Sabtu, 24 Disember 2022

Biawak gergasi sesat masuk kawasan resort berjaya ditangkap

Biawak gergasi sesat masuk kawasan resort berjaya ditangkap


Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Bharu menangkap seekor biawak seberat kira-kira 20 kilogram yang sesat di kawasan sebuah resort Jalan Pantai Cahaya Bulan, semalam.


Ketua Operasi APM Kota Bharu, Leftenan Muda Nor Hamiza Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2 petang.


Menurutnya, sebelum masuk ke kawasan resort, kakitangan resort itu melihat haiwan reptilia sepanjang kira-kira dua meter itu berada di bawah sebuah kereta.


"Semasa anggota APM tiba, biawak itu sudah berada di kawasan lapang. Anggota bertugas mengambil masa selama 10 minit untuk menangkapnya menggunakan alat khas.


"Haiwan itu kemudianya dibawa ke tempat kurungan sementara di Pejabat APM daerah sebelum ia dilepaskan ke kawasan hutan," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, Nor Hamiza, biawak itu kemungkinan sesat selepas air surut di kawasan sekitar kampung yang ditenggelami air akibat hujan lebat pada minggu lalu.


Katanya, sebelum ini, APM Kota Bharu berjaya menangkap biawak dan haiwan berbisa di beberapa rumah penduduk yang terjejas banjir. - Sumber Kosmo.


Anggota APM menangkap seekor biawak yang sesat di kawasan sebuah resort di Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu semalam. - Foto APM.

Khamis, 22 Disember 2022

Elon Musk umum akan letak jawatan CEO Twitter sebaik temui menggantinya

Elon Musk umum akan letak jawatan CEO Twitter sebaik temui menggantinya


Elon Musk berkata beliau akan meletakkan jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Twitter sebaik sahaja menemui pengganti "seorang yang cukup bodoh" untuk mengambil alih jawatan itu.


"Saya akan meletakkan jawatan sebagai CEO sebaik sahaja saya menemui seseorang yang foolish enough untuk mengambil alih tugas itu!


"Selepas itu, saya hanya akan menerajui pasukan perisian & pelayan," kata Musk di Twitter pada Selasa, lapor Agensi Anadolu.


Pengumuman Musk dibuat berikutan hasil tinjauan dalam talian yang disiarkannya di Twitter, sama ada beliau perlu meletakkan jawatan sebagai ketua platform media sosial itu.


"Saya akan mematuhi keputusan tinjauan pendapat ini," katanya.


Selepas tempoh kaji selidik berkenaan berakhir pada Ahad lepas, tinjauan itu menerima lebih 17.5 juta undian di seluruh dunia dengan majoriti 57.5 peratus mahu beliau meletakkan jawatan berbanding hanya 42.5 peratus mengatakan tidak.


Pada akhir Oktober, Musk memuktamadkan pemerolehan Twitter bernilai AS$44 bilion.


Musk merombak operasi harian syarikat, termasuk menamatkan perkhidmatan separuh pekerjanya dan eksekutif Twitter yang bertanggungjawab ke atas privasi, keselamatan siber, dan penapisan platform berkenaan.


Sebelum menyiarkan tinjauan pendapat pada Ahad mengenai potensinya meletak jawatan sebagai ketua Twitter, Musk memaklumkan mulai sekarang, "undian akan dilakukan bagi menentukan perubahan dasar utama" di platform media sosial itu.


Pengumuman itu dibuat selepas Musk melancarkan satu kaji selidik meminta pandangan pengguna Twitter tentang prestasinya sepanjang memegang jawatan sebagai ketua syarikat berkenaan. - Foto Anadolu Agency/Getty Images.
Petronas menang kontrak teroka minyak di Lembangan Campos, Brazil

Petronas menang kontrak teroka minyak di Lembangan Campos, Brazil

Gambar hiasaan.

Petronas menerusi anak syarikatnya, Petróleo Brasil Ltda (PPBL) dan rakan niaganya telah memenangi kontrak penerokaan blok Agua Marinha pada bidaan regim perkongsian pengeluaran kitaran terbuka pertama Brazil di Rio de Janeiro.


