Tidak mampu membayar denda 3 bilion rupiah (kira-kira RM688,000) tiga petani membawa hasil kebun seperti pisang, ubi dan kelapa ke mahkamah sebagai bayaran selepas didakwa mengusahakan tanah milik sebuah syarikat kelapa sawit, lapor Kompas.com
Tiga petani terbabit ialah Harapandi, 50; Rasuli, 53; dan Ibnu Amin, 44. Mereka dikenakan denda 3 bilion rupiah menerusi keputusan pada peringkat rayuan terakhir selepas didakwa menyebabkan kerugian kepada sebuah syarikat sawit.
Harapandi berkata, mereka dituduh mengusahakan tanah dan mengambil buah sawit milik syarikat berkenaan, namun menegaskan mereka tidak pernah melihat hasil tanaman yang didakwa menjadi punca kerugian itu.
"Kami dijatuhi denda 3 bilion rupiah (kira-kira RM688,000) kerana dituduh mengusahakan dan mengambil buah sawit syarikat. Ini keputusan yang tidak adil. Jangankan membayar wang berbilion rupiah itu, melihatnya pun kami tidak pernah," katanya.
Menurutnya, apabila diminta membayar denda berkenaan, mereka hanya mampu membawa hasil kebun yang dimiliki iaitu ubi, pisang dan kelapa ke mahkamah.
"Hanya ini yang kami ada, silakan ambil hasil kebun kami. Keadilan sudah tiada," katanya.
Penyerahan hasil kebun itu diterima pihak mahkamah dan direkodkan dalam dokumen rasmi sebagai pembayaran denda. Harapandi berkata, mereka dipanggil pihak mahkamah selepas syarikat berkenaan menuntut bayaran denda yang dijatuhkan terhadap mereka.
Pertikaian itu bermula pada 2005 apabila kira-kira 50 petani mendapati banyak kawasan tanaman kelapa sawit terbiar. Menurut Harapandi, mereka terlebih dahulu bertanyakan kepada syarikat berkenaan sama ada tanah itu termasuk dalam kawasan Hak Guna Usaha (HGU).
"Kami bertanya sebelum mengusahakannya, namun ketika itu dimaklumkan kawasan berkenaan tidak termasuk HGU, jadi kami mengusahakannya. Bagaimanapun, kemudian kawasan itu didakwa termasuk HGU. Pondok dan kebun kami dirobohkan manakala kami diusir," katanya.
Pertikaian itu berlarutan sehingga 9 Ogos 2023 apabila syarikat berkenaan memfailkan tuntutan sivil terhadap petani yang didakwa mengusahakan kawasan HGU miliknya.
Mahkamah Negeri Mukomuko pada awalnya mengenakan denda 1.3 bilion rupiah (kira-kira RM297,000) terhadap ketiga-tiga petani sebelum kes itu dibawa ke peringkat rayuan dan seterusnya ke Mahkamah Agung Indonesia.
Pada peringkat rayuan terakhir itu, jumlah denda dinaikkan kepada 3 bilion rupiah (kira-kira RM688,000) yang perlu ditanggung bersama oleh ketiga-tiga petani berkenaan.
Kompas.com turut cuba mendapatkan maklum balas daripada pihak pengurusan dan bahagian undang-undang syarikat sawit berkenaan menerusi telefon, namun tiada respons diterima sehingga laporan diterbitkan.

EmoticonEmoticon