Sabtu, 16 Julai 2022

Asap 1.5 tan ganja dibakar buat penduduk Colombia 'khayal' ada yang jatuh sakit

Asap 1.5 tan ganja dibakar buat penduduk Colombia 'khayal' ada yang jatuh sakit


Polis di ibu kota Colombia terpaksa meyakinkan orang ramai selepas 1.5 tan ganja yang dibakar membentuk kepulan asap tebal di bandar itu, lapor akhbar Daily Mail pada 14 Julai 2022.


Penduduk di pinggir bandar Medellin Bello menyifatkan 'bau ganja luar biasa' selepas anggota polis membakar stok dadah yang dirampas pada Selasa lalu.


Apabila cuaca semakin berangin, asap ganja mula menyelubungi seluruh bandar sehingga membuatkan penduduk tempatan tidak selesa dengan bau tersebut, malah ada yang mendakwa mereka berasa khayal.


Media tempatan melaporkan penduduk di beberapa blok pangsapuri terpaksa dipindahkan berikutan keadaan itu.


Pejabat Datuk Bandar menjelaskan kepulan asap yang semakin banyak itu 'bukan disebabkan api', sebaliknya ia adalah ganja yang dibakar selepas rampasan dadah lebih satu tan di Bogota pada dua minggu lalu.



Jelasnya, dadah tersebut dipercayai akan diedarkan dan dijual di kawasan kejiranan El Mirador di bandar itu.


Pegawai dari Polis Negara, Tentera Darat dan Bomba serta kakitangan dari Pejabat Peguam Negara terlibat dalam pembakaran terkawal itu.


"Kami merasakan asap yang sangat mengerikan keluar dari kawasan terbabit (lokasi pembakaran). Bau ganja yang terlalu kuat mencetuskan rasa kurang selesa dalam kalangan penduduk sehinggakan ada dalam kalangan mereka seperti mahu jatuh sakit.


"Kami berharap, pihak berkuasa dapat menggunakan pendekatan yang lebih baik dalam melupuskan dadah secara selamat," kata seorang penduduk memberitahu Caracol TV. - Sumber Daily Mail.


Kepulan asap tebal menyelubungi bandar Medellin Bello, Colombia, selepas stok rampasan ganja dibakar besar-besaran. - Foto Daily Mail.

Jumaat, 15 Julai 2022

Nelayan kongsi gambar ketam miliki gigi seperti manusia, gemparkan warganet

Nelayan kongsi gambar ketam miliki gigi seperti manusia, gemparkan warganet


Seorang jurugambar dan nelayan laut dalam di Rusia, mendapat perhatian netizen selepas memuat naik hasil tangkapan terbarunya berupa seekor ketam yang memiliki gigi seperti manusia, lapor laman berita Wionews pada 13 Julai 2022.


Roman Fedortsov menyiarkan imej beberapa penemuan laut dalam yang paling luar biasa di laman Instagramnya.


Gambar paling mendapat perhatian adalah seekor ketam yang memiliki set gigi sempurna seperti manusia dewasa.


"Foto tersebut menerima tanda like dan komen paling banyak pada minggu lalu.


"Ada yang meluahkan rasa kagum dengan keunikan haiwan akuatik ini dan ada juga berasakan rupa fizikal binatang ini melucukan," kata Fedortsov.


Lelaki itu terkenal sebagai pesohor media sosial dan kini mempunyai lebih 652,000 pengikut di laman Instagramnya. Dia sering berkongsi foto hidupan laut pelik di platform tersebut.


Antaranya, ikan yang menyerupai labah-labah, ikan yang menyerupai cacing tanah, dan makhluk yang menyerupai gumpalan.


BACA: Koleksi Ikan Pelik Dengan Wajah Mengerikan Seakan 'Makhluk Asing' Ditangkap Di Laut Barents.


Ketam laut dalam yang mempunyai set gigi seperti manusia dewasa. - Foto fedortsov_official_account.

