Khamis, 1 Oktober 2026

JPJ Kedah saman 4,447 pemandu warga asing, 164 kenderaan disita


Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mengeluarkan 4,447 saman terhadap pemandu warga asing sepanjang Operasi Pemandu Warga Asing (PEWA) yang dilaksanakan sejak 17 Jun sehingga semalam.


Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, saman terbabit dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan.


Beliau berkata, dalam tempoh sama, 164 kenderaan disita oleh pihaknya.


"Daripada jumlah itu, sebanyak 128 membabitkan motosikal, 28 kereta dan lapan kenderaan lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Stien berkata, bagi memperhebat lagi tindakan penguatkuasaan, Bahagian Penguatkuasa JPJ Kedah turut melaksanakan Ops Khas Gempur Pemandu Warga Asing (PEWA) bermula pada 28 September lalu.


"Dalam tempoh dua hari sehingga semalam, 115 kenderaan diperiksa, dengan 28 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, " katanya.


Beliau turut berkata, 16 kenderaan disita membabitkan pemandu etnik Rohingya.


Menurutnya, antara kesalahan utama yang dikesan sepanjang pelaksanaan operasi berkenaan adalah memandu tanpa lesen memandu yang sah, Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan yang tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans yang sah.


"Selain tindakan terhadap pemandu warga asing, JPJ Kedah turut memberi perhatian kepada pemilik kenderaan warganegara tempatan yang membenarkan warga asing memandu kenderaan milik mereka tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan.


"Antara kesalahan yang turut dikesan ialah membenarkan seseorang memandu tanpa lesen memandu yang sah, membenarkan kenderaan digunakan dengan LKM atau cukai jalan yang sudah tamat tempoh serta membenarkan kenderaan digunakan tanpa perlindungan insurans yang sah atau tamat tempoh," katanya.


Sehubungan itu, Stien berkata, JPJ Kedah ingin menegaskan bahawa pemilik kenderaan tidak boleh mengambil mudah atau menyerahkan kenderaan mereka kepada mana-mana individu untuk dipandu tanpa memastikan segala keperluan undang-undang dipatuhi.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon