Mahkamah Tinggi Tawau semalam, mengeluarkan waran tangkap ke atas 41 warga China selepas gagal hadir pada prosiding semalam, berkaitan tuduhan pakatan jenayah sindiket penipuan dalam talian.
Waran itu dikeluarkan Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos selepas hanya 39 daripada 80 tertuduh yang hadir pada prosiding sebutan permohonan semakan syarat jaminan warga China terbabit yang dituduh di bawah Seksyen 102b Kanun Keseksaan.
41 tertuduh itu gagal hadir pada sebutan pada 21 April lalu dan kekal tidak hadir semalam (25 Mei), dipercayai sudah melarikan diri atau pulang ke negara asal selain penjamin mereka juga gagal hadir untuk memberi surat tunjuk sebab.
Berikutan itu, mahkamah memutuskan selain waran tangkap, wang jaminan mereka turut dibatalkan dan dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia.
Mahkamah sama pada 21 April lalu memperketat syarat jaminan terhadap 80 individu yang didakwa terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian dengan mengarahkan pasport mereka ditahan dan mewajibkan lapor diri secara berkala kepada polis.
Ia susulan permohonan semakan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang membenarkan semua tertuduh diikat jamin dengan mengambil kira faktor kesalahan terbabit adalah kes boleh dijamin selepas mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pakatan jenayah.
Seramai 78 tertuduh itu dikenalpasti warga China termasuk empat wanita, selain masing-masing seorang warga Myanmar dan Laos.
Sementara itu, dalam perkembangan sama Mahkamah Majistret turut mengeluarkan waran tangkap terhadap semua tertuduh yang gagal hadir pada prosiding yang ditetapkan untuk sebutan semula dan pengurusan pra-perbicaraan semalam.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin kemudiannya menetapkan tarikh 12 hingga 16 Oktober ini untuk perbicaraan penuh bagi kes berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif memaklumkan pihaknya sudah menyerahkan dokumen kepada peguam yang mewakili sepuluh daripada semua tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama atas kesalahan pakatan jenayah.
Beliau berkata, tertuduh yang belum melantik atau tidak diwakili peguam akan diserahkan dokumen pada 29 Jun ini.

EmoticonEmoticon