KUCHING - Polis Sarawak berjaya menumpaskan tujuh sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi menerusi pusat panggilan atau call centre dalam satu operasi bersepadu, Ops Megpie 01/2026, yang menyaksikan 42 individu ditahan.
Operasi dijalankan Bahagian Siasatan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan kerjasama JSJK Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dari 19 hingga 31 Oktober lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Komisioner Saifullizan Ishak berkata, tujuh serbuan dilakukan di Bintulu, Kuching, Padawan, Miri dan Sibu, membabitkan dua rumah banglo, tiga rumah teres serta dua unit apartmen yang dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket.
Menurutnya, kesemua individu yang ditahan berusia antara 19 hingga 61 tahun, terdiri daripada 36 lelaki dan enam wanita.
Daripada jumlah itu, 14 merupakan warga tempatan, manakala 28 lagi warga asing membabitkan 18 warga China, lapan Indonesia serta masing-masing seorang dari Taiwan dan Myanmar.
Siasatan mendapati sindiket terbabit menjalankan pelbagai kegiatan penipuan termasuk pelaburan tidak wujud, pelaburan mata wang kripto, tawaran permainan judi dalam talian palsu serta pengurusan kewangan hasil kegiatan penipuan.
Sindiket berkenaan dipercayai menyasarkan mangsa di luar negara termasuk Jepun, China, Indonesia dan Austria, bukannya rakyat tempatan.
Tempoh operasi di premis terbabit dikesan antara 10 hari hingga 11 bulan sebelum kegiatan mereka berjaya dihidu polis hasil maklumat orang awam.
Dalam operasi itu, polis turut merampas peralatan bernilai kira-kira RM230,000, termasuk 33 komputer riba, empat set komputer, tujuh telefon bimbit, lima set peranti Internet tanpa wayar, satu set rangkaian Internet dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Saifullizan berkata, seramai 33 individu sudah dituduh di mahkamah, manakala tiga lagi dijadikan saksi pendakwaan. Daripada mereka yang dituduh, 17 mengaku bersalah dan dikenakan denda antara RM500 hingga RM4,000 setiap seorang.


















