KUALA LUMPUR - Seramai 190 warga asing dan dua lelaki tempatan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di ibu negara, awal pagi tadi.
Serbuan itu turut menemukan serbuk putih yang disyaki dadah di beberapa pinggan serta kondom di dalam bilik hiburan premis berkenaan.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen, Datuk Basri Othman berkata, warga asing yang ditahan terdiri daripada 99 lelaki dan 91 wanita berusia antara 20 hingga 41 tahun.
Menurutnya, 188 daripada mereka ialah warga Indonesia, manakala dua lagi masing-masing warga Bangladesh dan India. Dua lelaki tempatan yang dipercayai majikan serta penjaga premis turut ditahan.
Beliau berkata, ketika serbuan dijalankan, antara 50 hingga 60 individu berada di setiap bilik yang disediakan untuk berhibur.
Pemeriksaan mendapati antara kesalahan imigresen yang dikesan ialah tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
Basri berkata, penemuan bahan disyaki dadah dan kondom turut mendorong siasatan lanjut bagi mengenal pasti kemungkinan aktiviti lain di premis berkenaan.
Semua individu yang ditahan dibawa ke depot tahanan imigresen untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.
Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan JIM di sebuah pusat hiburan di ibu negara, awal pagi tadi. - Foto Buletin TV3.
EmoticonEmoticon