Selasa, 7 April 2026

Berakhirnya perang Iran mungkin tidak turunkan harga minyak global - Pakar


Harga minyak global mungkin tidak turun kembali seperti sebelum konflik, meskipun perang Iran berakhir, menurut pakar antarabangsa, lapor Xinhua.


Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam menerusi platform media sosialnya Truth Social, untuk menghancurkan seluruh negara Iran "dalam satu malam" jika perjanjian gagal dicapai sebelum tarikh akhir malam ini yang ditetapkannya untuk Tehran membuka semula Selat Hormuz.


Pakar berpendapat walaupun Iran bersetuju, kerosakan infrastruktur tenaga mungkin mengambil masa untuk dibaiki sepenuhnya, dengan beberapa pakar menganggarkan tempoh tiga hingga lima tahun.


Lebih 40 aset tenaga di seluruh wilayah "rosak teruk atau sangat teruk" dan mungkin mengambil masa berminggu-minggu untuk menyelesaikan penghantaran yang tertunda dan eksport tenaga global kembali pulih, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa.


Meskipun dengan kemudahan logistik beroperasi pada tahap puncak, "ia akan mengambil masa untuk membersihkan baki minyak, gas dan barangan lain yang dipunggah daripada kapal," lapor Al Jazeera, memetik Pengarah Urusan Persatuan Risiko Perang Bersama Pemilik Kapal Norway, Svein Ringbakken.


Ringbakken berkata. hal itu diburukkan lagi dengan serangan yang merosakkan infrastruktur tenaga dan pengangkutan di seluruh Asia Barat.


Beliau berkata, jika permusuhan gagal diselesaikan dan laluan maritim terus disekat, pasaran minyak global boleh menjadi lemah dan jika penghantaran terus terganggu, boleh memaksa perubahan struktur dalam penghantaran dan mendorong harga tenaga jangka panjang yang lebih tinggi, lapor BBC.


"Walaupun perang berakhir esok, ia mungkin akan mengambil masa setahun atau lebih untuk semua kemudahan pengeluaran dan perkapalan dipulihkan sepenuhnya," kata Pengasas Bersama Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Dasar,Dean Baker, kepada Xinhua.


Pihak lain mengulangi kenyataan sedemikian, menganggarkan bahawa harga minyak akan kekal tinggi akibat konflik di Iran.


"Tekaan saya ialah harga tidak akan kembali ke arah AS$60 (setong) selama beberapa bulan selepas perang tamat," kata felo kanan bukan pemastautin di Institut Peterson untuk Ekonomi Antarabangsa, Gary Hufbauer, kepada Xinhua, sambil menyatakan bahawa harga minyak mentah Brent berlegar melebihi paras AS$100 setong.


Pada masa yang sama, Iran mula mengenakan bayaran kepada kapal tangki minyak untuk melalui selat itu - dalam beberapa kes sebanyak AS$2 juta setiap kapal - dan Parlimennya meluluskan undang-undang untuk menguatkuasakan tol ke atas kapal yang transit di laluan air.


Rang undang-undang untuk mengenakan bayaran bagi kapal yang melintasi laluan air utama itu diluluskan Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran, lapor media negara itu, semalam.


Tindakan terbabit adalah usaha untuk menegaskan apa yang Iran percaya sebagai "peranan berdaulat" di laluan air, menurut Penyiaran Republik Islam Iran.


Semalam, Trump berkata, AS yang harus mengenakan bayaran tol ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz, sambil menekankan bahawa pembukaan semula Selat itu mesti menjadi sebahagian daripada sebarang perjanjian untuk menamatkan perang dengan Iran.


"Kami perlu mengadakan perjanjian yang boleh diterima oleh saya dan sebahagian daripada perjanjian itu ialah kami mahukan trafik minyak percuma dan segala-galanya," kata presiden AS itu.


Felo Kanan Brookings Institution, Michael O'Hanlon, memberitahu Xinhua, beliau dia tidak melihat peluang untuk laluan air itu dibuka dalam masa terdekat.


Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran mendakwa Selat Hormuz memasuki "realiti baharu" dan tidak akan kembali kepada status sebelumnya, khususnya bagi AS dan Israel.


Pakar mencadangkan bahawa mengganggu penghantaran kapal melalui selat itu juga boleh menjejaskan Iran dan Tehran akan menimbang kos kegawatan ekonomi berbanding keselamatan.


"Akan ada perbincangan dalaman di Tehran tentang sejauh mana kesan kegawatan ekonomi berbanding kelebihan keselamatan," kata penyelidik di Pusat Kajian Antarabangsa dan Keselamatan di Universiti Maryland, Clay Ramsay, kepada Xinhua.


Sementara itu, Tehran memberi amaran tentang tindak balas yang "lebih teruk dan meluas" jika Presiden AS itu mengotakan janjinya untuk menyerang jambatan dan infrastruktur tenaga Iran.


Antara "banyak perkara yang dibincangkan" ialah cadangan gencatan senjata selama 45 hari, lapor NBC, memetik seorang pegawai kanan Rumah Putih.


Ini berlaku selepas Tehran menolak cadangan Washington, memberi tumpuan kepada keperluan untuk menamatkan konflik secara muktamad, menurut laporan berita.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon