Ahad, 18 Julai 2021

23 rumah atas air hangus terbakar di Tanjung Aru


KOTA KINABALU, 18 Julai - Penduduk perkampungan atas air di Kampung Tanjung Aru Baru dikejutkan dengan kejadian kebakaran yang memusnahkan 23 buah rumah awal pagi hari ini.


Kebakaran pada pukul 4.32 pagi itu merupakan kejadian ketiga berlaku dalam tempoh singkat di kampung itu, yang mengakibatkan 33 rumah musnah pada 25 Mei lepas manakala 10 rumah lagi pada 6 Julai lepas.


Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada 4.32 pagi dan sepasukan pegawai dan anggota yang terdiri daripada 36 orang dikejarkan ke lokasi kejadian dengan menggunakan 10 buah jentera dan kenderaan utiliti.


"Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu digegaskan ke tempat kejadian sejauh tiga kilometer itu dengan dibantu anggota BBP Penampang. Bomba mengalami kesukaran ke lokasi kejadian disebabkan laluan jalan yang sempit," menurut kenyataan itu.


Kebakaran dipercayai berpunca daripada sebuah rumah sebelum api merebak ke rumah berhampiran berikutan kedudukan rumah yang terlalu rapat. Kebakaran itu turut memusnahkan lima kereta dan enam motosikal namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


Operasi pemadaman kebakaran berjalan lancar dan api berjaya dikawal pada 5.49 pagi. Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 8 pagi, manakala jumlah kerugian masih disiasat.


Kebakaran yang memusnahkan 23 rumah perkampungan atas air di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu hari ini.

Keadaan rumah penduduk dan kenderaan di perkampungan Tanjung Aru yang hangus terbakar.

Kebakaran yang memusnahkan kira-kira 10 buah rumah atas air di Kota Kinabalu, 6 Julai lalu.


EmoticonEmoticon