Ahad, 5 April 2026

Subsidi diesel melonjak RM2.2 bilion sebulan, berbanding RM700 juta sebelum ini


Perbelanjaan pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) meningkat tiga kali ganda iaitu kepada RM2.2 bilion sebulan pada bulan lalu, berbanding RM700 juta sebelum ini.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata lonjakan tinggi itu susulan kenaikan harga diesel di pasaran global.


Beliau berkata, sebagai contoh pada Februari lalu, harga diesel dunia adalah AS$93 setong berbanding AS$239 setong pada 31 Mac lalu yang membabitkan lonjakan harga mencecah 158 peratus.


"Jumlah peruntukan subsidi diesel bagi pelaksanaan SKDS ialah RM2.2 bilion sebulan, berbanding RM3.45 bilion setahun yang dibelanjakan sepanjang tahun lalu.


"Bayangkan sebelum ini untuk SKDS kerajaan belanja RM700 juta sebulan kini meningkat kepada RM2.2 bilion sebulan, manakala keseluruhan unjuran subsidi kerajaan untuk bekalan tenaga membabitkan RM7 bilion sebulan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika hadir Taklimat Penguatkuasaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 di Kota Bharu hari ini.


Beliau berkata, sepanjang tahun lalu kerajaan membelanjakan RM3.45 bilion bagi pelaksanaan SKDS meliputi RM3.1 bilion untuk sektor pengangkutan darat barangan dan RM344.05 juta untuk sektor pengangkutan darat awam.


Katanya, jumlah itu tidak termasuk program subsidi diesel lain seperti BUDI Agri-Komoditi, BUDI individu dan subsidi diesel.


"Di bawah SKDS, sebanyak 33 jenis kenderaan disenaraikan layak menerima diesel bersubsidi meliputi 10 jenis kenderaan pengangkutan darat awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan darat barangan.


"Sejak pelaksanaan SKDS bermula 10 Jun 2024 sehingga 30 Mac 2026, sebanyak 150,755 syarikat dan entiti berkelayakan mendapat kelulusan penyertaan dalam SKDS sejumlah 368,911 kenderaan di seluruh negara.


"Daripada jumlah itu, 93 peratus adalah kenderaan pengangkutan darat barangan dan tujuh peratus kenderaan pengangkutan darat awam," katanya.


Pada masa sama, beliau berkata, KPDN akan terus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan SKDS dilaksanakan secara telus, berintegriti serta bebas daripada sebarang ketirisan atau penyalahgunaan.


"Kerajaan juga akan terus bekerjasama rapat dengan semua pemegang taruh industri bagi menambah baik mekanisme pelaksanaan dari semasa ke semasa.


"KPDN menyeru semua pihak industri yang layak tetapi masih belum memohon kemudahan subsidi di bawah SKDS untuk segera berbuat demikian melalui saluran rasmi yang disediakan.


"Kerajaan kekal komited memastikan dasar penyasaran subsidi dilaksanakan secara seimbang, inklusif dan berkesan demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan ekonomi," katanya.


EmoticonEmoticon