Polis Thailand menahan dua lelaki termasuk seorang warga Malaysia kerana disyaki menghasilkan dan menjual pod rokok elektronik (pod vape) yang dicampur etomidat, sejenis ubat bius yang dikaitkan dengan fenomena 'vape zombie'.
Tangkapan itu dilaporkan pada 20 Oktober lalu hasil siasatan bersama polis perlindungan pengguna dan Unit Polis Kawalan Sempadan 437.
Sebelum itu, pihak berkuasa menerima maklumat mengenai penjualan pod vape mengandungi etomidat kepada remaja di Hat Yai dengan penghantaran dilakukan menggunakan kereta. Siasatan turut mengenal pasti sebuah rumah yang disyaki digunakan untuk menyediakan dan membungkus pod berkenaan.
Polis kemudian mengesan sebuah kereta di Jalan Rattakan di Hat Yai sebelum menahannya untuk pemeriksaan. Pemandunya yang hanya dikenali sebagai Nut, 46, didapati membawa 400 pod vape disyaki mengandungi etomidate seperti yang dilaporkan The Thaiger.
Ketika disoal siasat, Nut memberitahu polis bahawa dia diarahkan menghantar pod berkenaan kepada pelanggan oleh seorang lelaki warga Malaysia yang dikenali sebagai Sam.
Nut kemudian membawa polis ke sebuah rumah sewa di Jalan Supasarnrangsan yang dipercayai digunakan untuk menyediakan dan mengisi pod vape. Sam, 52, ditahan di rumah berkenaan.
Antara barangan yang dirampas ialah 201 pod vape kosong, 725 penutup pod, dua beg penutup mulut plastic dan enam botol cecair pekat berlabel 'ESSENTAIL OIL'.
Selain 400 pod yang dirampas dari kereta, polis merampas lebih 1,000 barangan dengan nilai keseluruhan melebihi 1 juta baht (kira-kira RM122,000).
Polis berkata, kedua-dua lelaki itu mengaku terbabit dalam aktiviti berkenaan. Mereka turut memaklumkan bahawa seorang lagi warga Malaysia membawa bahan dan bahan kimia yang digunakan untuk menyediakan pod vape itu dari luar negara.
Tugas mereka adalah menyuntik cecair mengandungi etomidat ke dalam pod vape kosong, menutupnya sebelum menghantar produk siap kepada pelanggan di lokasi yang ditetapkan.
Pihak berkuasa kini sedang mengesan pembekal dan individu yang mengarahkan penghantaran itu selain mengenal pasti pihak lain yang mungkin terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Kedua-dua lelaki itu didakwa atas kesalahan memiliki bahan psikotropik Kategori 2 tanpa kebenaran untuk tujuan penjualan selain kesalahan berkaitan penjualan rokok elektronik secara haram.
Polis memberi amaran bahawa etomidat yang disedut melalui vape boleh menjejaskan sistem saraf pusat dengan cepat menyebabkan pengguna menjadi kekejangan, berjalan terhuyung-hayang atau pengsan.
Sesetengah pengguna juga boleh menjadi kaku dengan mata terbuka tetapi tidak menyedari keadaan sekeliling, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko kesihatan serius.

EmoticonEmoticon