Khamis, 14 Julai 2022

NASA mahu tempatkan reaktor nuklear di Bulan untuk menjana tenaga kepada koloni manusia

NASA mahu tempatkan reaktor nuklear di Bulan untuk menjana tenaga kepada koloni manusia


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) merancang untuk menempatkan reaktor nuklear mini di Bulan bagi menjana tenaga kepada koloni manusia, lapor akhbar Daily Star pada 11 Julai 2022.


Agensi itu berharap untuk menghantar manusia ke Bulan menjelang 2025, berkata ia melihat tenaga nuklear sebagai pilihan terbaik untuk menjana infrastruktur di Bulan.


Susulan itu, NASA mengambil masa 15 tahun untuk membangunkan reaktor nuklear dinamakan KRUSTY bagi tujuan tersebut. Ia memiliki saiz sebuah roket tetapi cukup berkuasa membekalkan tenaga ke sejumlah isi rumah.


KRUSTY menggunakan bahan api nuklear untuk menjana tenaga dan mampu menjana tenaga untuk kenderaan rover, makmal, perumahan dan peralatan saintifik lain.


Bagaimanapun, misi mendaratkan bahan nuklear dengan selamat di Bulan boleh menjadi satu cabaran. NASA masih belum menentukan sama ada reaktor itu boleh menahan tekanan semasa penerbangan di angkasa lepas.


Bagaimanapun, penghantaran bahan api nuklear ke Bulan dari Bumi dikatakan agak selamat kerana bahan api berkenaan mempunyai tahap radiasi yang rendah.


Walaupun roket itu meletup semasa meninggalkan atmosfera Bumi, ia tidak mungkin menyebabkan letupan nuklear yang besar.


NASA mengatakan bahawa jika reaktor nuklear berjaya ditempatkan di Bulan, ia juga akan dihantar ke Marikh untuk membekalkan kuasa kepada penempatan di planet itu. - Sumber Daily Star.


BACA: Elon Musk berkata manusia akan berada di planet Marikh menjelang 2029.


Reaktor nuklear KRUSTY direka untuk membekalkan tenaga kepada bangunan di Bulan. - Foto NASA.
Lelaki ditampar kerana cium dahi bakal isteri ketika bertunang

Lelaki ditampar kerana cium dahi bakal isteri ketika bertunang


Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia kerana memaparkan kejadian seorang lelaki yang ditampar bakal isterinya, selepas mencium dahi wanita itu ketika majlis pertunangan, lapor laman berita Suara.com pada 13 Julai 2022.


Difahamkan, video yang tular itu dimuat naik menerusi akaun Instagram @magelang_raya pada 12 Julai lalu, yang memaparkan dua pasangan itu yang sedang menyarungkan cincin di hadapan ahli keluarga.


Lelaki berbaju batik dan berseluar hitam itu dilihat menyarung cincin pada jari manis bakal isterinya. Selepas itu, dia secara tiba-tiba memegang kepala lalu mencium dahi wanita itu.


Terkejut diperlakukan sebegitu di hadapan orang ramai. Kelihatan wanita itu segera menampar tangan lelaki itu sambil ketawa.



Ketika insiden berkenaan berlaku, dapat dilihat tetamu-tetamu lain yang berada di sekeliling mereka dipercayai ahli keluarga kepada kedua-dua belah pihak. Tidak dapat dipastikan apakah reaksi mereka selepas itu.


Insiden berkenaan yang dimuat naik di media sosial turut mendapat perhatian netizen di ruangan komen. Ada yang mengingatkan lelaki berkenaan supaya lebih beradab dan bersabar.


Mereka juga menyarankan kepada lelaki itu supaya menunggu sehingga majlis pernikahan selesai.


"Tunggu selesai ijab kabul dahulu ya," kata seorang netizen. - Sumber Suara.com.


Tangkap layar memaparkan senario seorang lelaki mencium dahi bakal isterinya ketika majlis pertunangan.

Selasa, 12 Julai 2022

Saintis temukan fosil tulang rahang manusia berusia 1.4 juta di Sepanyol

Saintis temukan fosil tulang rahang manusia berusia 1.4 juta di Sepanyol


Satu serpihan tulang rahang manusia yang ditemukan di Sepanyol pada bulan lalu dipercayai berusia 1.4 juta tahun, menjadikannya kemungkinan fosil paling tua pernah ditemukan di benua Eropah.