PPBL akan menguasai 20 peratus kepentingan dalam blok yang terletak di Lembangan Campos, manakala Petrobras dengan 30 peratus, sementara pengendali, TotalEnergies (30 peratus) dan QatarEnergy (20 peratus).


Keputusan bidaan bagi penerokaan kawasan berkenaan diumumkan oleh Agensi Petroleum, Gas Asli dan Biofuel (ANP) Kebangsaan Brazil dalam satu majlis secara langsung pada 16 Disember lalu.


Naib Presiden Eksplorasi Petronas, Mohd. Redhani Abdul Rahman berkata, kejayaan memenangi bidaan menunjukkan kelebihan daya saing syarikat dalam membangunkan dan mencipta nilai aset secara mampan di Lembangan Campos.


"Kami benar-benar teruja dengan keputusan pusingan bidaan yang menggalakkan. Petronas kekal fokus untuk membuka lebih banyak nilai daripada aset dengan rakan kongsi bersama pihak berkuasa tempatan," katanya dalam kenyataan.


Baru-baru ini, PPBL mengumumkan penemuan minyak pertama di telaga 4-BRSA-1386D-RJS di medan minyak Sépia di Lembangan Santos. Syarikat itu memiliki 21 peratus kepentingan penyertaan dalam lapangan itu.


PPBL juga memiliki kepentingan penyertaan dalam Tartaruga Verde (Konsesi BM-C-36) dan Modul III medan laut dalam Espadarte (Konsesi Espadarte), serta tiga blok penerokaan air dalam, C-M-541, C-M-661 serta C-M-715 di Lembangan Campos.


Petronas menang kontrak teroka minyak di Brazil. - Foto Astro Awani.

Rabu, 21 Disember 2022

Pemancing naikkan patin terbesar di dunia seberat 190 kilogram selepas bertarung 90 minit

Pemancing naikkan patin terbesar di dunia seberat 190 kilogram selepas bertarung 90 minit


Seorang pemancing dari Britain berjaya menangkap seekor patin seberat 190 kilogram (kg) yang dipercayai antara terbesar di dunia selepas bertarung selama satu jam setengah untuk menaikkan ikan gergasi itu di Thailand, lapor akhbar Daily Mail pada 19 Disember 2022.


Dean McEwan, 36, menangkap ikan itu di Sungai Mekong ketika melakukan aktiviti memancing di kolam ikan Palm Tree Lagoon Fishery.


Disebabkan terlalu besar, tiga lelaki lain perlu membantu McEwan untuk memasukkan ikan patin tersebut ke dalam jaring bagi membolehkan berat dan saiznya diukur. Haiwan gergasi itu mempunyai panjang 213 sentimeter (sm) dan seberat 190 kg.


Meskipun tiada rekod rasmi bagi kategori 'catfish' terbesar yang ditangkap oleh pemancing Britain di Thailand, hasil tangkapan McEwan mungkin adalah yang terbesar.



"Ketika itu adalah waktu tengah hari, di mana saya mengalihkan pandangan seketika daripada joran sebelum terdengar bunyi kuat pada batang pancing.


"Ia benar-benar menguji stamina. Selepas sejam setengah bertungkus-lumus, kami berjaya menaikkan ikan dan berehat seketika," kata McEwan. 


Selepas mengambil ukuran berat dan panjang serta merakam gambar kenang-kenangan, McEwan melepaskan semula ikan patin itu ke dalam tasik.


Sementara itu, seorang ekspatriat Britain yang mengendalikan kolam ikan itu bersama isteriya, Tim Webb berkata, ia merupakan ikan patin terbesar di tasik itu dan mungkin yang terbesar di Thailand. - Sumber Daily Mail.


Selepas mengambil ukuran berat dan panjang serta merakam gambar kenang-kenangan, McEwan melepaskan semula ikan patin itu ke dalam tasik. - Foto Dean McEwan/B.

Selasa, 20 Disember 2022

Kemunculan cahaya aneh di langit India menimbulkan spekulasi mengenai penampakan kapal angkasa makhluk asing

Kemunculan cahaya aneh di langit India menimbulkan spekulasi mengenai penampakan kapal angkasa makhluk asing


Cahaya misteri yang dikesan selama kira-kira tiga minit di beberapa bahagian di Bengal Barat, termasuk Kolkata, di India sekitar 5.47 petang (waktu tempatan) Khamis lalu menimbulkan spekulasi mengenai penampakan kapal angkasa makhluk asing, lapor India TV News pada 16 Disember 2022.


