Ucapan di majlis wacana Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur diganggu dengan kekecohan dipercayai dilakukan tiga lelaki hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 2.45 petang apabila dua lelaki yang sedang duduk tiba-tiba berjalan ke arah Azam dengan memegang sepanduk.
Suasana dewan bertukar tegang apabila salah seorang daripada individu terbabit bertindak menjerit sambil cuba meluru ke hadapan pentas. Lelaki itu bagaimanapun ditahan Polis Bantuan dan pegawai SPRM di dewan terbabit sebelum dibawa keluar.
Turut kelihatan dan mempertikaikan tindakan dilakukan petugas ialah seorang lelaki disyaki mempunyai kaitan dengan individu yang menjerit dan memegang sepanduk dengan paparan tulisan tidak berpuas hati dengan Azam.
Bagaimanapun, Azam yang sedang berucap kekal tenang dan meneruskan ucapannya sehingga selesai. Beliau malah sempat menceriakan semula suasana dewan dengan respons spontan.
"Jangan alihkan TV (siaran) anda," selorohnya tenang sebelum meneruskan kembali ucapannya.
Wartawan yang berada di lokasi mendapati dua individu berkenaan memakai baju T bertulis 'Mandiri'. Wacana bermula jam 2 petang itu dianjurkan SPRM dengan kerjasama Asia e University (AeU) serta WTC.
Program tersebut antara lain bertujuan berkongsi pengalaman dan wawasan SPRM mengenai transformasi institusi, penekanan terhadap pendidikan dan pencegahan sebagai langkah ke depan dalam usaha pembanterasan rasuah.
Pada masa sama, objektif penganjuran wacana ini adalah untuk berbincang peranan pendidikan dalam membentuk generasi berintegriti serta memupuk tanggungjawab sosial terhadap isu rasuah dan salah guna kuasa.
Majlis itu dihadiri Naib Canselor Asia e University, Prof Dr Noor Raihan Ab Hamid; Ketua Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Seri Rosmamn Mohamed; dan Ahli Parlimen Bentong merangkap Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah; Young Syefura Othman.



EmoticonEmoticon