Drama aksi sebuah lori dikejar kereta peronda polis yang tular di media sosial hari ini rupa-rupanya membabitkan kenderaan berat yang dilaporkan dicuri di kawasan Plentong, Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian bermula selepas pihaknya menerima maklumat orang awam yang mengesan lori terbabit dipandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang.
"Bertindak atas maklumat itu, polis berjaya mengesan lori terbabit namun suspek yang memandu kenderaan itu enggan memberhentikannya.
"Suspek turut memandu secara berbahaya ketika cuba melarikan diri dan melanggar kereta peronda polis. Suspek, lelaki tempatan berusia 30-an, kemudiannya berjaya ditahan di kawasan Pasir Gudang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Sohaimi berkata, pemeriksaan lanjut terhadap suspek turut menemukan satu paket lutsinar yang mengandungi bahan disyaki dadah.
Menurutnya, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 27 rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.
Katanya, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek pula didapati positif dadah jenis methamphetamine.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahaya.
"Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah berbahaya dan Seksyen 15(1) akta sama kerana memasukkan dadah berbahaya dalam badan," katanya.
Mohd Sohaimi berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Johor Bahru esok bagi membolehkan tindakan dan siasatan lanjut dijalankan.
Terdahulu, beberapa rakaman video memaparkan aksi kereta peronda polis mengejar lori dipandu secara berbahaya tular di laman sosial.

EmoticonEmoticon