Kemunculan cahaya aneh secara tiba-tiba itu mencetuskan panik di kalangan orang ramai dan kebanyakan mereka mempersoalkan sama ada ia mungkin sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO).


Cahaya terang itu dilihat berlegar-legar di beberapa daerah di Bengal Barat, oleh sejumlah penduduk yang hairan menyaksikan fenomena sedemikian.


Rakaman luar biasa itu menunjukkan objek bercahaya di langit malam dan disiarkan menerusi beberapa klip video yang dikongsi di Twitter.



Beberapa peminat UFO tempatan mendakwa bahawa UFO itu ialah sebuah pesawat makhluk asing manakala yang lain menganggap ia adalah sebuah satelit.


"Ia sangat dekat. Bukankah ia kelihatan seperti UFO. Cahaya telah lenyap," kata seorang penduduk.


Pentadbiran negeri seolah-olah tidak tahu tentang perkara itu pada mulanya. Namun, kemudian mendedahkan bahawa ia ujian peluru berpandu balistik antara benua berkeupayaan nuklear (ICBM), Agni-V di Teluk Bengal menyebabkan pencahayaan ini di langit.


Sumber pertahanan berpendapat peluru berpandu itu mempunyai keupayaan untuk mencapai sasaran melebihi 5,000 kilometer. Ujian itu dijalankan pada jam 5:30 petang (waktu tempatan) dari Pulau APJ Abdul Kalam di Odisha.


"Ujian itu dijalankan untuk mengesahkan teknologi dan peralatan baharu pada peluru berpandu yang kini lebih ringan daripada sebelumnya. Percubaan itu telah membuktikan keupayaan untuk meningkatkan julat peluru berpandu Agni-5, jika diperlukan," kata sumber. - Sumber India TV News.


Sebuah objek terbang tidak dikenali tebang di langit India pada malam Khamis lalu. - Foto India TV News.

Isnin, 19 Disember 2022

Penjaga gol, Martinez membuat isyarat lucah cemar malam gemilang Argentina

Penjaga gol, Martinez membuat isyarat lucah cemar malam gemilang Argentina


Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez bukan sahaja mencuri tumpuan ketika perlawanan akhir Piala Dunia Qatar 2022 menentang Perancis semalam dengan aksi tangkasnya menepis percubaan berbahaya Les Blues, namun turut mencetuskan kontroversi dengan menerusi gaya sambutannya ketika dikalungkan pingat juara selepas tamat perlawanan.


Martinez, 30 tahun yang meraih anugerah Sarung Tangan Emas selepas dihadiahkan trofi untuk penjaga gol terbaik Piala Dunia, membuat mimik muka kelakar sambil meletakkan trofi itu di celah kangkangnya sejurus menerima anugerah berkenaan.


Tindakannya itu mengejutkan peminat yang menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia apabila dia membuat isyarat lucah selepas menerima trofi tersebut.


Argentina melakarkan kemenangan ke atas Perancis menerusi sepakan penalti selepas kedudukan terikat 3-3 sehingga masa tambahan tamat.



Martinez bertindak cemerlang dengan menyelamatkan percubaan di saat-saat akhir masa tambahan untuk membawa perlawanan ke penentuan penalti.


Selepas perlawanan dia dihadiahkan Sarung Tangan Emas, trofi yang diberikan kepada penjaga gol dengan rekod bersih terbanyak.


Dia kemudiannya memegang anugerah itu di pangkal pahanya dan membuat isyarat lucah semasa kembali menyertai rakan pasukan.


Namun tindakan Martinez ini menimbulkan rasa kurang senang dikalangan peminat sukan dunia.


"Dia tidak sepatutnya melakukan sesuatu yang bodoh untuk beberapa saat. Ia tidak matang. Bayangkan melakukan ini di hadapan dua bilion orang!!" komen salah seorang netizen di media sosial.


Martinez membuat isyarat lucah dengan trofi Sarung Tangan Emas. - Foto Daily Mail.
Kejadian pelik muncung jet pejuang tentera AS terjunam di landasan

Kejadian pelik muncung jet pejuang tentera AS terjunam di landasan


Seorang juruterbang Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) berjaya menggunakan kerusi anjal untuk keluar dari sebuah jet pejuang kalis radar F-35B Lightning II bernilai £80 juta (RM429.85 juta) di Texas, lapor akhbar New York Post pada 15 Disember 2022.


Juruterbang itu menggunakan kerusi anjal selepas jet tersebut mendarat dalam keadaan yang pelik apabila muncungnya terjunam pada landasan ketika ia mendarat secara tegak di sebuah pangkalan tentera di Fort Worth pada 10:15 pagi (waktu tempatan) pada Khamis lalu.


Rakaman video luar biasa menunjukkan jet itu turun secara menegak perlahan-lahan seperti pendaratan sebuah helikopter dan sebaik sahaja mendarat, ia melantun beberapa kali ke udara sebelum muncungnya menjunam di atas landasan.



Pada ketika itu, juruterbangnya menggunakan kerusi anjal untuk menyelamatkan diri, manakala syarikat Lockheed Martin iaitu pengeluar jet tersebut mengaku kejadian nahas itu dalam satu kenyataan.


Syarikat itu berkata: "Kami menyedari nahas F-35B di landasan Pangkalan Simpanan Bersama Stesen Udara Tentera Laut di Fort Worth dan memahami bahawa juruterbang itu berjaya menyelamatkan diri.


"Keselamatan adalah keutamaan kami. Kami akan mengikut protokol siasatan yang sesuai."


Sejak tahun 2015, Tentera Udara AS telah mengalami masalah dengan pendaratan secara menegak jet tersebut. - Sumber New York Post.


Muncung jet pejuang kalis radar F-35B Lightning II terjunam pada landasan di sebuah pangkalan tentera di Fort Worth, Texas pada Khamis lalu. - Foto WFAA Twitter.

Ahad, 18 Disember 2022

Lepas belanjakan lebih RM200,000 untuk besarkan bibir, kini wanita dari Austria ini jadi rebutan ramai peminat lelaki

Lepas belanjakan lebih RM200,000 untuk besarkan bibir, kini wanita dari Austria ini jadi rebutan ramai peminat lelaki


Seorang wanita berkata bahawa dia telah membelanjakan sebanyak £40,000 (RM214,924) untuk menjadikan bibirnya kelihatan besar dan beberapa prosedur lain, lapor akhbar Mirror UK pada 16 Disember 2022.


Fetisch Barbie dari Vienna, Austria turut mencantikkan hidung, pipi, dagu, nasolabial dan melakukan suntikan botox pada mukanya.


Dia juga mempunyai ramai peminat dalam kalangan lelaki yang memuji dan membelinya pelbagai jenis hadiah.


Barbie berkata, lelaki-lelaki itu menghubunginya secara online dan wanita tersebut masih berhubung dengan mereka kerana dirinya adalah 'tangan' peneraju transformasi mereka.


Wanita tersebut menyifatkan dirinya memiliki kecantikan semula jadi dan berminat dengan versi kewanitaan kosmetik sejak berusia 13 tahun lagi.


Sejak berumur 18 tahun, bibirnya telah disuntik sekitar 50 hingga 60 kali dan melakukan pembesaran terhadap payu daranya supaya dia mempunyai tubuh yang kelihatan 'terlalu' kewanitaaan.


Barbie juga mendakwa bahawa sesetengah orang telah menjadi sangat taksub dengannya sehingga mereka memutuskan untuk beralih menjadi wanita dan meniru penampilannya.


Dia juga mendedahkan terpaksa membiasakan diri dengan orang menilai penampilannya, tetapi kini ia hanya menghalang sesiapa sahaja yang menghantar kebencian kepadanya di media sosial.


"Bibir besar saya mungkin merupakan pengubahsuaian saya yang paling polarisasi, orang ramai suka atau benci dan saya taksub dengannya," katanya.


Selepas sedekad pengubahsuaian badan dia berkata ia belum selesai. Dia juga menjelaskan bahawa keluarganya 'bukan peminat tegar penampilannya' tetapi mereka menghormatinya. - Sumber Mirror UK.


