Ahad, 5 April 2026

Krisis tenaga global: 'Boleh bincang, tapi jangan ajak-ajak ayam' - Muhyiddin


Pembangkang terutamanya Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk duduk semeja bersama-sama kerajaan bagi mencari jalan penyelesaian ketika dunia sedang berdepan krisis tenaga global.


Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim namun meminta supaya pelawaan itu bukan seperti ajak-ajak ayam.


Muhyiddin berkata, Perdana Menteri perlu melakukannya secara ikhlas bagi menyelesaikan isu yang sedang melanda akibat krisis Asia Barat.


"Kita (pembangkang) mengalu-alukan niat sebegitu kerana isu sekarang ini bukan isu kerajaan, rakyat atau negara tetapi membabitkan semua pihak.


"Tapi tak bolehlah orang kata ia sekadar ajak-ajak ayam. Kita ikhlas, serius...kita boleh duduk bersama dan bincang apa yang mampu dilakukan bersama-sama.


"Kalau Perdana Menteri boleh sikap terbuka mempelawa ataupun menjemput wakil pembangkang untuk duduk dalam jawatan kuasa tertinggi atau pun dalam 'task force' atau pun apa sahaja difikirkan sedang dibuat sekarang ini, kita amat mengalu-alukan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri (DUN), Bukit Kepong di Kompleks Sukan Pagoh, hari ini.


Semalam, Anwar dalam program rasmi di Ipoh, Perak menyeru semua bekerjasama dalam mencari penyelesaian ketika berdepan krisis tenaga global.


Beliau menegaskan, situasi semasa bukan berkaitan pertarungan politik, sebaliknya semua pihak perlu bersabar dan memberi tumpuan kepada usaha menangani cabaran negara.


Sementara itu, Muhyiddin tidak bersetuju pelantikan Tan Sri Mohd Hassan Marican sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menyelaras usaha kerajaan menangani krisis tenaga global berikutan konflik di Asia Barat.


Sebaliknya Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, jawatan terbabit sepatutnya digalas Perdana Menteri seperti mana beliau melakukannya ketika dunia dilanda pandemik Covid-19.


"Urusan seperti ini yang agak paling kritikal, seharusnya dipimpin oleh Perdana Menteri sendiri. Ia bukan soal harga minyak, tetapi keluhan rakyat yang tertekan terutamanya kenaikan harga diesel.


"Saya tak nak ambil contoh waktu zaman Covid-19 yang kita uruskan. Tapi ia dalam satu konteks yang sama iaitu krisis," katanya.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon