembangan berkenaan sebagai kegagalan inisiatif itu termasuk Ahli Parlimen Francesco Borrelli yang berkata realiti siasatan menunjukkan keadaan berbeza daripada dakwaan kemenangan muktamad terhadap jenayah terancang.

Ahad, 20 September 2026

Penempatan diroboh, ratusan keluarga Rohingya hilang tempat tinggal di India

Penempatan diroboh, ratusan keluarga Rohingya hilang tempat tinggal di India


Ratusan keluarga Rohingya berdepan kehilangan tempat tinggal selepas diarahkan mengosongkan penempatan sementara di kawasan Karyani Talab, Narwal di Jammu, India.


Penduduk dilihat merobohkan pondok, struktur kayu dan kedai serta mengemas barangan selepas pemilik tanah meminta mereka meninggalkan kawasan berkenaan susulan notis pihak berkuasa.


Seorang anggota komuniti Rohingya mendakwa, kira-kira 350 hingga 500 keluarga yang menghuni sekitar 80 hingga 90 pondok sementara telah diminta berpindah.


Sebahagian daripada mereka dikatakan sudah menetap di kawasan itu antara 15 hingga 16 tahun.


Menurut penduduk, notis tersebut dikeluarkan kepada pemilik tanah yang menyewakan tapak kepada keluarga Rohingya.


Notis berkenaan dilaporkan mempersoalkan tindakan pemilik tanah membenarkan warga asing menetap di kawasan itu selain mendakwa tanah tersebut diperuntukkan bagi kegunaan pertanian dan tidak boleh disewakan untuk tujuan kediaman.


Rohingya Human Rights Initiative pula mendakwa, kira-kira 350 tempat perlindungan telah dirobohkan, menjejaskan hampir 1,800 individu.


Kumpulan itu mendakwa keluarga terbabit tidak diberikan penempatan alternatif yang selamat dan sesuai, menyebabkan sebahagian mereka mempertimbangkan untuk berpindah ke kawasan lain di India termasuk Hyderabad atau ke Bangladesh.


Data kerajaan yang dibentangkan kepada sebuah jawatankuasa peringkat tinggi menunjukkan seramai 7,656 Rohingya dikenal pasti di seluruh Jammu dan Kashmir, termasuk 6,737 di wilayah Jammu dan 919 di Lembah Kashmir.


Rohingya Human Rights Initiative kini menggesa pihak berkuasa dan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menghentikan pengusiran lanjut sehingga kesan kemanusiaannya dinilai serta menyediakan penempatan alternatif kepada keluarga terjejas.


Bagi keluarga yang kehilangan kediaman, persoalan utama kini ialah ke mana mereka harus pergi selepas tempat yang menjadi kediaman selama bertahun-tahun tidak lagi dapat diduduki.

Rabu, 16 September 2026

Wanita didakwa simbah sebaldi najis manusia ke arah jiran kerana cemburu

Wanita didakwa simbah sebaldi najis manusia ke arah jiran kerana cemburu

 

Hanya kerana cemburu, seorang wanita didakwa sanggup membawa baldi berisi najis manusia sebelum menyimbah kandungannya ke arah jirannya, lapor Benin Web TV.


Suspek, Yirsi Esperanza Machado Rivera, 50, ditahan selepas kejadian pada 7 September dan berdepan pertuduhan menceroboh kediaman berpenghuni serta mendatangkan kecederaan.


Berdasarkan laporan penahanan yang dipetik NBC Miami dan People, kedua-dua wanita berkenaan tinggal di unit bersebelahan dalam treler rumah di Royal Country Mobile Homes, bahagian barat laut Miami-Dade County.


Machado Rivera didakwa mengetuk pintu rumah jirannya sebelum menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan suaminya.


Suspek kemudian didakwa menceroboh masuk ke kediaman berkenaan tanpa kebenaran sebelum menolak penghuni terbabit.


Penyiasat mendakwa Machado Rivera selepas itu menyimbah kandungan baldi berkenaan ke arah mangsa. Seorang saksi dilaporkan memberitahu polis bahawa suspek menyatakan dia menyediakan bekas itu untuk menyimbah kandungannya ke muka mangsa.


Bagaimanapun, Machado Rivera menafikan dakwaan berkenaan ketika disoal siasat dengan mendakwa menggunakan baldi itu kerana tandas rumahnya rosak dan cuba membuang kandungannya selepas menerima aduan mengenai bau busuk.


Suspek turut menafikan menceroboh rumah jirannya atau menyimbah kandungan baldi itu ke arah mangsa selain mendakwa kepalanya dipukul menggunakan kayu pemukul ketika pertengkaran berlaku.


Machado Rivera dihadapkan ke hadapan Hakim Mindy Glazer pada 8 September sebelum majistret memerintahkan dia ditahan tanpa jamin serta melarang sebarang hubungan dengan pengadu.


Machado Rivera masih berada dalam tahanan sehingga 13 September di Pusat Tahanan Turner Guilford Knight, menurut rekod dalam talian yang disemak People.


Semua dakwaan terhadapnya masih berupa pertuduhan dan tidak membuktikan kesalahannya, manakala suspek dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Selasa, 15 September 2026

Pemburu haram mati tersepit di tengah-tengah sekumpulan gajah

Pemburu haram mati tersepit di tengah-tengah sekumpulan gajah


Nasib seorang suspek pemburu haram berakhir dengan tragedi apabila dia dipercayai tersepit di tengah-tengah sekumpulan gajah di Taman Negara Kruger di Afrika Selatan, lapor Independent Online (IOL).


Jurucakap Taman Negara Afrika Selatan (SANParks) JP Louw berkata, lelaki berkenaan ditemukan meninggal dunia di kawasan semak pada hujung minggu lalu, kira-kira enam kilometer dari kawasan pintu masuk taman negara itu.


Katanya, penemuan itu dibuat selepas kedua-dua lelaki terbabit menceroboh masuk ke Kruger secara haram melalui kawasan Pafuri di bahagian utara taman berkenaan pada Jumaat.


Mereka kemudian berjalan masuk ke kawasan sekumpulan gajah berkenaan sebelum kedua-duanya melarikan diri ke arah berbeza dan terpisah.


Lelaki yang terselamat berjaya keluar dari taman berkenaan dan pulang ke rumah sebelum memaklumkan rakan subahatnya hilang serta dia ada terdengar jeritan mangsa.


