Jumaat, 5 November 2021

Toyol Semakin 'Bermaharajalela', Letak Duit Dalam Coli Pun Hilang


KOTA BHARU - Masyarakat negara ini pasti tidak menganggap kisah mistik dan makhluk halus sebagai sesuatu yang pelik. Bahkan tidak janggal sekiranya kisah-kisah sedemikian diperkatakan dalam kehidupan realiti.


Baru-baru ini heboh diperkatakan gangguan mistik oleh makhluk halus toyol 'bermaharajalela' sebuah mukim di Kelantan. Difahamkan kejadian itu sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu.


Kejadian terbaharu dilaporkan pada minggu lalu, apabila seorang penduduk berusia 36 tahun yang enggan dikenali mendakwa, duit RM50 miliknya dan RM100 milik ibunya lesap dipercayai dilarikan makhluk halus tersebut semasa mereka berada di rumah.


"Lebih mengejutkan, ibu saya menyimpan wang tersebut (RM100) di dalam poket baju dalam (coli) yang berzip, namun ia tetap hilang. Jadi kami membuat laporan polis supaya pihak berkuasa dapat menyiasat perkara ini," katanya.


Selain mangsa, empat lagi penduduk membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Kubang Kerian, kelmarin. Difahamkan, seorang penduduk turut kehilangan wang RM2,000 yang disimpan dalam rumahnya.


Mengulas lanjut, lelaki itu memberitahu, bagi mengelak kejadian sama berulang, dia dan penduduk yang lain mengambil keputusan untuk menyimpan wang di bank dan akan mengeluarkannya sekiranya mempunyai keperluan.


Sementara itu, Timbalan Ke­tua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali memberitahu, kesemua mangsa yang membuat laporan tersebut berusia dalam lingkungan 30-an hingga 70-an dan merupakan penduduk Kampung Pulau dan Kampung Pulong.


Media tempatan sebelum ini melaporkan kira-kira 2,000 penduduk di tiga buah kampung di Kubang Kerian tidak dapat tidur lena sejak akhir-akhir ini apabila semakin kerap berlaku kejadian wang tunai yang mereka simpan di dalam rumah tiba-tiba lesap.


Penduduk di Kampung Tok Kenali, Kampung Pulau dan Kampung Pulong mendakwa, kehilangan wang itu dipercayai angkara perbuatan toyol yang menyelusup masuk ke rumah mereka pada waktu malam.


Sejak Februari lalu hingga kini, kira-kira 20 buah keluarga di tiga kampung terbabit mendakwa sudah menjadi mangsa apabila duit mereka hilang dalam sekelip mata dengan nilai tertinggi yang pernah lesap mencecah sehingga RM10,000.


Baca juga: Misteri Duit Hilang Di Empat Kampung Sejak 10 Tahun Lalu Mungkin Angkara Toyol.

Anggota polis (kiri) menjalankan siasatan ke atas penduduk yang membuat laporan berhubung kehilangan wang mereka dipercayai angkara toyol di Kubang Kerian, kelmarin.


EmoticonEmoticon