Isnin, 20 Disember 2021

[Video] Ahli politik selesai isu dengan bertinju dalam gelanggang


Dua ahli politik Brazil yang bertelagah mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikan perbezaan pendapat mereka apabila bersetuju untuk bertinju di dalam gelanggang, lapor laman berita The Guardian pada 13 Disember 2021.


Datuk Bandar Borba, Simao Peixoto sebelum itu dicabar bertinju secara terbuka oleh bekas ahli majlis, Erineu da Silva, pada September lalu. Silva, yang menggunakan nama panggilan Mirico dilaporkan marah dengan dakwaan datuk bandar gagal memulihara taman air berhampiran sungai Madeira.


Beliau menuntut diadakan perlawanan tinju dengan ahli politik berkenaan yang digelarnya sebagai 'hampas' dan 'penyangak'. Peixoto kemudian menerbitkan video dalam talian yang menunjukkan kesediaannya untuk membelasah antagonisnya, dengan memukul tapak tangannya dengan penumbuknya sambil berkata, 'tunjuk muka anda!'.



"Saya bukan pejuang jalanan, saya datuk bandar perbandaran Borba, tetapi jika dia benar-benar mahu bertarung, kami bersedia untuk bertarung, saya sentiasa menjadi pemenang," kata ahli politik itu di laman Facebook rasminya pada awal November lalu.


Sebulan kemudian iaitu pada satu pagi Ahad, perlawanan antara kedua-duanya diadakan di gimnasium di sekolah tempatan. Ia turut disaksikan oleh ratusan penonton. Perlawanan itu turut disiarkan dalam internet.


Peixoto masuk ke gelanggang kira-kira jam 2.30 pagi, dikelilingi pembantu dan membawa tuala hitam. Silva pula muncul dengan membuat provokasi dengan menconteng platform dan pergi ke kawasan lawannya. Dia kemudian menunjukkan isyarat seperti memotong leher, lapor laman web BNC Amazonas.


Saksi yang melihat perlawanan selama 13 minit itu berkata, Peixoto mengalami serangan menyakitkan. Walaupun pada mulanya Peixoto berjaya menjatuhkan Mirico, namun lawannya itu bertindak balas.


Selepas tiga pusingan, Peixoto hampir tidak dapat berjalan kerana jumlah tendangan yang diterimanya. Walaupun begitu, Peixoto diumumkan sebagai pemenang dan keputusan itu tidak disenangi penonton.


"Peliknya, Mirico tewas dengan satu mata," kata Fato Amazônico seperti dilaporkan The Guardian.


Video dua ahli politik Brazil bertinju dalam gelanggang.


EmoticonEmoticon