Ahad, 10 Julai 2022

Elon Musk batal pembelian Twitter bernilai RM195 bilion


Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc, Elon Musk yang juga individu terkaya dunia mengumumkan beliau mahu membatalkan perjanjian AS$44 bilion (RM195 bilion) bagi pembelian Twitter Inc, lapor agensi berita Reuters pada 9 Julai 2022.


Beliau dalam satu kenyataan berkata, langkah itu diambil selepas syarikat gergasi media sosial tersebut gagal mengemukakan maklumat mengenai akaun palsu di pentas dalam taliannya.


Dalam pemfailan, peguam Musk berkata, Twitter telah gagal atau enggan menjawab pelbagai permintaan berkaitan maklumat akaun palsu atau spam di platformnya yang merupakan asas kepada prestasi perniagaan syarikat.


"Twitter melanggar banyak peruntukan perjanjian, memberi maklumat palsu atau mengelirukan ketika membuat persetujuan mengenai perjanjian penggabungan itu bersama Musk.


"Maklumat ini penting bagi mengukur prestasi sebenar kedudukan syarikat berkenaan," kata pemfailan itu.


Musk juga menarik diri kerana Twitter memecat eksekutif berpangkat tinggi dan satu pertiga daripada pasukan pemerolehan bakat, yang dianggap melanggar kewajipannya untuk 'memelihara komponen material organisasi perniagaan semasa'.


Keputusan Musk berkemungkinan mengakibatkan pertelingkahan undang-undang berpanjangan antara jutawan itu dan syarikat berusia 16 tahun yang berpangkalan di San Francisco.


Sementara itu, Twitter dalam maklum balasnya, berkata ia akan saman Musk susulan tindakan membatalkan pembelian.


Pengerusi Twitter, Bret Taylor, menerusi laman mikro blog itu, mengumumkan pihaknya akan bertindak mengikut undang-undang bagi memastikan Musk menghormati dan meneruskan perjanjian itu.


Sebelum ini, Musk memberi amaran akan membatalkan pembelian itu jika Twitter gagal mengemukakan bukti bahawa jumlah akaun spam atau 'bot' adalah lebih rendah daripada lima peratus keseluruhan pengguna perkhidmatan media sosial itu.


Saham Twitter naik kepada AS$51.70 (RM229) seunit pada April lalu apabila Musk mengumumkan hasratnya mahu membeli syarikat itu.


Namun, harganya jatuh kepada AS$35.76 (RM158) seunit sebulan selepas itu apabila komitmen Musk mula dipertikaikan dan semalam, saham Twitter jatuh lagi kepada AS$37 (RM164) seunit.


Bulan lalu, Twitter memberikan Musk akses data 'firehose' syarikat itu yang mengandungi ratusan juta 'tweet' harian pengguna. - Foto AP.


EmoticonEmoticon