Ahad, 29 November 2026

Sindiket seludup PATI guna proton Preve berlampu 'beacon' dan plat palsu tumpas


TUMPAT - Taktik sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menggunakan kenderaan menyerupai milik pihak berkuasa bagi mengelirukan anggota penguatkuasa terbongkar selepas dua kereta ditahan di Kampung Kok Serai, di sini, awal pagi semalam.


Sindiket berkenaan dipercayai memasang lampu mata arah (beacon light) serta menggunakan nombor pendaftaran palsu pada kenderaan bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan.


Dalam operasi kira-kira jam 6 pagi, anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) menahan dua kereta Proton Preve yang dipercayai digunakan untuk membawa PATI.


Siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan dilengkapi lampu mata arah dan menggunakan nombor pendaftaran palsu, dipercayai bagi menampakkan seolah-olah kenderaan berkenaan milik pihak berkuasa.


Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, pihaknya sebelum ini beberapa kali melakukan tangkapan terhadap sindiket penyeludupan PATI yang menggunakan kenderaan dilengkapi lampu mata arah.


Beliau berkata, penggunaan lampu berkenaan hanya dibenarkan kepada pihak berkuasa, namun sindiket menyalahgunakannya untuk mengelirukan anggota keselamatan.


"Bagaimanapun, dua kenderaan itu berjaya ditahan pagi tadi (semalam) ketika membawa sembilan PATI warga Myanmar dan India yang dipercayai baru menyeberangi Sungai Golok di Pengkalan Kubor," katanya.


Menurut Ahmad Radzi, pasukan operasi turut berdepan detik cemas apabila hampir dirempuh sebuah kereta yang dipandu tekong darat ketika cubaan menahan kenderaan berkenaan.


Sebuah lagi Proton Preve yang dipandu lelaki warga Myanmar pula terbabas sebelum merempuh pokok. Kejadian itu menyebabkan tekong darat berusia 27 tahun, dipercayai etnik Rohingya, mengalami kecederaan di bahagian kanan muka.


Kesemua sembilan PATI yang ditahan, termasuk seorang wanita, berusia antara 21 hingga 35 tahun dan dipercayai dalam perjalanan untuk dihantar ke Kuala Lumpur.


Hasil soal siasat mendapati setiap warga Myanmar yang terlibat dikenakan bayaran kira-kira RM6,000 untuk memasuki negara ini, selain dijanjikan pekerjaan di Lembah Klang.


Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


EmoticonEmoticon