Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan polis selepas disyaki merogol adik kandungnya yang berusia 15 tahun sehingga mangsa hamil dan melahirkan seorang bayi di Kabupaten Lebong, Indonesia.
Kes itu terbongkar selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) menunjukkan padanan sebanyak 99.99 peratus antara suspek dengan sampel yang diperiksa.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Lebong, AKP Darmawel Saleh berkata, suspek yang sudah berkahwin dipercayai melakukan perbuatan itu selepas mendakwa isterinya menolak ajakan untuk melakukan hubungan intim.
Siasatan mendapati suspek disyaki melakukan jenayah berkenaan sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga hari berturut-turut pada Januari lalu, menggunakan pujukan, paksaan dan ugutan terhadap mangsa.
Akibat kejadian itu, mangsa hamil sebelum melahirkan bayi pada 23 September lalu.
Menurut Darmawel, siasatan pada awalnya menjurus kepada seorang lelaki lain, namun keputusan DNA tidak menunjukkan sebarang padanan.
Mangsa kemudian mendedahkan kemungkinan abang kandungnya terbabit dalam kejadian itu ketika memberikan keterangan pada 8 Oktober.
Polis menghantar sampel tambahan ke Makmal Forensik Polis Sumatera Selatan sebelum keputusan pada 26 Oktober mengesahkan padanan DNA sebanyak 99.99 peratus.
Suspek kemudian ditahan dan kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Lebong untuk siasatan lanjut. Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara maksimum 12 tahun.
Dalam pada itu, Polis Bengkulu mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan identiti atau gambar mangsa bagi melindungi privasinya. Mangsa turut diberikan bantuan serta pendampingan sepanjang proses pemeriksaan kesihatan dan kelahiran.