Seorang wanita sanggup berbelanja besar semata-mata mahu kelihatan dirinya terlampau kewanitaan. - Foto mediadrumimages/FetishBarbie.
Lelaki curi seluar dalam wanita untuk ritual ilmu pengasih berjaya ditangkap

Lelaki curi seluar dalam wanita untuk ritual ilmu pengasih berjaya ditangkap

Gambar Hiasan.

Seorang lelaki yang mencuri seluar dalam wanita untuk tujuan ritual ilmu pengasih berjaya ditangkap di Padukuhan Kropak, Kelurahan Candirejo, Kapanewon Semanu, di Yogyakarta, lapor portal berita Tribun Jatim pada 17 Disember 2022.


Seorang pegawai polis, Inspektor Mahmed Ali Bahonar berkata, kejadian berlaku ketika seorang suami mendengar bunyi tapak kaki di luar rumahnya dan keluar untuk menjejakinya.


"Suami si mangsa (wanita) mendapati pelaku menghendap masuk ke pekarangan rumah mangsa pada Khamis (15/12/2022) sekitar pukul 04.30 pagi (waktu tempatan).


"Si suami yang berusia 42 tahun melihat pelaku itu menuju ke tempat jemuran pakaian," katanya ketika dihubungi portal berita Kompas.com.


Pencuri itu kemudian mengambil seluar dalam wanita tersebut menyebabkan dia dikejar oleh si suami sehingga akhirnya berjaya ditangkap sebelum diserahkan kepada polis, kata Mahmed.


Selepas ditangkap, pemuda berusia 28 tahun dari Kapanewon Semanu, Gunungkidul itu kemudian mengaku mencuri seluar dalam tersebut untuk tujuan ritual ilmu pengasih.


Mahmed berkata, pendekatan kesepakatan penyelesaian bersama antara pencuri dengan pemilik seluar dalam itu dilakukan kerana nilai kerugian itu hanya melibatkan jumlah yang kecil. - Sumber Tribun News.


Seorang lelaki ditangakp selepas dia mencuri seluar dalam seorang wanita di Padukuhan Kropak, Kalurahan Candirejo, Kapanewon Semanu pada pagi Khamis. - Foto Radar Jogja.

Sabtu, 17 Disember 2022

CCTV rakam wanita berbikini rompak kedai dan rumah pada hari yang sama

CCTV rakam wanita berbikini rompak kedai dan rumah pada hari yang sama


Seorang pencuri wanita yang hanya memakai bikini ditahan selepas memecah masuk sebuah rumah dan kedai pembekal bahan binaan di ­Chiang Mai, Thailand, lapor portal berita Thaiger pada 14 Disember 2022.


Ketika kejadian, suspek berjaya melarikan wang tunai, te­lefon pintar jenama iPhone dan beberapa barangan lain. Pemilik kedai itu memuat naik rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi keja­dian di laman Facebook baru-baru ini.


Rakaman itu menunjukkan pencuri wanita tersebut memanjat pagar setinggi tiga meter di belakang kedai dan cuba membuka pintu, namun dia berputus asa selepas gagal membukanya selama 30 minit.


Dia kemudian memanjat semula pagar dan melarikan diri, manakala kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada Sabtu lalu pada pukul 6 petang (waktu tempatan).


Pemilik kedai berkata, dia terkejut kerana wanita itu berani melakukan jenayah pada waktu petang disebabkan kawasan berhampiran yang sentiasa sesak dengan penjual dan para pe­ngunjung.


Dalam kejadian berasingan pada hari sama, wanita tersebut turut cuba memecah masuk sebuah rumah di Chiang Mai. Rakaman CCTV berhampiran lokasi kejadian itu merakamkan aksi suspek bersama barangan curi.


Dia memanjat bumbung, terjun ke dalam parit dan melarikan diri dengan membawa telefon, jam tangan, wang sebanyak 1,000 baht (RM126), alat pengencas dan beberapa helai pakaian dalam.


Pegawai-pegawai dari Balai Polis Chang Phueak memeriksa kamera keselamatan di sepanjang laluan iaitu tempat wanita itu melarikan diri.


Mereka kemudian melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan mengesan cap jari suspek sebelum wanita tersebut berjaya ditangkap pada Rabu lalu. - Sumber The Thaiger.


Suspek dirakam memanjat pagar sebuah kedai sebelum melarikan diri. - Foto NBT North.