Sehingga kini, fosil manusia tertua yang pernah ditemukan di Eropah di tapak yang sama pada 2007 dianggarkan berusia 1.2 juta tahun.


Menerusi lapor akhbar Daily Mail pada 8 Julai 2022, fosil itu ditemukan di tapak arkeologi pada 30 Jun lalu di banjaran gunung Atapuerca, yang terkenal dengan penemuan sejarah manusia zaman purba.



Pasukan paleoantropologi secara rasminya belum menentukan usia tulang rahang tersebut, namun disebabkan ia ditemukan lebih dalam berbanding penemuan sebelum ini, maka mereka membuat hipotesis ia lebih berusia. Tulang rahang itu diukur sepanjang 7.6 sentimeter.


Penyelidik telah mengusahakan tapak arkeologi ini sejak 1978 dan sangat teruja apabila mereka menemui tulang rahang berusia 1.2 juta tahun pada tahun 2007.


Seorang daripada pengarah di tapak arkeologi tersebut, Jose Maria Bermudez de Castro berkata, mereka memerlukan masa antara enam hingga lapan bulan untuk melakukan analisis bagi mengenal pasti usia sebenar fosil tersebut.


Selain itu, pasukan saintis juga bertungkus-lumus mengenal pasti tulang rahang itu daripada era manusia yang ke berapa dan menentukan umur tulang.


"Kami perlu meneruskan kajian ini sekurang-kurangnya setahun lagi. Apa yang boleh kami katakan, kami sudah menemukan fosil manusia yang sangat penting, yang menunjukkan kewujudan populasi pertama di Eropah," kata Castro.


Satu kajian yang diterbitkan pada Mac lalu mendapati tulang rahang keturunan manusia pertama adalah sangat kuat kerana sering menggunakan mulut untuk menggigit bahan mentah sebelum kewujudan senjata tajam. - Sumber Daily Mail.


Fosil itu ditemui di tapak arkeologi pada 30 Jun di banjaran gunung Atapuerca. - Foto Daily Mail.

Serpihan tulang rahang manusia ini ditemukan di Sepanyol pada bulan lalu dipercayai berusia 1.4 juta tahun. - Foto Daily Mail.

Isnin, 11 Julai 2022

Saintis temui lubang baharu di lapisan ozon, 50 peratus populasi dunia berada dalam bahaya

Saintis temui lubang baharu di lapisan ozon, 50 peratus populasi dunia berada dalam bahaya

Gambar hiasan.

Saintis mendakwa terdapat lubang baharu di lapisan ozon Bumi dikesan sekali gus meletakkan kira-kira separuh penduduk planet ini berada dalam bahaya, kerana berisiko menghidap penyakit kanser kulit, lapor akhbar Daily Mail pada 6 Julai 2022.


Qing-Bin Lu, seorang saintis dari Universiti Waterloo di Ontario, Kanada, mendedahkan lubang itu mengejutkan saintis lain kerana ia tidak ditunjukkan pada pemodelan yang digunakan oleh kebanyakan penyelidik.


Katanya, lubang itu tujuh kali lebih besar daripada sebuah lagi lubang ozon yang ditemui di Antartika sebelum ini. Ia wujud sepanjang tahun dan telah berkembang sejak 1980-an lagi.


"Kewujudannya boleh memudaratkan alam sekitar kita kerana ia boleh menyebabkan peningkatan tahap sinaran ultra ungu (UV) paras tanah dan menjejaskan 50 peratus kawasan permukaan Bumi," jelasnya.


Kewujudan lubang ozon mungkin menimbulkan kebimbangan global yang besar, kerana penipisan lapisan ozon boleh menyebabkan peningkatan sinaran UV yang boleh meningkatkan risiko kanser kulit dan katarak pada manusia.


