Polis menahan lima suspek termasuk suami isteri dan merampas 510 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dianggar bernilai RM25.5 juta dalam tiga serbuan di sekitar Wang Kelian, dekat Padang Besar, minggu lalu.
Suami isteri terbabit ditahan dalam serbuan pertama bersama seorang lagi suspek selepas polis memintas dua kenderaan di Jalan Utama Wang Kelian yang kemudian membawa kepada penemuan 20 guni mengandungi 500 peket methamphetamine.
Dalam serbuan itu juga, polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaan dinaiki suspek yang cuba melarikan diri dalam keadaan berbahaya, sebelum kedua-duanya terbabas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata suspek dikesan menggunakan taktik membawa ahli keluarga termasuk isteri dalam kenderaan ketika mengangkut dadah seolah-olah mereka sedang bersiar-siar.
Beliau berkata, sindiket dipercayai aktif sejak Ogos 2025 dan mereka turut mengupah individu sebagai 'tentera semut' untuk membawa dadah merentasi hutan sempadan negara melalui laluan haram, selain turut dikesan mempunyai kapasiti menyeludup melalui laluan perairan.
Tambah beliau, susulan tangkapan pertama, polis menjalankan serbuan pada 27 dan 28 Mac lalu dan menahan dua lagi lelaki yang bertindak sebagai tonto atau peninjau keselamatan sindiket.
"Ketua sindiket iaitu lelaki warga emas berusia lingkungan 50-an bagaimanapun dipercayai sempat meloloskan diri ke Thailand dan usaha memburunya giat dijalankan.
"Semua lima suspek yang ditahan berusia antara 23 hingga 37 tahun, dengan ujian saringan awal air kencing mendapati empat daripada mereka positif methamphetamine," katanya.
Hussein berkata, semakan mendapati semua suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah, dengan seorang daripadanya mempunyai 11 rekod lampau.
Polis turut menyita pelbagai aset termasuk enam kenderaan pacuan empat roda dan kereta, serta enam motosikal bernilai keseluruhan RM566,200.
"Dadah dirampas ini jika terlepas ke pasaran boleh merosakkan 2.55 juta penagih dadah.
"Semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

EmoticonEmoticon