Jumaat, 26 Mac 2021

'Selamat tinggal Bumi' manusia bakal pindah ke Planet Marikh


Awal tahun 2020, pertandingan Reka Bentuk Negeri Mars City dianjurkan oleh The Mars Society bertujuan untuk mencari reka bentuk terbaik untuk negara kota Marikh, yang boleh memuatkan penduduk dari Bumi dimasa akan datang.


Reka bentuk yang dipilih telah dibentangkan, disusun oleh firma seni bina, Abiboo Studio, yang berpangkalan di Sepanyol, AS dan India. Lapor akhbar Daily Mail 21 Mac 2021, pelan bagi membina sebuah bandar lestari pertama di Planet Marikh dilancarkan oleh firma arkitek Abiboo.


Diberi nama Nüwa, bandar utama itu merupakan salah satu daripada lima bandar Marikh yang dirancang pembinaannya di Tempe Mensa iaitu sebuah kawasan di planet berkenaan. Bandar itu akan dibina secara menegak dan bukan mendatar bagi mengurangkan tekanan atmosfera dan radiasi berbahaya.


Alfredo Muñoz pengasas Abiboo berkata, tekanan udara yang melampau di planet ini membuatkan rekaan bentuk rumah biasa seperti di Bumi adalah mustahil untuk dibina, jadi rekaan ditebing adalah yang terbaik.


"Sinaran matahari dan gamma di Marikh memaksa kita untuk membina ruang yang tidak langsung terdedah dengan langit. Jika kita membangunkan bangunan seperti di Bumi, bangunan itu cenderung untuk meletup disebabkan oleh tekanan," katanya.


Memandangkan air dan karbon dioksida boleh berada di permukaan Marikh, dua elemen itu akan membantu Abiboo mencipta besi yang dihasilkan secara eksklusif menggunakan bahan-bahan di Planet Merah itu.


Bandar itu akan merangkumi semua binaan utama yang ada di Bumi seperti rumah, pejabat dan juga taman. Alfredo Muñoz berkata, syarikat itu melakukan analisis dan bekerjasama dengan ramai saintis bagi memahami keadaan yang akan dihadapi.


Mereka yang mengimpikan untuk menetap di Marikh bagaimanapun terpaksa memberi laluan kepada cucu atau cicit masing-masing memandangkan pembinaan Nüwa hanya akan bermula pada 2054 dan penduduk dijangka boleh berpindah menjelang tahun 2100.




Populasi bandar yang dirancang itu pula ialah seramai 250,000 penduduk. Sumber makanan utama bagi penduduk Nüwa datang daripada tumbuh-tumbuhan dan aktiviti rekreasi pula sama seperti yang boleh dinikmati di Bumi daripada berkhemah sehinggalah aktiviti seni dan kraf.


Transisi kehidupan dari Bumi ke planet Marikh merupakan sesuatu yang agak rumit namun ia sama sekali tidak mustahil. Penerbangan ulang-alik dari Bumi ke Marikh akan beroperasi setiap 26 bulan dan setiap perjalanan memakan masa antara tiga hingga enam bulan.


Kos bagi tiket sehala dari Bumi ke Planet Merah itu dijangkakan sekitar AS$300,000 (RM1.2 juta). Nama Nüwa diambil daripada karakter mitos dewi dari China.


Iklim ekstrem Marikh merupakan antara cabaran dalam pembinaan sebuah bandar yang selamat dan lestari. - Foto Abiboo Studio


Antara elemen paling unik dalam reka bentuk Nüwa ialah struktur binaannya yang menegak bagi mengurangkan tekanan atmosfera dan radiasi berbahaya. - Foto Abiboo Studio.


Kawasan kubah hijau akan berfungsi sebagai taman rekreasi atau kawasan untuk menanam tumbuh-tumbuhan. - Foto Abiboo Studio.


Secara asasnya, kehidupan di Marikh kelak tidak banyak beza berbanding kehidupan di Bumi. - Foto Abiboo Studio.


EmoticonEmoticon