Ahli Parlimen Subang, Wong Chen meminta kerajaan menjelaskan sama ada Malaysia turut membayar tol untuk kapal negara ini melalui Selat Hormuz susulan dakwaan media antarabangsa bahawa tentera Iran mewujudkan pusat pungutan tol di selat itu dan mengenakan bayaran sehingga AS$2 juta (RM8.04 juta).
Chen menegaskan, sekiranya kerajaan perlu membayar tol, perkara itu perlu didedahkan secara terbuka. Menurutnya, ia demi prinsip ketelusan selain mengambil kira isu tersebut turut membabitkan wang pembayar cukai.
"Secara peribadi bagi saya, membayar dan mendapat kebenaran untuk belayar adalah lebih baik daripada membiarkan kapal serta anak kapal Malaysia terkandas.
"Bagaimanapun, kerajaan perlu telus dan bertanggungjawab dalam hal ini dan saya ketika ini sedang menantikan jawapan daripada kerajaan," katanya.
Beliau berkata, satu lagi isu yang timbul berhubung dakwaan terbabit ialah ketidakpastian mengenai siapakah pemilik kapal dari Malaysia yang melalui selat itu dan persoalan sama ada mereka juga akan menyumbang seandainya benar tol dikenakan.
Pelbagai laporan media antarabangsa sejak minggu lalu menunjukkan bahawa tentera Iran mewujudkan pusat pungutan tol di Selat Hormuz dan mengenakan bayaran sehingga AS$2 juta untuk laluan.
Bloomberg mendakwa, pembayaran itu adalah secara ad hoc namun kaedah pembayaran dan mata wang yang digunakan masih tidak jelas.
Khamis lalu, menerusi perutusan khas mengenai langkah strategik menangani krisis tenaga berikutan perang Asia Barat, Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Iran bersetuju membenarkan kapal-kapal Malaysia melalui sekatan di Selat Hormuz selepas perbincangan dengan presiden republik itu, Masoud Pezeshkian.
Menurut Anwar, Malaysia menghargai keputusan awal Iran seterusnya membolehkan kapal minyak Malaysia dan pekerjanya meneruskan perjalanan pulang.
Pada Ahad pula, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tujuh kapal tangki milik syarikat Malaysia kini menunggu isyarat untuk melalui laluan selamat Selat Hormuz.
Beliau berkata, kapal berkenaan termasuk melibatkan syarikat milik Petronas dan Sapura Energy tidak ditahan, sebaliknya menunggu masa sesuai untuk bergerak bagi memastikan pelayaran selamat.
Kata Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau, beliau dan Anwar telah menghubungi rakan sejawat serta telah dimaklumkan bahawa tiada isu untuk kapal Malaysia meneruskan perjalanan, namun kapal tangki perlu menunggu giliran. - Sumber Sinar Harian.

EmoticonEmoticon