Sebanyak 6.4 tan minyak masak yang disyaki diseleweng termasuk minyak masak peket bersubsidi dirampas dalam serbuan di sebuah stor tidak bernombor di Kampung Sanglang, Nibong Tebal, semalam.
Rampasan bernilai RM20,166 itu dilakukan menerusi operasi bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Utara bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan berkata, dalam operasi kira-kira jam 3 petang, semalam pihaknya menerima serahan kes tangkapan berkaitan minyak masak daripada Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Pulau Pinang yang diketuai seorang pegawai bersama lima anggota.
Menurutnya, seramai tiga individu dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan dua lelaki warga Myanmar.
"Kesemua mereka akan direman bagi membantu siasatan lanjut.
"Hasil pemeriksaan di lokasi, pihak penguat kuasa menyita kira-kira 900 kilogram (kg) minyak masak peket bersaiz 1kg serta 4,000 unit plastik minyak masak peket yang sudah dipotong," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, turut dirampas minyak masak yang disyaki disimpan dalam enam tangki Intermediate Bulk Container (IBC) dengan anggaran kuantiti sebanyak 5,500kg.
"Kita juga menyita beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan termasuk motor pam, hos paip dan tangki simpanan aluminium.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 Akta 122 dan Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. Kita juga membuka satu kertas bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," ujarnya.
Jegan menambah, tindakan terbaharu itu mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam mempergiat penguatkuasaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras kegiatan yang disyaki membabitkan penyelewengan barang kawalan.
Menurutnya, sebelum ini, pada 12 Oktober lalu, KPDN Pulau Pinang bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Utara turut melaksanakan operasi bersepadu di sebuah premis di Penaga yang membawa kepada pembongkaran kegiatan pemindahan minyak masak paket ke dalam tangki takungan.
"Operasi berkenaan menghasilkan sitaan barangan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM65,450. Bagaimanapun, sebarang kaitan langsung antara kes di Nibong Tebal dan Penaga masih dalam siasatan.
"KPDN memandang serius kegiatan sedemikian kerana ia boleh menjejaskan keberkesanan pelaksanaan subsidi kerajaan selain mengganggu rantaian bekalan dan pengagihan minyak masak kepada golongan sasaran.
"Sehubungan itu, KPDN akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara bersepadu serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan berkaitan barang kawalan," katanya.


EmoticonEmoticon