Isnin, 7 September 2026

Adik sahkan legenda Harimau Malaya, Abdah berusia 72 tahun nikah gadis 20 tahun


Teka-teki mengenai status legenda bola sepak negara, Datuk Abdah Alif akhirnya terjawab apabila adiknya, Datuk Yunus Alif mengesahkan abangnya itu baru sahaja melangsungkan perkahwinan.


Yunus yang juga bekas pemain kebangsaan dan jurulatih berkata, Abdah, 72, melangsungkan pernikahan pada 27 Ogos lalu di Kuala Terengganu, dengan kedua-dua keluarga merestui perkahwinan berkenaan.


"Mungkin sekarang tengah berbulan madu. Sebab itu tak angkat (Datuk Abdah Alif) panggilan. Betul mereka dah nikah, dan kita doakan terbaik buat mereka berdua," katanya ketika dihubungi hari ini.


"Alhamdulillah mereka baru saja nikah pada 27 Ogos lalu. Kedua-dua keluarga bersetuju jadi tak ada masalah. Kita doakan agar mereka berdua berbahagia.


Pengesahan itu sekali gus menjawab persoalan selepas gambar Abdah bersama pasangannya yang difahamkan berusia 20 tahun tersebar di media sosial dan mencetuskan perhatian peminat bola sepak tempatan.


Yunus pada masa sama mendoakan agar perkahwinan abangnya bersama pasangan pilihan hati itu terus berkekalan dan dikurniakan kebahagiaan hingga ke akhir hayat.


"Semoga mereka bahagia dan kekal hingga ke Jannah," katanya.


Sebelum ini, meja sukan cuba mendapatkan pengesahan daripada Abdah berhubung gambar perkahwinan berkenaan, namun bekas pemain handalan Harimau Malaya itu gagal dihubungi.


Abdah bukanlah nama asing dalam lipatan sejarah bola sepak negara apabila menjadi antara tonggak penting skuad kebangsaan ketika era kegemilangan Harimau Malaya pada penghujung 1970-an dan awal 1980-an.


Malah, beliau antara pemain yang membantu Malaysia melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Moscow 1980 selepas skuad negara menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi penentuan.


Abdah ketika itu berada dalam satu generasi yang cukup disegani dan beraksi bersama barisan legenda seperti Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Datuk Jamal Nasir Ismail dan ramai lagi.


Bagaimanapun, Abdah dan rakan-rakan sepasukan tidak berpeluang beraksi di pentas Olimpik apabila Malaysia mengambil keputusan memboikot temasya Moscow 1980 sebagai tanda bantahan terhadap pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.


Kini, selepas sekian lama meninggalkan pentas persaingan bola sepak, nama Abdah kembali menjadi perhatian peminat selepas berita perkahwinan terbaharunya disahkan oleh adiknya sendiri.


Dengan restu kedua-dua keluarga, Yunus berharap perkahwinan legenda Harimau Malaya itu terus dilimpahi kebahagiaan dan berkekalan hingga ke Jannah.



EmoticonEmoticon