Louw berkata, perkara itu kemudian dilaporkan kepada polis sebelum lelaki terbabit ditahan dengan bantuan masyarakat tempatan.


Katanya, suspek mengaku menceroboh taman itu secara haram dan membawa renjer dari pos renjer Pafuri kembali ke lokasi mereka terpisah.


"Renjer mengikut jejak dari Sungai Luvuvhu sejauh kira-kira enam kilometer ke dalam taman," katanya.


Mayat lelaki berkenaan kemudian ditemukan terbaring di penghujung laluan itu.


Louw berkata, renjer turut menemukan rangka seekor seladang ketika pencarian yang dipercayai SANParks dibunuh oleh kedua-dua lelaki terbabit.


Katanya, polis akan meneruskan siasatan termasuk pemeriksaan forensik bagi mengenal pasti punca kematian lelaki berkenaan.

Ahad, 6 September 2026

Dua beradik maut selepas keluarga pilih rawatan mistik untuk rawat demam panas

Dua beradik maut selepas keluarga pilih rawatan mistik untuk rawat demam panas

(Foto Ilustrasi)

Dua beradik lelaki meninggal dunia selepas keluarga mereka dipercayai memilih rawatan mistik bagi mengubati demam panas yang dialami sebelum keadaan mereka semakin kritikal dan dikejarkan ke hospital.


India Today melaporkan kedua-dua mangsa masing-masing berusia 15 dan 10 tahun mengalami demam bersama ibu mereka, Sangeeta Devi, kira-kira tiga hingga empat hari lalu.


Bagaimanapun, keluarga berkenaan dipercayai menganggap penyakit itu berpunca daripada kuasa ghaib dan mendapatkan khidmat seorang pengamal ritual tantrik untuk menjalankan upacara serta bacaan mantera di rumah.


Rawatan berkenaan dilaporkan dilakukan selama tiga hari, namun keadaan ketiga-tiga mereka terus merosot.


Apabila dua beradik itu tidak sedarkan diri, keluarga segera membawa mereka ke Hospital Sadar Ramgarh sebelum doktor mengesahkan kedua-duanya meninggal dunia.


Sementara itu, keadaan ibu mereka turut kritikal dan Sangeeta dirujuk ke Rajendra Institute of Medical Sciences (RIMS), Ranchi untuk mendapatkan rawatan lanjut.


Punca sebenar penyakit yang menyebabkan tiga anggota keluarga itu jatuh sakit masih belum dikenal pasti.


Susulan kejadian itu, Pegawai Pembangunan Blok Patratu, Manoj Gupta, mengunjungi kampung berkenaan dan menemui keluarga mangsa.


Beliau memberi jaminan bantuan kepada keluarga berkenaan selain memaklumkan usaha akan dilakukan bagi menyediakan pampasan mengikut peraturan kerajaan.


Dalam pada itu, pasukan Jabatan Kejuruteraan Kesihatan Awam turut mengambil sampel air daripada pam tangan berhampiran selepas tiga anggota keluarga itu jatuh sakit pada waktu hampir sama.


Sampel berkenaan akan diperiksa bagi menentukan sama ada pencemaran air atau jangkitan mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

Sabtu, 5 September 2026

Jeritan misteri dalam lori sampah akhirnya terungkai

Jeritan misteri dalam lori sampah akhirnya terungkai


Tiada siapa menyangka jeritan meminta tolong yang kedengaran dari sebuah lori sampah membawa kepada penemuan seorang lelaki yang tertimbus di bawah timbunan sampah yang telah dimampatkan.


Seorang pejalan kaki segera menahan pemandu lori Recology dan memaklumkan bahawa dia terdengar suara seseorang ketika kejadian di Mason Street pada awal pagi Rabu lalu.


Operasi menyelamat kemudiannya dijalankan dengan disertai kira-kira 25 anggota bomba mengambil masa lebih dua jam untuk mengeluarkan sampah dari dalam lori secara manual.


Laporan awal Jabatan Bomba San Francisco mendapati lelaki itu berada di dalam sebuah tong sampah sebelum diangkat secara mekanikal dan dicurahkan ke dalam lori.


Punca individu itu berada di dalam tong sampah masih disiasat.


"Dia mungkin sedang mencari makanan atau barangan lain," kata jurucakapnya.


Lelaki berkenaan kini dirawat Hospital Besar Zuckerberg San Francisco dan keadaannya dilaporkan agak serius.

Khamis, 3 September 2026

Lelaki ditahan atas dakwaan curi duit penumpang ketika dalam penerbangan

Lelaki ditahan atas dakwaan curi duit penumpang ketika dalam penerbangan


Polis Hong Kong menahan seorang lelaki kerana disyaki mencuri mata wang asing bernilai hampir HK$6,000 (kira-kira RM3114.50) ketika dalam penerbangan dari Thailand.


Kejadian disaksikan seorang penumpang yang didakwa merakam dan melaporkannya kepada kru.


Polis berkata lelaki berusia 57 tahun itu ditahan atas dakwaan mencuri selepas penerbangan HK Express mendarat di bandar raya berkenaan sejurus sebelum tengah malam pada Rabu.


Polis menganggarkan mata wang itu bernilai kira-kira HK$6,000, namun satu sumber menyatakan jumlah tersebut adalah 25,000 baht, yang bersamaan dengan HK$5,885 (kira-kira RM3,035.56).


Sumber dalaman itu berkata suspek didakwa berjalan dari bahagian belakang pesawat untuk membuka ruang penyimpanan barang di hadapan kabin.


"Dia menyelongkar sebuah beg hitam, lalu mengambil wang tunai daripada beg tersebut dan memasukkannya ke dalam poketnya," kata sumber itu.


South China Morning Post difahamkan seorang lagi penumpang dipercayai menyaksikan kecurian itu, merakamnya menggunakan telefon pintar dan memaklumkannya kepada petugas.


Sumber dalaman itu menambah pramugari kemudiannya mengenal pasti pemilik beg tersebut dan memaklumkan kakitangan lapangan terbang untuk membuat laporan polis.


Pasukan siasatan jenayah daerah polis lapangan terbang kini sedang menyiasat kes berkenaan.

Rabu, 2 September 2026

Bekas menteri dipenjara 7 tahun guna wang kerajaan beli makanan tengah hari kepada pengundi

Bekas menteri dipenjara 7 tahun guna wang kerajaan beli makanan tengah hari kepada pengundi


Sebuah mahkamah Sri Lanka pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap bekas menteri penerbangan negara itu kerana didakwa menggunakan AS$2,500 (RM11,000) wang kerajaan untuk membeli makanan tengah hari kepada pengundi yang menghadiri satu perhimpunan parti pemerintah.


Piyankara Jayaratne, 61, turut didenda AS$615 (RM2,500) kerana meminta Sri Lankan Catering, sebuah syarikat milik kerajaan, menanggung kos makanan bagi perhimpunan Hari Pekerja bekas Presiden Mahinda Rajapaksa pada 2014.


Hakim Mahkamah Tinggi Colombo, Mohamed Mihal berkata, Jayaratne telah mengkhianati amanah awam yang diberikan kepadanya demi memenuhi cita-cita peribadinya dengan membiayai perhimpunan Rajapaksa.


"Mahkamah tidak akan teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman penjara yang memberi mesej tegas kepada wakil rakyat yang melakukan kesalahan seperti ini," katanya.


Kes terhadap Jayaratne difailkan pada 2019. Beliau berdepan dua lagi pertuduhan membabitkan pembelian pesawat Airbus pada 2013 dan penggunaan dana kerajaan untuk mencetak kad ucapan peribadi.


Keputusan terbaharu Mahkamah Tinggi itu dibuat ketika Presiden Anura Kumara Dissanayake, yang mengambil alih jawatan pada 2024, sedang melancarkan tindakan besar-besaran membanteras rasuah.


Dua bekas menteri Kabinet sudah dipenjarakan sehingga 20 tahun kerana kesalahan rasuah, manakala beberapa bekas timbalan menteri turut menjalani hukuman penjara yang panjang.


Pada Isnin, bekas Menteri Kewangan, Ravi Karunanayake ditahan kerana didakwa meletakkan kakitangan peribadinya dalam senarai gaji kerajaan.


Seorang lagi bekas menteri, Keheliya Rambukwella ditahan kerana didakwa membantu dalam pencurian sebuah batu suci yang berusia berabad-abad dari istana raja Sinhala terakhir di pulau itu.


Semua ahli keluarga terdekat bekas Presiden Mahinda Rajapaksa sedang disiasat atau berdepan pendakwaan atas tuduhan pengubahan wang haram, rasuah dan pembunuhan. Keluarga Rajapaksa menafikan semua tuduhan tersebut.

Isnin, 31 Ogos 2026

Wanita diculik, dirogol, dibunuh kemudian dibuang dalam perigi, 4 suspek ditahan

Wanita diculik, dirogol, dibunuh kemudian dibuang dalam perigi, 4 suspek ditahan


Seorang wanita berusia 21 tahun di Karnataka, India dipercayai diculik, dirogol dan dibunuh selepas keluar dari rumah sebelum mayatnya ditemukan di dalam sebuah perigi di kawasan pertanian.


Kejadian berlaku di kampung Hokrani, daerah Raichur kira-kira jam 7 malam waktu tempatan pada 19 Ogos lalu, menurut laporan polis yang dibuat oleh bapa mangsa, Thimmareddy.


Mangsa yang dikenali sebagai Ashwini baru pulang ke rumah bersama ibu bapanya sekitar jam 6 petang waktu tempatan selepas mereka

 bekerja di ladang.


Menurut laporan polis, Ashwini yang sudah menamatkan pengajian Ijazah sarjana muda kemudian mengadu sakit perut sebelum keluar membawa bekas air untuk membuang air di kawasan tanah kerajaan berhampiran rumah.


Namun, dia tidak kembali. Ibunya yang keluar mencari kemudian menemukan selipar dan bekas air milik Ashwini di kawasan berhampiran.


Keluarga mangsa meneruskan pencarian sepanjang malam sebelum menerima maklumat keesokan paginya bahawa satu mayat ditemukan di dalam sebuah perigi. Ahli keluarga yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan mayat tersebut ialah Ashwini.


Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tanpa pakaian dan tertiarap di dalam perigi, manakala wajahnya mengalami kecederaan termasuk luka pada bahagian bibir atas.


Polis menamakan empat suspek dalam laporan kes berkenaan iaitu Gundya, 22; Mahanthesh, 22; Veeresh, 23; dan Mundargi Basawaraj yang berusia sekitar 45 tahun.


Kesemua mereka merupakan penduduk kampung yang sama dengan mangsa. Empat suspek itu kini ditahan bagi membantu siasatan.


Menurut polis, seorang daripada suspek didakwa sudah mengaku terlibat dalam jenayah tersebut dan akan dibawa ke mahkamah.


Pihak berkuasa masih menyiasat keadaan sebenar yang membawa kepada kematian Ashwini. Mangsa dilaporkan baru bertunang kira-kira sebulan sebelum kejadian.

Sabtu, 29 Ogos 2026

Polis Myanmar tahan suspek curi 17 penyaman udara Hospital Besar Mandalay

Polis Myanmar tahan suspek curi 17 penyaman udara Hospital Besar Mandalay


Polis menahan individu yang mencuri 17 unit penyaman udara dari Hospital Besar Mandalay, menurut laporan Asia News Network.


Pegawai di Balai Polis No 8, Perbandaran Chan Aye Tha San, membuat laporan pada 6 Ogos selepas 17 unit penyaman udara dilaporkan hilang dari beberapa jabatan di Hospital Besar Mandalay.


Ini termasuk jabatan kecemasan, jabatan X-ray utama, bilik darjah sementara jabatan kecemasan dan dewan bedah utama. Susulan itu, polis menjalankan siasatan bagi menahan suspek pencuri penyaman udara.


Hasil siasatan mendapati seorang individu yang sedang menanggalkan sebuah unit penyaman udara di kawasan kuil berhampiran hospital ditahan untuk disoal siasat kerana disyaki terbabit dalam kes itu.


Siasatan lanjut mendapati suspek adalah pekerja perkhidmatan penyaman udara dan mencuri unit penyaman udara dari beberapa jabatan di hospital itu selama beberapa hari.


