Ahad, 5 April 2026

'Individu tidak layak masih berlegar-legar guna jawatan Ketua Pembangkang' - Muhyiddin


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyuarakan kekecewaan terhadap Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) kerana pelantikan Ketua Pembangkang masih belum dibuat, sementara individu yang telah dipecat parti terus menggunakan jawatan itu.


Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sudah menghantar surat mencadangkan pelantikan itu perlu dibuat segera, tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil.


"Sudah tentu tidak wajar orang yang tidak layak masih berlegar-legar menggunakan kedudukan sebagai Ketua Pembangkang.


"Kalau sudah kosong, isi...tak kan tak ada (calon). Jika sudah ada calon, tidak perlu menunggu Parlimen bersidang.


"Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan boleh menulis surat kepada Speaker untuk mencadangkan calon yang dipilih," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh di Kompleks Belia dan Sukan Pagoh hari ini.


Muhyiddin menambah, kelewatan pelantikan Ketua Pembangkang boleh menjejaskan maruah dan imej Perikatan Nasional di mata rakyat.


"Ini bukan hak Bersatu, bukan hak Pas, bukan hak Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), bukan hak Parti Rakyat India Malaysia (MIPP). Ini hak PN.


"Saya sudah pimpin PN sejak ditubuhkan, hampir lima tahun lamanya. Saya tahu perkara ini bukannya susah. Bila ada keputusan ia sepatutnya dilaksanakan segera


"Saya mohon supaya Majlis Tertinggi PN, terutama Setiausaha dan Pengerusi PN yang baru dilantik (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) memberi perhatian serius terhadap isu ini dan menyelesaikannya secepat mungkin," ujarnya.


Sebelum itu pada Jumaat, PN dilaporkan belum memuktamadkan pemilihan Ketua Pembangkang Parlimen.


Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata, terdapat beberapa proses yang perlu diselesaikan sebelum keputusan akhir dibuat.


Isu Ketua Pembangkang yang baharu timbul selepas Datuk Seri Hamzah Zainuddin dipecat dari Bersatu dan muncul desakan terutama dari parti lamanya mendakwa beliau tidak lagi berhak memegang jawatan itu kerana tiada berparti.


EmoticonEmoticon