Selasa, 26 Mei 2026

Zahid failkan rayuan mohon halang kebenaran Badan Peguam cabar kes rasuah DNAA


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membenarkan Badan Peguam mencabar tindakan melepas tanpa membebaskan (DNAA) dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi membabitkan Presiden UMNO itu.


Perkara itu dimaklumkan peguam mewakili Ahmad Zahid, Datuk Hamidi Mohd Noh, ketika dihubungi media hari ini.


Hamid berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) turut memaklumkan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan sama selain memohon penangguhan prosiding di Mahkamah Tinggi.


"Pihak kami sudah memfailkan permohonan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan.


"AGC juga maklum bahawa mereka juga akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tempoh hari dan failkan permohonan prosiding kekal di Mahkamah Tinggi," katanya mengulas mengenai pengurusan kes saman Badan Peguam terhadap Ahmad Zahid dan Peguam Negara di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.


Dalam pada itu, Mahkamah Tinggi menetapkan 9 Jun depan bagi pengurusan kes lanjut.


Terdahulu, pengurusan kes berkenaan dikendalikan Penolong Kanan Pendaftar, Faten Nuradilla Jamil.


Prosiding hari ini dihadiri Pegawai Undang-Undang Kanan Persekutuan, Imtiyaz Wizni Aufa Othman bagi pihak AGC, peguam Abhilaash Subramaniam mewakili Badan Peguam serta peguam Nur Khairunnisa Sabirah Abdul Manan bagi pihak Ahmad Zahid.


Pada 7 Mei lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Badan Peguam untuk meneruskan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan DNAA terhadap Ahmad Zahid.


Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Faizah Jamaludin memutuskan Badan Peguam mempunyai isu yang boleh dipertikaikan dan tidak bersifat remeh untuk merit kes didengar di Mahkamah Tinggi.


Mahkamah turut memutuskan keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Jun 2024 yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman perlu diketepikan.


Pada September 2023, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.


EmoticonEmoticon