Dia menanggalkannya satu demi satu, mengangkutnya dalam jumlah yang banyak serta mengambil paip tembaga mengikut kesempatan termasuk pada waktu siang.


"Kes kecurian itu tidak berlaku dalam satu hari. Jika mereka hendak mencuri radiator, paip tembaga dan pemampat satu demi satu pada waktu siang, mereka akan menanggalkannya.


"Mereka juga menanggalkannya tanpa pemampat. Kipas, dandang gas, paip tembaga, motor, gegelung dan komponen lain turut ditanggalkan apabila mereka mempunyai masa," kata pegawai penyiasat.


Menurutnya, suspek mahir membaiki penyaman udara.


"Bagaimana seorang pencuri biasa boleh bertindak begitu pantas? Mereka mencurinya dengan begitu kemas sehingga kehilangan itu hanya disedari apabila penyaman udara hendak digunakan.


"Mereka tidak mungkin dapat membuka unit-unit tersebut satu demi satu tanpa kemahiran berkenaan.


"Oleh sebab itu, jumlah kes yang dibuka oleh balai polis adalah sebanyak 17," kata pegawai penyiasat berhubung perbuatan suspek.


Difahamkan, seorang kakitangan pembersihan hospital dan seorang ahli keluarganya turut terbabit dalam pencurian unit penyaman udara itu.


Mereka sudah ditahan dan sedang disiasat di Balai Polis Bandar No 8 di bawah Seksyen 6(1) Akta Perlindungan Harta Awam (PA) 110/2026.

Sabtu, 22 Ogos 2026

Remaja hilang ditemui mati dibunuh, alat sulit dibuang dalam kolam

Remaja hilang ditemui mati dibunuh, alat sulit dibuang dalam kolam


Pihak berkuasa berjaya membongkar kes pembunuhan seorang remaja di India yang didakwa berkait perdagangan organ, namun kini berdepan cabaran menjejaki alat sulit mangsa yang dipotong suspek dan dibuang ke dalam sebuah kolam.


Menurut polis di Bhopal, penemuan bahagian tubuh berkenaan penting sebagai bahan bukti yang boleh mengukuhkan kes di mahkamah.


Bagaimanapun, operasi pencarian berdepan kesukaran berikutan kedalaman kolam dan kewujudan pelbagai hidupan akuatik.


Suspek memberitahu pihak berkuasa, mereka memotong dan mengeluarkan kedua-dua bahagian sulit mangsa sebelum memasukkannya ke dalam beg plastik. Bagaimanapun, mereka gagal mencari pembeli dan terpaksa membuang bungkusan itu ke dalam kolam.


Mangsa dilaporkan hilang beberapa hari sebelum mayatnya dalam keadaan tidak sempurna ditemui di kawasan Chhota Talab pada 11 Ogos lalu.


Siasatan awal menunjukkan wujud konspirasi berkaitan perdagangan organ manusia.


Menurut polis, sekumpulan lelaki membunuh remaja itu, mencacatkan jasadnya dan merancang menghantar bahagian tubuh yang dipotong ke luar negara.


Polis mengesyaki mangsa mungkin diperdaya dengan tawaran sekitar 20 juta rupee (RM845,00), namun motif sebenar masih disiasat.


Pihak berkuasa memaklumkan bahagian tubuh yang dipotong masih belum ditemui walaupun pencarian dilakukan di beberapa lokasi.

Isnin, 10 Ogos 2026

Seorang pengarah filem 'hilang' 40 hari ditahan polis, didakwa rogol pelakon berulang kali

Seorang pengarah filem 'hilang' 40 hari ditahan polis, didakwa rogol pelakon berulang kali


Selepas 40 hari melarikan diri, seorang pengarah dan penerbit filem berusia 73 tahun akhirnya ditahan polis di sebuah rumah ladang di Mahabaleshwar pada Sabtu selepas didakwa merogol seorang pelakon berulang kali sejak empat tahun lalu.


Menurut laporan Times of India, pengarah dan penerbit filem India, Shakeel Noorani ditahan selepas polis mengesan lokasinya di Medha, daerah Satara.


Dia kemudian dibawa ke mahkamah oleh polis Malwani dan direman sehingga 12 Ogos bagi membantu siasatan.


Polis menggunakan Seksyen 64(2)(M) Kanun Keseksaan Bharatiya (BNS) berkaitan rogol, Seksyen 123 kerana menyebabkan kecederaan menggunakan racun, Seksyen 351(2) berkaitan ugutan jenayah dan Seksyen 88 kerana menyebabkan keguguran.


Berdasarkan laporan, wanita terbabit membuat laporan polis dengan mendakwa Noorani mengundangnya ke kediamannya di Malwani kira-kira empat tahun lalu atas alasan mahu membincangkan skrip filem.


Wanita itu mendakwa, minumannya kemudian dicampur bahan menyebabkan dia tidak sedarkan diri sebelum Noorani didakwa merogolnya.


Menurutnya, selepas sedar, Noorani didakwa menunjukkan rakaman serangan seksual itu menerusi telefon bimbit sebelum mengugut untuk menyebarkannya sekiranya dia membuat laporan polis atau memberitahu keluarganya.


Wanita berkenaan turut mendakwa, rakaman tersebut kemudiannya digunakan untuk mengugutnya dan memaksanya melakukan hubungan seksual berulang kali.


Dia juga mendakwa, Noorani beberapa kali memberikan pil perancang selepas kejadian terbabit dan mendakwa mengalami keguguran.


Menurut pegawai polis Malwani, pihaknya menjalankan siasatan sejak laporan dibuat dan mengesan Noorani selepas menggunakan bantuan teknikal.


"Pasukan polis turut melakukan pemeriksaan di rumah anaknya di Lokhandwala, Andheri namun dia tidak ditemui.


"Dengan bantuan teknikal, kami mengesan lokasinya di sebuah rumah ladang di Medha, daerah Satara. Pasukan polis Medha kemudian menahannya sebelum kami mengambil alih tahanan," katanya.


Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Zon 2, Sandip Ghuge berkata, pihaknya mengumpulkan maklumat berkaitan kes berkenaan sejak laporan dibuat.


Bagaimanapun, peguam Noorani, Vikas Singh Goar menafikan dakwaan berkenaan dan mendakwa anak guamnya telah dikenakan tuduhan secara palsu.


Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes tersebut kini berada dalam prosiding mahkamah.


