Selasa, 21 Disember 2021

Pekerja terlelap di ruang kargo ketika pesawat berlepas ditemukan selamat


Akibat keletihan, seorang pekerja kargo IndiGo yang sedang memunggah barangan ke ruangan penyimpan pesawat tertidur, dan hanya tersedar dari tidurnya selepas pesawat itu berlepas dari lapangan terbang Mumbai, lapor India Today pada 14 Disember 2021.


Lelaki itu ditugaskan memasukkan bagasi untuk penerbangan dari Lapangan Terbang Mumbai ke Abu Dhabi, pada 12 Disember lalu. Namun, petugas itu dipercayai tertidur di dalam ruangan kargo pesawat berkenaan.


Sejurus pesawat tiba di Emiriah Arab Bersatu (UAE), pihak berkuasa melakukan pemeriksaan dan lelaki itu ditemukan selamat. Dia dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan didapati berada dalam keadaan sihat, kemudian dihantar pulang ke negara asal.


Pengarah Besar Penerbangan Awam (DGCA), Arun Kumar dalam satu kenyataan pada Selasa lalu berkata, pihaknya mengarahkan siasatan ke atas insiden berkenaan.


"Pesawat IndiGo A320 dijadualkan memulakan penerbangan dari Mumbai Ke Abu Dhabi, pada Ahad lalu. Selepas memasukkan bagasi dalam pesawat, seorang pekerja yang menaiki pesawat berehat di ruang bagasi satu dan tertidur di belakang bagasi.


"Pintu kargo ditutup selepas seorang petugas menghitung jumlah bilangan pekerja. Pekerja terbabit terjaga ketika pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Mumbai.


"Dia dikesan di Abu Dhabi dan menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pihak berkuasa Abu Dhabi. Hasil pemeriksaan mendapati keadaan fizikalnya stabil dan normal.


"Selepas mendapat kebenaran diperlukan daripada pihak berkuasa tempatan di Abu Dhabi, dia dihantar semula sebagai penumpang ke Mumbai dengan satu penerbangan lain," katanya.


Sementara itu, syarikat penerbangan IndiGo berkata, mereka mengambil maklum kejadian itu dan perkara itu sedang dalam siasatan.


Seorang pekerja pemunggah barangan pesawat IndiGo tertidur ketika pesawat berlepas. - Foto IndiGo.


EmoticonEmoticon