Selain itu, sinaran UV yang lebih tinggi juga melemahkan sistem imun manusia, mengurangkan produktiviti pertanian, memberi kesan negatif kepada organisma akuatik serta ekosistem yang sensitif.


Bagaimanapun, kajian yang diterbitkan dalam jurnal AIP Advances itu mendapat bantahan daripada pakar-pakar lain mengatakan penemuan itu tidak tepat, dan mereka mempersoal mengapa kajian itu diterbitkan dalam jurnal.


Dr Paul Young, dari Universiti Lancaster dan pengarang utama Penilaian Saintifik WMO/UNEP 2022 tentang Penipisan Ozon, berkata tidak ada 'lubang ozon tropika', didorong oleh elektron yang dicadangkan oleh pengarang daripada sinar kosmik atau sebaliknya.


"Pengenalan pengarang tentang 'lubang ozon tropika' bergantung padanya melihat peratusan perubahan dalam ozon, bukannya perubahan mutlak, dengan yang terakhir adalah lebih relevan untuk merosakkan UV yang sampai ke permukaan.


"Menariknya, artikelnya juga tidak mengambil daripada kesusasteraan luas yang meneroka dan mendokumenkan trend ozon di semua kawasan atmosfera," katanya.


Sementara itu, Profesor Martyn Chipperfield, Profesor Kimia Atmosfera dari Universiti Leeds, berkata dia terkejut apabila kajian itu diterbitkan.


"Hasil kerja ini akan menjadi sangat kontroversi dan saya tidak yakin ia betul. Kami sudah mempunyai pemahaman yang baik tentang penipisan ozon kutub daripada mekanisme kimia yang berbeza dan mantap yang boleh menjelaskan penutupan Lubang Ozon Antartika yang perlahan dan berubah-ubah, dan penyelidikan baharu ini tidak meyakinkan saya.


"Tuntutan dalam penyelidikan ini tentang perubahan ozon yang besar di kawasan tropika tidak kelihatan dalam kajian lain yang membuatkan saya sangat curiga.


"Sains tidak boleh bergantung kepada hanya satu kajian dan kerja baharu ini memerlukan pengesahan teliti sebelum ia boleh diterima sebagai fakta," kata Profesor Martyn Chipperfield.


Lapisan ozon ialah lapisan semula jadi gas yang terletak di stratosfera - lapisan kedua dalam atmosfera bumi. - Sumber Daily Mail.


Kewujudannya, menurut Lu, boleh memudaratkan alam sekitar kita kerana ia boleh menyebabkan peningkatan sinaran UV paras tanah dan menjejaskan 50 peratus kawasan permukaan Bumi. Bagaimanapun, pakar lain mengatakan tiada lubang berdasarkan data yang digunakan oleh Lu. - Foto Daily Mail.

Ahad, 10 Julai 2022

Isteri cemburu goreng 80 ikan hiasan mahal peliharaan suami

Isteri cemburu goreng 80 ikan hiasan mahal peliharaan suami


Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan perbuatan seorang wanita menggoreng ikan hiasan peliharaan suaminya kerana dihantui perasaan cemburu, lapor BeritaHits.id pada 7 Julai 2022.


Klip yang tersebar luas itu dimuat naik semula oleh akaun @dunia_kaumhawa di rangkaian media sosial Instagram. Rakaman video pertama menunjukkan sejumlah ikan perhiasan mahal spesies discus berenang di dalam akuarium. 


Menurut wanita itu, suaminya sentiasa mengutamakan ikan-ikan peliharaannya, dan mengatakan harga kesemuan ikan itu sama dengan harga sebuah kereta. 


"Semuanya kerana ikan, ikan lagi. Apa-apa ikan. Sebaiknya kita goreng sahaja ikannya? Kan sedap," kata wanita itu.


Wanita itu seterusnya memasukkan ikan-ikan yang disiangnya ke dalam kuali berisi minyak masak. Ikan-ikan itu digoreng dengan jumlah yang cukup banyak sekurang-kurangnya 80 ekor.



Dalam video kedua yang dimuat naik, ikan tersebut dilihat telah siap digoreng. Menurut kenyataan wanita itu, daging ikan hiasan itu tebal dan sedap.