Noorani pernah mengarahkan beberapa filem Bollywood termasuk Vishnu Devaa (1991), Shreeman Aashique (1993), Bade Dilwala (1999) dan Joru Ka Ghulam (2000).


Shakeel Noorani didakwa merogol seorang pelakon wanita berulang kali. - Foto kredit Times Of India.

Khamis, 6 Ogos 2026

Serpihan lidi sate tersangkut di kerongkong, wanita fail saman terhadap Singapore Airlines

Serpihan lidi sate tersangkut di kerongkong, wanita fail saman terhadap Singapore Airlines


Seorang bekas bintang kanak-kanak yang kini menjadi jurulatih yoga mendakwa pita suaranya mengalami kecederaan selepas secara tidak sengaja tertelan serpihan kayu tajam dari lidi sate ayam yang dihidangkan dalam penerbangan Singapore Airlines ke Los Angeles, menurut satu saman yang difailkan di mahkamah persekutuan Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.


The Independent melaporkan, Briohny Smyth, 44, yang pernah menghasilkan album platinum di Thailand ketika berusia 13 tahun dan kini mengajar yoga di Los Angeles, mendakwa serpihan kayu yang tersangkut di kerongkongnya menyebabkannya mengalami kesakitan serta-merta, batuk yang teruk dan rasa seperti tercekik.


Beliau juga mendakwa mengalami kesakitan fizikal dan tekanan emosi yang teruk ketika cuba mengeluarkan objek asing itu sepanjang penerbangan.


Saman itu difailkan di Mahkamah Persekutuan Los Angeles pada 24 Julai lalu. Menurut dokumen yang difailkan itu, Smyth yang duduk di kelas perniagaan akhirnya berjaya mengeluarkan serpihan kayu tajam sepanjang kira-kira 1.5 inci (3.8 sentimeter) dari kerongkongnya.


Selepas kejadian pada 28 Julai 2024 itu, Smyth mendakwa mengalami ketidakselesaan berterusan pada tekak, keletihan suara, suara serak, rasa tegang serta sakit apabila bercakap atau menyanyi dalam tempoh yang lama.


Beliau kemudian mendapatkan rawatan daripada pakar telinga, hidung dan tekak (ENT), yang mendapati terdapat parut dan kecederaan pada pita suaranya, selaras dengan kecederaan akibat objek asing yang tajam.


Saman itu turut menyatakan, Smyth memakan hidangan itu mengikut cara yang sepatutnya dan tidak melakukan sebarang kecuaian.


Beliau digambarkan sebagai seorang penyanyi profesional, penghibur, pendidik kesihatan dan penceramah awam, yang sumber pendapatannya bergantung kepada keadaan dan prestasi suaranya.


Akibat kejadian itu, Smyth mendakwa mengalami kecederaan fizikal, kehilangan keupayaan menjana pendapatan, kerugian dalam kerjaya serta kebimbangan ketika makan dan menaiki pesawat.


Tahun lalu, seorang doktor perubatan dari New York, yang mempunyai alahan serius terhadap makanan laut, turut memfailkan saman terhadap Singapore Airlines selepas dihidangkan makanan yang mengandungi udang.

Ahad, 2 Ogos 2026

13 maut, pesawat bawa pelancong terhempas di Peru

13 maut, pesawat bawa pelancong terhempas di Peru


Seramai 13 individu maut selepas sebuah pesawat kecil yang membawa pelancong asing untuk menyaksikan tapak arkeologi terkenal Garisan Nazca di Peru terhempas semalam.


Nahas berlaku selepas jam 1 tengah hari waktu tempatan (1800 GMT), sebaik pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Pisco, kira-kira 240 kilometer di selatan ibu negara, Lima.


Major Polis, Jorge Andrade, berkata semua mangsa yang terkorban membabitkan 11 penumpang dan dua kru pesawat.


"Kami menerima maklumat bahawa 11 penumpang dan dua anggota kru telah meninggal dunia," katanya kepada pemberita di lokasi nahas.


"Berdasarkan tahap kemusnahan nahas itu, tiada mangsa yang terselamat. Setakat ini, kami telah menemukan empat mayat," katanya tanpa mendedahkan identiti mangsa.


Andrade bagaimanapun tidak memberikan sebarang petunjuk awal berhubung punca nahas itu.


Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Peru akan menjalankan siasatan, manakala pegawai penyiasat sudah berada di lokasi bagi mengumpulkan bukti.


Anggota bomba dan polis turut menjalankan operasi di lokasi kejadian di tengah-tengah bangkai pesawat yang remuk serta masih berasap, berdasarkan imej yang dikongsi media tempatan menerusi Facebook.


Kementerian Perdagangan Luar Peru dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua 11 penumpang adalah pelancong asing dan pihaknya akan memberikan bantuan kepada kedutaan negara yang terbabit.


Sementara itu, stesen radio RPP melaporkan mangsa yang terkorban terdiri daripada tujuh warga Itali, dua warga Jerman dan dua warga Sepanyol.


Sebuah pesawat kecil yang membawa pelancong terhempas di Peru pada Sabtu, mengorbankan kesemua 11 penumpang dan dua juruterbang yang berada di dalam pesawat berkenaan. - Foto Reuters.

Sabtu, 1 Ogos 2026

Warga emas hampir maut, kepala ular tedung yang sudah dipotong tiba-tiba gigit tangan

Warga emas hampir maut, kepala ular tedung yang sudah dipotong tiba-tiba gigit tangan


Seorang lelaki warga emas nyaris menemui ajal selepas dipatuk seekor ular tedung walaupun kepala reptilia itu telah terpisah dari badan kira-kira lima minit sebelum kejadian.


Ketika insiden yang berlaku pada Mei lalu, Zhang, 72, dilaporkan sedang memancing di kawasan tebing sungai yang terpencil tanpa menyedari dia telah memasuki habitat ular berbisa tersebut.


Dia menggunakan penyodok kecil yang dibawanya untuk memukul ular berkenaan ketika ia cuba menyerang sehingga kepalanya terputus.


"Zhang cuba mengangkat kepala reptilia itu, namun ia mematuk tangannya secara tiba-tiba. Kepala ular yang terputus itu dipercayai masih mempunyai tindak balas saraf dan refleks semula jadi sehingga taring berbisanya berjaya menembusi tangannya," menurut laporan media tempatan.


