Isnin, 5 Oktober 2026

12 individu ditahan disyaki ada kaitan dengan rangkaian pengganas di enam wilayah


Seramai 12 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian yang bergabung dengan Daulah Islamiyah dan rangkaian pengganas lain ditahan dalam beberapa operasi berasingan di enam wilayah di Indonesia.


Jurucakap unit antikeganasan Polis Nasional Indonesia, Detasmen Khas 88 (Densus 88), Mayndra Eka Wardhana berkata suspek berusia antara 22 hingga 52 tahun itu ditahan di Jawa Barat, Jawa Tengah, Sulawesi Tengah, Sulawesi Selatan, Riau dan Maluku Utara dalam operasi yang dijalankan sejak 2 Okt lepas.


Beliau berkata siasatan awal menemukan kaitan antara suspek meskipun kegiatan mereka merentasi wilayah berbeza, termasuk petunjuk mengenai indoktrinasi, pengukuhan rangkaian dan kegiatan lain.


"Satu daripada corak yang dikenal pasti membabitkan pertemuan dalam talian yang menghubungkan beberapa penyokong Daulah Islamiyah dari beberapa wilayah secara maya," katanya dalam satu kenyataan.


Mayndra berkata, penyiasat turut menemukan aktiviti yang disyaki sebagai latihan melibatkan beberapa individu yang ditahan, termasuk latihan fizikal dan menembak serta latihan lain yang dikaitkan dengan kegiatan pengganas.


Beliau berkata, siasatan masih diteruskan, dengan polis meneliti bahan bukti yang dirampas serta kemungkinan kaitan setiap suspek dengan individu atau rangkaian lain.


Katanya, penahanan itu adalah sebahagian daripada usaha pengesanan dan pencegahan awal terhadap kemungkinan tindakan pengganas dengan melumpuhkan kegiatan seperti pengukuhan rangkaian, propaganda, perekrutan dan latihan yang boleh membawa kepada keganasan.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon