Penduduk sebuah kampung di Assam, India, gempar selepas melihat seekor gajah muda merayau di kawasan ladang teh dengan objek besar menyerupai "rantai gergasi" melingkari lehernya.
Namun selepas diperhatikan dengan lebih dekat, objek tersebut sebenarnya ialah sebiji tayar bersaiz besar yang tersangkut pada leher gajah berkenaan.
Pegawai Perhutanan Assam percaya gajah itu berkemungkinan menemui tayar berkenaan yang dibuang atau ditinggalkan di dalam kawasan hutan.
Sifat gajah yang sememangnya terkenal dengan sikap ingin tahu dipercayai menyebabkan haiwan tersebut bermain dengan tayar itu, sebelum kepalanya terperangkap dan tayar berkenaan tersangkut pada lehernya.
Operasi menyelamat kemudian dijalankan pada waktu malam bagi mengurangkan risiko kepada gajah dan pasukan penyelamat. Operasi itu dilakukan dengan penuh berhati-hati dan akhirnya tayar tersebut berjaya ditanggalkan tanpa mencederakan gajah berkenaan.
Kejadian gajah tersangkut tayar seperti itu merupakan insiden yang amat jarang direkodkan. Bagaimanapun, masih menjadi persoalan berapa lama tayar tersebut berada di leher haiwan berkenaan sebelum ditemui penduduk.
Insiden luar biasa itu turut menjadi peringatan tentang kesan buruk pembuangan tayar terpakai dan sampah secara tidak bertanggungjawab, khususnya terhadap hidupan liar.
Menurut laporan NDTV pada Khamis, 10 September, kejadian itu berlaku di sebuah ladang teh di kawasan Bokial, berhampiran Numaligarh, dalam daerah Golaghat, Assam, India.


EmoticonEmoticon