Zhang memberitahu patukan itu terasa 'seperti terkena renjatan elektrik' dan ia terus menggigitnya selama beberapa minit.


Luka pada tangannya bertukar kehitaman dan membengkak. Dalam tempoh kurang 20 minit, Zhang mula mengalami sesak dada, penglihatan kabur, loya dan muntah.


Selepas menerima rawatan kecemasan awal, dia dipindahkan ke sebuah hospital lain di Zhejiang untuk rawatan lanjut.


Setibanya di hospital, bahagian lengan kirinya dilaporkan membengkak teruk dari ibu jari hingga ke bahu. Kulit di sekitar tempat luka turut bertukar hitam, mengalami nekrosis dan terasa panas apabila disentuh.


Mangsa juga mengalami gejala sistemik akibat bisa ular tedung itu. Doktor akhirnya menjalankan pembedahan sebelum racun menyebabkan kerosakan tisu yang tidak dapat dipulihkan.


Dua bulan selepas menerima rawatan, tangan kiri Zhang akhirnya berjaya diselamatkan.

Selasa, 28 Julai 2026

Lelaki bersembunyi dalam almari selama 7 jam sebelum bunuh jiran ditangkap curang dengan isterinya

Lelaki bersembunyi dalam almari selama 7 jam sebelum bunuh jiran ditangkap curang dengan isterinya


Seorang lelaki membunuh jirannya dengan kejam selepas menangkapnya menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya. Kejadian tragis itu, yang berlaku semasa sambutan Tahun Baru Cina, dicetuskan oleh rasa cemburu dan dendam yang berpunca daripada hubungan sulit yang telah lama terjalin.


Seperti yang dilaporkan oleh Eva, semalam (27 Julai 2026), kejadian itu berlaku semasa sambutan pada hari keempat Tahun Baru Cina. Ketika kebanyakan orang sedang menikmati perjumpaan bersama keluarga dan menziarahi saudara-mara, satu tragedi berlaku di sebuah rumah di Daerah Qinggang.


Polis menerima laporan sekitar jam 12:30 pagi waktu tempatan dan segera tiba di tempat kejadian untuk menyiasat.


Sebaik tiba di tempat kejadian, pegawai menemui mayat seorang lelaki terbaring di hadapan rumah, berlumuran darah. Di dalam rumah itu, polis menemui seorang wanita duduk di atas katil, menangis dan menggeletar. Dia begitu terguncang secara emosi sehingga dia tidak menyedari kehadiran pegawai.


Selepas dipanggil beberapa kali, wanita itu akhirnya sedar. Dia mengaku bahawa suaminya, yang bernama Song, telah menikam jiran mereka, yang bernama Yin, hingga mati.


Wanita itu memperkenalkan dirinya sebagai Liu Ying. Menurut kenyataannya, selepas kejadian itu, abang sulung suaminya menghubungi polis untuk melaporkan kejadian itu.


Song tidak lama kemudian menyerah diri kepada polis. Semasa disoal siasat, dia mengaku atas tindakannya dan menjelaskan sebab-sebab di sebalik pembunuhan itu.


Song berkata dia tidak dapat menerima hakikat bahawa isterinya mempunyai hubungan sulit dengan Yin. Dia mengakui kemarahannya semakin memuncak selepas menyaksikan hubungan rapat mereka.


Song dan Liu Ying dilaporkan berkahwin melalui perkahwinan yang diaturkan oleh rakan-rakan rapat. Selepas secara rasmi menjadi suami isteri, mereka bekerja di Biro Perhutanan Daerah Qinggang.


Pasangan itu kemudiannya mempunyai seorang anak perempuan. Untuk beberapa lama, perkahwinan mereka harmoni dan stabil sehingga ketibaan Yin mengubah keadaan.


Yin dilaporkan meninggalkan kampung halamannya dan mempercayakan anaknya kepada ibu bapanya untuk dijaga. Selepas bekerja di Qinggang, dia berkenalan dengan Song.


Tidak lama kemudian, Yin berpindah ke sebuah rumah yang tidak jauh dari rumah Song dan Liu Ying. Kedekatan itu menyebabkan Yin kerap melawat pasangan itu.


Song tidak pernah mengesyaki apa-apa, menganggap Yin sebagai seorang kawan. Walau bagaimanapun, tanpa disedarinya, hubungan Yin dengan Liu Ying telah berkembang menjadi hubungan romantik.


Menurut maklumat yang didedahkan, Yin telah membuat beberapa kenyataan menggoda di hadapan Song dan Liu Ying. Song menganggap kenyataan ini sebagai gurauan semata-mata dan tidak pernah mempersoalkannya. - Sumber Tribun Medan.

Ahad, 26 Julai 2026

'Kami tidak sanggup berpisah' - Tiga beradik perempuan pilih kahwini lelaki sama

'Kami tidak sanggup berpisah' - Tiga beradik perempuan pilih kahwini lelaki sama


Tiga beradik perempuan di daerah Amroha, Uttar Pradesh mencetuskan kontroversi apabila mengambil keputusan berkahwin dengan lelaki yang sama kerana tidak sanggup dipisahkan selepas mendirikan rumah tangga.


Saroj, 20, Savitri, 19, dan Santosh, 18, yang merupakan pencipta kandungan media sosial dari Kampung Dhauriya di Hasanpur, dilaporkan mengahwini jurukamera mereka, Vikas, dalam satu upacara di Kuil Chamunda Mata pada 17 Julai lalu.


Rakaman majlis tersebut mula tular pada Rabu, sekali gus mengundang pelbagai reaksi termasuk bantahan daripada beberapa pertubuhan Hindu.


Dalam video berkenaan, Vikas dilihat menyapukan sindoor atau serbuk merah pada dahi setiap pengantin perempuan selepas mereka selesai menjalani upacara perkahwinan mengikut adat Hindu. Tiada ahli keluarga daripada kedua-dua pihak dilihat menghadiri majlis tersebut.


Menjelaskan keputusan luar biasa itu, Saroj berkata, mereka bertiga membesar bersama sejak kecil dan tidak dapat menerima hakikat bahawa perkahwinan akan memisahkan mereka.


"Kami sentiasa bersama sejak kecil dan tidak dapat membayangkan hidup berjauhan. Apabila mengetahui keluarga mahu mengahwinkan kami dengan lelaki berbeza, kami sangat tertekan sehingga pernah terfikir untuk menamatkan riwayat hidup.


"Akhirnya kami memutuskan lebih baik berkahwin dengan lelaki yang sama supaya dapat terus bersama. Kami semua sudah dewasa dan membuat keputusan ini secara sukarela," katanya.


Menurut tiga beradik itu, Vikas telah bekerja sebagai jurukamera mereka sejak enam bulan lalu dan sering melakonkan watak suami dalam kandungan media sosial yang dihasilkan bersama.


Vikas berkata, beliau memahami hubungan rapat antara tiga beradik itu dan bersetuju menerima lamaran mereka demi memastikan mereka tidak dipisahkan.


"Saya tahu mereka sangat rapat dan berkali-kali menyatakan tidak mahu hidup berasingan selepas berkahwin.


"Saya menghormati perasaan mereka dan bersetuju kerana mahu mereka terus bersama. Kami membuat keputusan ini atas persetujuan bersama dan berharap orang ramai menghormatinya," katanya.


Susulan kritikan yang diterima, tiga beradik itu turut memuat naik satu lagi video mempertahankan tindakan mereka.


Mereka merujuk kepada Raja Dasharatha dalam epik Hindu Ramayana yang mempunyai tiga permaisuri, sambil mempersoalkan mengapa tindakan tersebut dipertikaikan pada masa kini.


"Kami tidak melakukan sebarang kesalahan. Kami semua sudah dewasa dan membuat pilihan sendiri," kata mereka.


Bagaimanapun, peguam Mahkamah Tinggi Allahabad, Anurag Pandey berkata, perkahwinan tersebut tidak mempunyai pengiktirafan undang-undang di bawah Akta Perkahwinan Hindu.


Menurutnya, undang-undang Hindu tidak membenarkan seorang lelaki berkahwin dengan lebih daripada seorang wanita pada masa yang sama, sekali gus menjadikan perkahwinan itu terbatal dan tidak mewujudkan hubungan perkahwinan yang sah.


Sementara itu, pengurus Kuil Chamunda Mata, Dr Shivcharan Das berkata, tiada sami berada di lokasi ketika upacara tersebut berlangsung kerana kuil berkenaan sedang menjalani kerja pengubahsuaian.


Pegawai Polis Hasanpur, Pankaj Tyagi berkata, pihaknya telah mengambil keterangan daripada keempat-empat individu terbabit serta keluarga masing-masing selepas video berkenaan tular.


"Mereka memaklumkan bahawa semua pihak sudah dewasa dan menjalankan upacara itu atas kerelaan sendiri. Setakat ini tiada sebarang laporan polis diterima dan ibu bapa mereka juga tidak membantah keputusan tersebut.


"Jika laporan dibuat atau terdapat sebarang kesalahan yang boleh diambil tindakan mengikut undang-undang, siasatan serta tindakan sewajarnya akan dijalankan," katanya.


Walaupun beberapa pertubuhan Hindu tempatan membantah perkahwinan itu kerana didakwa bertentangan dengan norma agama dan masyarakat, sehingga kini tiada sebarang aduan rasmi dikemukakan kepada pihak berkuasa.


Tiga beradik perempuan dari Amroha, Uttar Pradesh mencuri perhatian selepas berkahwin dengan seorang jurukamera dikenali sebagai Vikas, dalam satu majlis yang mengundang pelbagai reaksi di media sosial. - Foto tular Hindustan Times.

Jumaat, 17 Julai 2026

Sakit hanya sebatang gigi tapi doktor cabut 12 batang gigi

Sakit hanya sebatang gigi tapi doktor cabut 12 batang gigi


Sebuah klinik pergigian di China diarahkan memulangkan bayaran rawatan selepas didapati mencabut kesemua 12 batang gigi seorang lelaki warga emas yang pada asalnya hanya mengadu sakit pada sebatang gigi.


Mangsa yang dikenali sebagai Li, 63, dari Baoji, wilayah Shaanxi, mendapatkan rawatan di Datuanyuan Dental Clinic pada September tahun lalu selepas mengalami sakit gigi.


Menurut Li, beliau tertarik dengan iklan promosi klinik itu yang menawarkan slogan seperti 'Pasang implan gigi pada waktu pagi, makan daging pada waktu petang' dan 'Miliki gigi lengkap, hidup melebihi 100 tahun'.


Beliau turut mendakwa kakitangan klinik menghantar kenderaan untuk membawanya ke premis berkenaan serta menawarkan pemeriksaan percuma.


Bagaimanapun, Li mendakwa beliau terkejut apabila kesemua 12 batang giginya dicabut dalam satu prosedur sebelum dipasang 10 implan gigi.


Lebih mengejutkan, pihak klinik didakwa mengeluarkan keseluruhan wang berjumlah 18,800 yuan (RM11,323) daripada akaun bank dan dompet digital miliknya, selain meninggalkan baki hutang rawatan sebanyak 6,200 yuan (RM3,734).


Keluarga Li turut mendakwa klinik berkenaan mengabaikan keadaan kesihatannya walaupun beliau menghidap beberapa penyakit kronik termasuk penyakit jantung koronari, pernah mengalami serangan jantung, diabetes, tekanan darah tinggi serta mempunyai empat stent pada saluran koronari.


Keadaan itu memerlukan penilaian rapi sebelum prosedur pencabutan gigi atau pemasangan implan dilakukan.


Pakar pergigian dari Hospital Rakyat Universiti Wuhan, Fu Dongjie berkata, pesakit diabetes sepatutnya menjalani prosedur implan hanya selepas keadaan kesihatan mereka stabil.


Beliau turut menjelaskan bahawa pencabutan dan pemasangan implan dalam jumlah yang banyak pada satu masa meningkatkan risiko komplikasi serius.


Keluarga Li membuat tiga aduan kepada biro kesihatan tempatan dan mendakwa rekod perubatan yang dikemukakan klinik tidak lengkap serta dipercayai telah diubah suai.


Antara lain, rekod pesakit didakwa tersilap mencatat jantina Li sebagai wanita, manakala dokumen konsultasi pakar jantung hanya dikemukakan enam bulan selepas prosedur dijalankan.


Hasil siasatan yang selesai pada Julai mendapati klinik itu melakukan beberapa pelanggaran prosedur, termasuk gagal menawarkan pilihan rawatan lain, tidak menjalankan penilaian kesihatan praoperasi secara menyeluruh serta tidak menyimpan rekod perubatan mengikut piawaian.


Susulan itu, pihak berkuasa mengarahkan klinik memulangkan sepenuhnya bayaran rawatan kepada Li dan menutup premis berkenaan sementara bagi menjalani proses pembetulan.


Kes tersebut mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial di China, dengan ramai menyifatkan tindakan klinik itu sebagai serius dan membahayakan keselamatan pesakit.

Rabu, 15 Julai 2026

Mahu isteri kembali, lelaki tergamak racun ibu sendiri demi penuhi syarat mentua

Mahu isteri kembali, lelaki tergamak racun ibu sendiri demi penuhi syarat mentua


Seorang lelaki tergamak meracun makanan ibunya selepas didakwa memenuhi syarat ditetapkan ibu mentuanya bagi membolehkan isterinya kembali ke rumah.


Memetik laporan NDTV, kejadian berlaku di Kampung Barpura, Pidhaura di India membabitkan suspek dikenali sebagai Ravindra.


Menurut laporan, kejadian bermula selepas berlaku pertikaian tanah antara Ravindra dengan adik lelakinya, Mukesh sehingga menyebabkan isteri suspek pulang ke rumah keluarganya.


Ravindra kemudian pergi ke rumah mentuanya untuk memujuk isterinya pulang, namun ibu mentuanya didakwa menetapkan syarat bahawa anak perempuannya hanya dibenarkan kembali sekiranya lelaki itu 'menyingkirkan' ibunya.


Lebih mengejutkan, wanita berkenaan didakwa mengarahkan Ravindra supaya mencampurkan racun ke dalam makanan ibunya.


Ravindra dipercayai bersetuju dengan syarat berkenaan sebelum pulang ke rumah dan mencampurkan racun ke dalam hidangan kacang kuda yang kemudiannya diberikan kepada ibunya.


Keadaan mangsa dilaporkan merosot selepas menikmati makanan tersebut sebelum ahli keluarga bergegas membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.


Mangsa kini dilaporkan masih menerima rawatan di hospital. Polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu kemudian tiba di lokasi dan menjalankan siasatan.


Suspek berjaya ditahan, manakala polis kini giat mengesan ibu mentuanya, Phoolvati, yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.


Penolong Pesuruhjaya Polis, Rajiv Ranjan mengesahkan penahanan Ravindra dan memaklumkan operasi sedang dijalankan bagi mengesan serta menangkap Phoolvati.

Selasa, 14 Julai 2026

Cekik pengawal keselamatan hingga mati, empat penghuni pusat pemulihan diburu polis

Cekik pengawal keselamatan hingga mati, empat penghuni pusat pemulihan diburu polis

(Foto dijana AI)

Empat penghuni sebuah pusat pemulihan akhlak kendalian kerajaan berusia antara 18 hingga 20 tahun dipercayai mencekik seorang pengawal keselamatan berusia 40 tahun sehingga mati sebelum melarikan diri dari kemudahan itu di daerah Bilaspur, Chhattisgarh di India, awal pagi Isnin.


Menurut pegawai, kesemua suspek pernah melakukan kesalahan jenayah ketika masih juvana dan ditempatkan di pusat pemulihan berkenaan mengikut Akta Keadilan Juvana.


Bagaimanapun, mereka masih tinggal di kemudahan kediaman yang dikenali sebagai 'tempat selamat' walaupun sudah mencapai usia dewasa.


Memetik laporan Press Trust of India (PTI), kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi di kemudahan kendalian kerajaan yang terletak di bawah kawasan pentadbiran Balai Polis Sarkanda, kata Superintendan Kanan Polis (SSP) Bilaspur, Rajnesh Singh.


Mangsa, Narendra Kumar Khande, adalah penduduk Kampung Araiband di kawasan Takhatpur, daerah berkenaan dan bekerja sebagai pengawal keselamatan kontrak.


Berdasarkan siasatan awal, empat penghuni terbabit dipercayai menyerang Khande sebelum mengikat tangan serta kakinya, menyumbat mulut mangsa dengan kain dan mencekiknya sebelum melarikan diri dari premis berkenaan, kata pegawai polis itu.


"Motif di sebalik pembunuhan ini masih belum dapat dipastikan. Bagaimanapun, berdasarkan siasatan awal, penghuni dipercayai meminta kunci pintu pagar daripada pengawal keselamatan dengan niat untuk melarikan diri. Apabila mangsa enggan, mereka bertindak menyerangnya, membunuh mangsa sebelum melarikan diri," katanya sambil menambah siasatan lanjut masih dijalankan.


Pegawai Projek Pembangunan Kanak-Kanak (CDPO) Bilaspur, Sujata Haldar berkata, tiga daripada penghuni yang melarikan diri itu, masing-masing dua berusia 18 tahun dan seorang berusia 19 tahun, berasal dari daerah Raigarh, manakala suspek keempat berusia 20 tahun berasal dari daerah Korba.


Menurutnya, kesemua suspek dipindahkan dari pusat pemulihan juvana di daerah masing-masing ke sebuah 'tempat selamat' di Bilaspur, iaitu lokasi menempatkan pesalah sehingga mereka mencapai usia 21 tahun.


Haldar berkata, tiga penghuni dari Raigarh berstatus tahanan reman bagi kes berasingan, manakala suspek dari Korba pula sudah dijatuhi hukuman selepas disabitkan kesalahan dalam satu kes pembunuhan.


Polis melancarkan operasi memburu suspek selepas kejadian itu disedari kira-kira jam 8 pagi. Pasukan forensik bersama skuad anjing pengesan turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian bagi mengumpul bukti, manakala penyiasat sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup selain mengesan pelbagai petunjuk bagi menjejaki suspek yang melarikan diri.


Kejadian berkenaan berlaku beberapa minggu selepas 11 juvana melarikan diri dari sebuah pusat pemulihan akhlak kendalian kerajaan di daerah Surguja, Chhattisgarh, pada 23 Jun lalu yang dipercayai mengambil kesempatan ketika hujan lebat serta gangguan bekalan elektrik yang berlaku pada waktu itu.