Khamis, 22 Oktober 2026

Honda City dipandu melulu langgar empat kenderaan: Pemandu disahkan positif dadah


Seorang lelaki yang memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 25 Jalan Seremban-Kuala Pilah hari ini didapati positif dadah.


Video kejadian itu turut tular di media sosial yang memaparkan sebuah Honda City dipandu secara melulu sebelum merempuh sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki dan kemudiannya melarikan diri.


Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad yang mengesahkan kejadian berkenaan memaklumkan, hasil ujian saringan air kencing terhadap pemandu berusia 39 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine.


Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu berlaku ketika kereta terbabit dari arah Kuala Pilah menghala ke Seremban.


"Pemandu berkenaan tidak memberhentikan kenderaannya, sebaliknya meneruskan perjalanan sebelum melanggar pula tembok jambatan di sebelah kiri jalan ketika melalui satu selekoh," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, pelanggaran tersebut menyebabkan Honda City terbabit telah berpusing dan melintang di jalan dan pada masa yang sama, sebuah Proton Exora, Honda CRV dan motosikal jenis Yamaha 135LC yang melalui laluan berkenaan tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan tersebut.


Tambahnya, pemandu Honda City mengalami kecederaan patah pada bahagian tangan kanan, manakala penunggang motosikal mengalami cedera ringan, manakala mangsa lain tidak cedera.


"Hasil pemeriksaan kenderaan Honda City terbabit turut menjumpai satu paket plastik mengandungi serbuk putih lutsinar dipercayai dadah jenis ketamin.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan jalan 1987 dan orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.


EmoticonEmoticon