Video tersebut serta-merta mencuri perhatian netizen dan mendapat pelbagai respon. Ramai netizen mendakwa terkejut dengan tindakan wanita itu kerana dianggap keterlaluan.


"Setiap orang mempunyai hobi yang berbeza asalkan hobi suami tidak bermain di luar dengan kawan-kawan dan tidak bermain dengan perempuan lain, kalau saya biarkan sahaja selagi hobi suami masih munasabah," kata seorang netizen.


"Tutorial menjadi janda," komen netizen lain. - Sumber Suara.com.


Tangkap layar memaparkan senario seorang wanita nekad menggoreng ikan hiasan peliharaan suaminya yang mahal. - Foto Instagram/dunia_kaumhawa.
Meteor cetus letupan kuat dan sinar terang lintasi ruang udara Wellington di New Zealand

Meteor cetus letupan kuat dan sinar terang lintasi ruang udara Wellington di New Zealand

Gambar hiasan.

Sebuah meteor yang terbakar melintas di langit Wellington, ibu negara New Zealand pada Khamis (7/7/2022), dengan berpuluh-puluh saksi berkata mereka melihat cahaya terang dan mendengar bunyi letupan ketika bola api itu berlalu.


Pusat ramalan cuaca, MetService menerusi hantaran di Twitter berkata, radarnya mengesan jejak asap meteor terbabit. Agensi geologi tempatan, GeoNet pula percaya mesin seismometernya mengenalpasti bunyi gelombang sekitar jam 1.50 petang (waktu tempatan).


Menurut seorang saksi, Mike Cousin yang ketika itu sedang bekerja berhampiran Wellington melihat biliknya diterangi dengan sinaran berwarna biru-jingga.


"Saya lari keluar dan melihat jejaknya dan kemudian terdengar bunyi deram-derum perlahan, sama seperti permulaan gempa bumi," katanya kepada Reuters pada 7 Julai 2022.



Seorang Ahli Astronomi di Balai Cerap Mount John Universiti Canterbury, Alan Gilmore, menjelaskan meteor terang yang melalui ruang atmosfera sangat laju adalah kejadian yang jarang berlaku di kawasan bandar.


"Sinarannya sangat terang dan ia mesti sebuah objek yang agak besar," kata Gilmore.


Tambahnya, letupan yang kedengaran dihasilkan meteor berkenaan menunjukkan ia datang dalam jarak 60 kilometer dari Bumi.


Berikutan kejadian itu, tiada laporan mengenai terdapat meteor menghentam kawasan daratan atau lautan serta tidak ada penemuan serpihan daripada objek berkenaan. - Sumber Reuters.


Sebuah meteor berapi melintasi ruang udara Wellington, menghasilkan sinaran terang termasuk bunyi letupan pada 7 Julai 2022. - Foto tular Facebook.
Elon Musk batal pembelian Twitter bernilai RM195 bilion

Elon Musk batal pembelian Twitter bernilai RM195 bilion


Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc, Elon Musk yang juga individu terkaya dunia mengumumkan beliau mahu membatalkan perjanjian AS$44 bilion (RM195 bilion) bagi pembelian Twitter Inc, lapor agensi berita Reuters pada 9 Julai 2022.


Beliau dalam satu kenyataan berkata, langkah itu diambil selepas syarikat gergasi media sosial tersebut gagal mengemukakan maklumat mengenai akaun palsu di pentas dalam taliannya.


Dalam pemfailan, peguam Musk berkata, Twitter telah gagal atau enggan menjawab pelbagai permintaan berkaitan maklumat akaun palsu atau spam di platformnya yang merupakan asas kepada prestasi perniagaan syarikat.


"Twitter melanggar banyak peruntukan perjanjian, memberi maklumat palsu atau mengelirukan ketika membuat persetujuan mengenai perjanjian penggabungan itu bersama Musk.


"Maklumat ini penting bagi mengukur prestasi sebenar kedudukan syarikat berkenaan," kata pemfailan itu.


Musk juga menarik diri kerana Twitter memecat eksekutif berpangkat tinggi dan satu pertiga daripada pasukan pemerolehan bakat, yang dianggap melanggar kewajipannya untuk 'memelihara komponen material organisasi perniagaan semasa'.


Keputusan Musk berkemungkinan mengakibatkan pertelingkahan undang-undang berpanjangan antara jutawan itu dan syarikat berusia 16 tahun yang berpangkalan di San Francisco.


Sementara itu, Twitter dalam maklum balasnya, berkata ia akan saman Musk susulan tindakan membatalkan pembelian.


Pengerusi Twitter, Bret Taylor, menerusi laman mikro blog itu, mengumumkan pihaknya akan bertindak mengikut undang-undang bagi memastikan Musk menghormati dan meneruskan perjanjian itu.


Sebelum ini, Musk memberi amaran akan membatalkan pembelian itu jika Twitter gagal mengemukakan bukti bahawa jumlah akaun spam atau 'bot' adalah lebih rendah daripada lima peratus keseluruhan pengguna perkhidmatan media sosial itu.


Saham Twitter naik kepada AS$51.70 (RM229) seunit pada April lalu apabila Musk mengumumkan hasratnya mahu membeli syarikat itu.


Namun, harganya jatuh kepada AS$35.76 (RM158) seunit sebulan selepas itu apabila komitmen Musk mula dipertikaikan dan semalam, saham Twitter jatuh lagi kepada AS$37 (RM164) seunit.


Bulan lalu, Twitter memberikan Musk akses data 'firehose' syarikat itu yang mengandungi ratusan juta 'tweet' harian pengguna. - Foto AP.

Jumaat, 8 Julai 2022

Selepas cerai dengan isteri, lelaki robohkan rumah bernilai RM147,229

Selepas cerai dengan isteri, lelaki robohkan rumah bernilai RM147,229


Seorang lelaki bertindak merobohkan rumah yang dibina dengan kos 500 juta rupiah (RM147,229) pada 2018, selepas bercerai dengan isterinya, lapor Kompas.com pada 7 Julai 2022.


Moh. Suaib dari Desa Larangan Slampar, Kecamatan Tlanakan, Kabupaten Pamekasan, Jawa Timur berkata, dia tidak mahu rumah tersebut didiami bekas isterinya.


Bapa saudara lelaki itu, Abdul Hannan berkata, proses mediasi dijalankan supaya kediaman tersebut tidak dirobohkan selepas cerai dilafazkan di Mahkamah Agama Pamekasan. 


Bagaimanapun, Suaib tetap meneruskan perancangannya kerana dia sekarang tinggal bersama ibu bapanya di Kampung Pangtonggal.


"Proses mediasi bukan sahaja dari mahkamah agama, tetapi dari wakil kedua keluarga telah dilakukan. Malah, tiga jam sebelum rumah tersebut dirobohkan, saya menghubungi Suaib supaya tidak merobohkan rumah itu," kata Hannan, pada Rabu 6 Julai lalu.



Keluarga bekas isteri Suaib hanya menyaksikan rumah tersebut dirobohkan. Sementara itu, dua abang ipar Suaib yang tidak mahu namanya didedahkan, enggan memberikan butiran lanjut.


"Kami telah mencadangkan agar rumah itu diwariskan kepada dua anak mereka, tetapi cadangan itu ditolak, dan akhirnya dirobohkan menggunakan jentera berat dengan bantuan jiran," kata Hannan.


Difahamkan, rumah tersebut dibina menggunakan duit ibu bapa lelaki itu, manakala, tanah tersebut adalah harta pusaka milik ibu bapa bekas isterinya.


Bekas isteri Suaib juga tiada di tempat kejadian. Daripada maklumat yang dikumpul, bekas isteri Suaib melarikan diri ke rumah saudaranya selepas semua barang di rumahnya dibawa keluar dan ada yang diangkut ke rumah Suaib.


Sebuah rumah di Desa Larangan Slampar, Pamekasan dirobohkan selepasa pasangan suami isteri bercerai. - Foto Kompas.com.