Ahad, 5 April 2026

Hamzah memberi bayangan partinya kekal dalam gabungan PN


Bekas Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Hamzah Zainuddin membayangkan partinya masih dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).


Beliau berkata, status 'rumah baharu' yang bakal diumumkan membayangkan wadah politik mungkin sebuah parti sedia ada yang kini berada dalam gabungan PN.


"Kekeliruan timbul apabila kita menggunakan istilah 'rumah baharu', sedangkan ia tidak semestinya merujuk kepada parti yang baharu ditubuhkan secara rasmi.


"Apabila kita kata rumah baharu, tanda tanya timbul adakah kita akan menubuhkan parti baharu ataupun parti yang sedia ada... jawapannya adalah tidak semestinya parti yang baharu ditubuhkan," katanya kepada media semalam.


Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata demikian ketika ditemui pada program Pidato Penyatuan Ummah sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-lima dan Himpunan Alam Melayu 2026 di pekarangan Kompleks Sukan negeri, Kuala Nerus.


Ketika mengulas mungkin akan menyertai PAS, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, tidak salah partinya untuk menyertai parti itu.


"Ya...kemungkinan parti yang sedia ada...Insya-Allah, apa salahnya menyertai PAS, pada saya itu rumah baharu saya tapi rumah itu mungkin sudah tersedia ada," katanya.


Ketika mengulas mengenai pembabitan partinya dalam gabungan PN, Hamzah mencetuskan tanda tanya apabila memberikan bayangan bahawa entiti politik itu sudah menjadi komponen dalam gabungan berkenaan.


"Menyertai ataupun sudah ada dalam PN?. Sebab itu saya kata tadi kita kena tunggu... parti baharu saya tetapi parti itu mungkin sudah ada dalam PN," katanya.


Dalam perkembangan lain, Hamzah menyelar dakwaan segelintir pihak yang menyifatkan tindakannya sebagai tidak wajar selepas meninggalkan BERSATU.


Katanya, setakat ini jawatan Ahli Parlimen dipegangnya masih atas mandat PN, malah mengakui mendapat sokongan majoriti daripada rakan sejawatnya yang lain.


"Kita masih lagi bersama PN dan saya bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu pun atas watikah diberikan PN," katanya.


Mengulas mengenai hala tuju perjuangan partinya, Hamzah menekankan bahawa ia melangkaui soal kelangsungan politik individu, sebaliknya fokus kepada kepemimpinan Melayu yang adil dan berpegang kepada prinsip agama serta Rukun Negara.


"Paling penting adalah perjuangan harus diteruskan bagi kita membincangkan masalah masyarakat Melayu... masyarakat Melayu mahu melihat negara ini terus dipimpin pemimpin Melayu yang tahu cara untuk memberikan keadilan kepada semua," katanya.


EmoticonEmoticon