JOHOR BAHRU - Seorang lelaki berstatus suami orang ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas dipercayai berkhalwat dengan seorang wanita bujang di sebuah rumah sewa di Skudai, di sini.
Menurut kenyataan JAINJ, pasangan berusia lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira jam 3.15 pagi, baru-baru ini, susulan aduan orang awam.
Ketika tiba di lokasi, penguat kuasa mendapati pagar rumah teres dua tingkat berkenaan tertutup, manakala sebuah kereta dipercayai milik lelaki terbabit berada di hadapan rumah.
Selepas mengetuk pagar, seorang lelaki keluar kira-kira lima minit kemudian dengan memakai seluar panjang dan kemeja-T. Lelaki itu kemudian mengakui tinggal bersama seorang wanita.
Pemeriksaan lanjut mendapati seorang wanita berpakaian tidur sedang berada di ruang tamu. Ketika disoal, wanita berkenaan mengaku hanya berkawan dengan lelaki itu dan mereka bukan mahram.
Hasil pemeriksaan turut mendapati lelaki terbabit sudah berkahwin dan bekerja di Johor Bahru, manakala wanita berkenaan masih bujang serta bekerja di bandar raya sama.
JAINJ turut memeriksa empat bilik di rumah sewa itu dan mendapati hanya bilik utama digunakan, sementara tiga bilik lain kosong.
Lelaki berkenaan memaklumkan dia tidak lagi tinggal bersama isterinya akibat masalah rumah tangga, malah isterinya menetap kira-kira 20 kilometer dari rumah sewa tersebut.
Dia juga menyatakan hasrat untuk bernikah dengan wanita berkenaan walaupun masih mempunyai isteri.
Bagaimanapun, pengadu mendakwa terdapat seorang wanita yang datang ke rumah itu selepas waktu bekerja selama dua hingga tiga hari berturut-turut.
Pasangan berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.
JAINJ memaklumkan perkongsian kejadian itu bertujuan memberi pengajaran kepada masyarakat, bukannya untuk memalukan mana-mana pihak.


























