Ahad, 29 November 2026

Shuhaily kembali berkhidmat dalam PDRM selepas penempatan di AKPS ditamatkan


Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan kembali berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ditugaskan di bawah pejabat Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Khalid Ismail.


Berdasarkan notis pertukaran yang dilihat, Shuhaily kini ditempatkan di Sekretariat Perancangan Strategik dan Hal Ehwal Antarabangsa KPN dengan pangkat Komisioner Polis (CP). Pertukaran itu berkuat kuasa pada 24 November lalu dan notis berkenaan ditandatangani Khalid.


Bagaimanapun, Shuhaily enggan mengulas ketika dihubungi NSTP bagi mengesahkan perkara itu. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Khalid turut dihubungi untuk mendapatkan maklum balas, namun belum memberikan pengesahan rasmi.


Pada 21 Oktober lalu, Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas pertuduhan mencederakan dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada September lalu.


Susulan pertuduhan itu, Saifuddin sebelum ini memaklumkan kementeriannya memutuskan untuk menamatkan penempatan Shuhaily secara pinjaman di AKPS.


Bagaimanapun, Shuhaily kembali menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah AKPS pada 2 November lalu apabila mempengerusikan mesyuarat komander, selepas dilaporkan bercuti pada minggu sebelumnya.


Pada 14 November, Khalid berkata beliau belum menerima sebarang arahan berhubung kepulangan Shuhaily ke PDRM dan menjelaskan pegawai itu masih menjalani kontrak dua tahun sebagai Ketua Pengarah AKPS menerusi pelantikan Yang di-Pertuan Agong.


Shuhaily sebelum ini mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sebelum dipinjamkan ke AKPS sebagai ketua pengarah pada 1 Julai tahun lalu. - Sumber Berita Harian.


EmoticonEmoticon