Seorang penunggang e-hailing di Vietnam meluahkan kekecewaan kerana hampir separuh pendapatan habis dibelanjakan untuk kos bahan api selepas seharian bekerja menghantar penumpang.
Dia yang hanya dikenali sebagai Nguyen berkata, selepas bekerja selama tujuh hingga lapan jam dan memperoleh kira-kira AS$9.11 (RM32.99), beliau terpaksa membelanjakan AS$4.56 (RM14.76) untuk petrol.
"Saya tidak dapat meneruskan hidup di bandar dengan jumlah pendapatan seperti ini," katanya yang menggunakan aplikasi tempatan Be, dan enggan mendedahkan identiti sebenar, lapor agensi berita Al-Jazeera.
Nguyen berkata, ramai pekerja e-hailing kini memilih untuk berhenti sementara kerana kos petrol yang terlalu tinggi.
"Selepas hari ini, saya akan berhenti bekerja beberapa hari untuk melihat sama ada harga turun atau kerajaan memberikan bantuan," katanya.
Di Vietnam, kesan konflik di rantai Asia Barat menjejaskan ramai pekerja gig. Negara Asia Tenggara itu lazimnya mendapatkan kira-kira 80 peratus bekalan minyak mentah dari Kuwait, namun bekalan terjejas susulan penutupan berkesan Selat Hormuz oleh Iran, sekali gus meningkatkan harga bahan api.
Harga diesel meningkat lebih dua kali ganda, manakala harga petrol naik hampir 30 peratus, menjadikan kos perjalanan di seperti Ho Chi Minh semakin tinggi.
Sebelum ini, kerajaan Vietnam memperkenalkan beberapa langkah kecemasan bagi mengurangkan beban rakyat, termasuk menggantung cukai alam sekitar ke atas diesel, petrol dan bahan api penerbangan sehingga 15 April ini.
Langkah itu bertujuan menstabilkan harga di tengah peningkatan kos sara hidup. Pekerja gig antara paling terkesan kerana bergantung kepada bahan api tinggi selain tidak mempunyai perlindungan pekerjaan yang mencukupi.
Ramai terpaksa bekerja lebih lama kerana tiada jaminan gaji minimum atau bayaran lebih masa. Syarikat dan sektor lain turut terjejas, termasuk pengendali bas yang mengalami kerugian walaupun tambang dinaikkan.
Nelayan di wilayah pesisir turut terkesan apabila kos bahan api meningkat, manakala harga jualan hasil tangkapan menurun.
Bagi sesetengah keluarga berpendapatan rendah, kenaikan harga bahan api memaksa mereka mengurangkan penggunaan gas memasak dan lebih bergantung kepada kayu.
Kerajaan Vietnam kini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kebergantungan tenaga sendiri, termasuk menambah kapasiti penapisan minyak dan mencari sumber bekalan alternatif.
Namun, penyelesaian jangka panjang dijangka mengambil masa, menyebabkan pihak berkuasa terus mencari langkah segera untuk mengurangkan tekanan ekonomi.

EmoticonEmoticon