Sabtu, 6 November 2021

'Rosak Dan Rapuh' Angkasawan Di ISS Sedih Melihat Keadaan Bumi dari Angkasa

Gambar Hiasan.

Angkasawan Perancis, Thomas Pesquet mengakui dia berasa sedih dan kecewa ketika melihat keadaan Bumi dari luar angkasa, lapor laman berita KOMPAS.com pada 5 November 2021.


Beliau mengatakan Bumi kelihatan 'rosak dan amat rapuh' akibat perubahan iklim. Pesquet menyifatkan pemandangan itu sebagai amat menyedihkan dan tidak seharusnya berlaku.


Pesquet yang kini berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) menerusi panggilan video dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron menceritakan, kerosakan Bumi kelihatan amat jelas walaupun dalam jarak 400 kilometer.


"Sayangnya, keadaan Bumi semakin rapuh dan semakin rosak. Melalui tingkap di ISS, kami dapat melihat jelas keadaan Bumi yang semakin uzur akibat perubahan iklim," katanya.


Ditanya oleh Macron sama ada keadaan telah berubah sejak misi pertama Pesquet pada 2016, angkasawan itu menjawab, "Ya, fenomena cuaca semakin pantas pada kadar yang membimbangkan."


Selain itu, Pesquet juga memberitahu, para angkasawan di ISS boleh melihat Bumi 'terbakar' apabila beberapa kawasan hutan di Kanada dan California dijilat api baru-baru ini.


Tambah Pesquet, kemusnahan yang sama boleh dilihat di Greece dan selatan Perancis. Taufan kuat juga merosakkan Bumi dan fenomena cuaca semakin cepat meningkat daripada yang disangka.


Pesquet dijangka kembali ke Bumi dalam tempoh terdekat selepas bertugas selama enam bulan di ISS, ia merupakan kali kedua dia bertugas di stesen angkasa tersebut, lawatan pertamanya adalah lima tahun lalu.


Thomas Pesquet di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). - Foto NASA.


EmoticonEmoticon