Rabu, 24 Mac 2021

Jumpa 'bakal suami' dalam talian, wanita rugi RM200,000 ditipu sindiket Love Scam


Walaupun internet merupakan antara medium untuk menambah kenalan, namun pengguna internet harus bijak dan berjaga-jaga. Sebagai contoh, laman mencari cinta, atau dating, mungkin memudahkan proses mencari pasangan hidup, namun adakah orang kita kenali menggunakan identiti yang sebenar?


Atau terdapat identiti yang berbeza di sebalik gambar kacak atau cantik yang digunakan? Walaupun pelbagai amaran dan kesedaran tentang penipuan dalam talian telah dikeluarkan, mengapa masih ada yang menjadi mangsa? Terbaharu, seorang wanita kehilangan lebih RM200,000 selepas ditipu 'bakal suaminya' yang dikenali dalam sebuah laman pencari jodoh.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintendan Maria Rasid, berkata kes penipuan cinta atau 'love scam' itu membabitkan mangsa berusia 33 tahun yang juga penjawat awam bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Miri.


Katanya, mangsa telah melayari laman web berkenaan pada 1 Jun tahun lalu dan berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai 'Mason Harrison Davis' dan kononnya bekerja sebagai doktor di sebuah hospital di Cardiff, United Kingdom.


"Suspek telah melamar mangsa untuk berkahwin serta mengatakan akan berpindah ke Malaysia dan mengatakan akan menghantar wang berjumlah £155,000 (RM878,016) melalui 'Syarikat Transfast' sebagai lamaran.


"Sejak perkenalan itu, mangsa telah berhubung (dating) dengan suspek satu jam setiap hari selama lebih kurang sebulan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menjelas lanjut, Maria berkata pada pada 7 Julai 2020, mangsa telah dihubungi oleh seorang wanita yang mengaku ejen dari "Syarikat Transfast" dan meminta mangsa membuat pembayaran sebanyak RM200,000 kononnya untuk pelepasan wang yang dikirimkan oleh lelaki itu.


Akibat terpedaya, mangsa telah membuat 20 transaksi pemindahan wang keseluruhan berjumlah RM203,642 ke dalam 11 akaun bank atas nama individu yang tidak dikenali antara 7 Julai 2020 hingga 17 Mac 2021 atas alasan pelepasan cukai dan juga pelepasan wang yang dihantar itu.


Maria berkata wanita itu mula menyedari ditipu selepas lelaki berkenaan masih meminta mangsa membuat bayaran tambahan dan seterusnya tampil membuat laporan polis.


EmoticonEmoticon