Ahad, 16 Ogos 2026

Kes mayat ditemukan dibalut jaring: 4 suspek didakwa membunuh di mahkamah esok


Empat suspek lelaki yang sedang direman akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, esok atas pertuduhan membunuh seorang ahli perniagaan bulan lalu. Keempat-empat suspek berusia antara 26 hingga 40 tahun bakal berhadapan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata arahan pertuduhan dibuat selepas kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor.


Beliau berkata, kertas siasatan sebelum ini sudah lengkap dan diserahkan kepada pihak pendakwaan bagi tindakan selanjutnya.


"Selepas diteliti oleh Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor, arahan pendakwaan dikeluarkan ke atas empat suspek," katanya ketika dihubungi.


Sebelum ini, polis menahan lima suspek susulan penemuan mayat lelaki berusia 39 tahun, terapung dalam keadaan dililit dengan jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja, awal bulan ini.


Mayat terbabit ditemukan penduduk yang keluar menjalankan aktiviti harian di sungai terbabit dalam keadaan mengerikan.


Berdasarkan siasatan awal polis, suspek dipercayai membunuh mangsa dengan menjerut leher menggunakan tali.


Suspek kemudian membawa mangsa menaiki sebuah kenderaan sebelum mengikat kedua-dua tangan menggunakan pita pelekat serta membalut jasadnya menggunakan jaring.


Siasatan juga mendapati terdapat lima ketul batu ditemukan pada mayat yang dipercayai digunakan untuk menenggelamkan mangsa sebaik dibunuh.


Mangsa dilaporkan hilang oleh isterinya sejak 29 Julai lalu dan ahli keluarganya hanya menemukan kenderaan pelbagai guna di Johor Bahru.


Semakan rekod jenayah lampau ke atas semua suspek mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon