ALOR SETAR - Tindakan pemandu sebuah kereta elektrik BYD Selion 7 menekan pedal minyak beberapa kali selepas kenderaan dipercayai tidak bergerak mengakibatkan kereta itu hilang kawalan lalu merempuh lima kenderaan lain di lampu isyarat Simpang Kuala, Lebuh Raya Sultan Abdul Halim, petang semalam.
Kemalangan kira-kira jam 4.30 petang itu melibatkan enam kenderaan, termasuk BYD berkenaan, Proton S70, Toyota Corolla Cross, dua Perodua Bezza dan Toyota Yaris.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pihak Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.11 petang.
Siasatan awal mendapati pemandu BYD berusia 37 tahun sedang dalam perjalanan dari pusat bandar Alor Setar menuju ke Simpang Kuala sebelum kenderaan dipandunya dipercayai mengalami masalah dan tidak bergerak ketika tiba di lokasi.
"Pemandu dipercayai menekan pedal minyak beberapa kali sebelum kenderaan hilang kawalan, terbabas dan melanggar belakang kereta yang berhenti di lorong kiri serta beberapa kenderaan lain," katanya.
Pemandu BYD itu ditahan untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil. Ujian saringan awal air kencing juga didapati negatif dadah.
Lima pemandu lain yang terlibat, berusia antara 26 hingga 63 tahun, tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kemalangan itu turut tular di media sosial, dengan terdapat dakwaan mengaitkannya dengan pengaruh alkohol dan dadah. Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing pemandu BYD berkenaan didapati negatif dadah.

EmoticonEmoticon