Jumaat, 5 November 2021

Ikan Siakap Dijual RM1,196 Diternak 11 Tahun Diberi Makan Ikan Kecil Yang Segar


LANGKAWI - Pemilik Restoran Terapung Sas Rimba, Norasyikin Musa terkilan selepas pelanggan berperwatakan alim bertindak menularkan harga ikan siakap di restorannya terlampau mahal. Malah dia turut mempersoalkan tujuan sebenar pelanggan terbabit yang menularkan perkara itu.


"Ketika mengambil pesanan, saya ulang banyak kali bahawa ikan (yang dipilih) itu besar sambil saya tunjuk dengan isyarat tangan anggaran saiz ikan," katanya ketika ditemui di restorannya di Kilim Geoforest Park di sini, hari ini.


Beliau berkata, selepas selesai makan kumpulan sembilan pelancong terbabit tidak datang berjumpanya untuk bertanyakan mengenai harga yang dikenakan.


"Ketika melangkah meninggalkan restoran mereka juga tidak cakap apa-apa mengenai bayaran yang pihak kami kenakan ke atas ikan siakap yang dimasak menu tiga rasa dan stim limau itu.



Katanya, ikan siakap seberat 7.48 kilogram berkenaan telah diternak selama 11 tahun dan diberi makan ikan kecil yang segar dan bukannya dedak seperti kebanyakan sangkar ikan komersial lain.


"Kita tak bagi makan dedak, kita bagi ikan kecil yang dibeli daripada nelayan lain yang baru ditangkap kepada ikan-ikan yang dibela di dalam sangkar di sini.


"Bayangkan 11 tahun saya bela ikan tu, berapa banyak kos untuk ikan tu? Berapa ratus kilogram yang ikan itu sudah makan, tak mungkin saya nak jual dengan harga seperti ikan yang seberat dua kilogram?" katanya.


Tambahnya, kos operasi restoran terapung adalah tinggi dan boleh mencecah sehingga RM7,000 sehari, serta kos operasi lain seperti minyak bot yang digunakan untuk membawa bahan masakan dan kos penyelenggaraan restoran juga adalah lebih tinggi kerana kedudukannya yang terapung mengikut pasang surut air laut.


Menurutnya, pengawal keselamatan juga perlu diupah bagi memastikan ikan yang dibela tidak dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab kerana kawasan sangkar tersebut adalah sangat gelap apabila malam tiba.


Jelas Norasyikin, ini bukan kali pertama dia menjual ikan yang bersaiz besar daripada biasa kepada pengunjung yang datang ke restoran tersebut.


"Kalau ada permintaan oleh pelanggan, saya tetap menjual ikan tersebut, tetapi saya tetap akan maklumkan ikan tersebut adalah sangat besar berbanding ikan lain yang mempunyai berat sekitar 800 gram ke dua kilogram.


"Sebelum ini, pelanggan yang menempah ikan tersebut bersetuju apabila dimaklumkan mengenai saiz ikan dan tidak pernah timbul masalah seperti ini," ujarnya.


Semalam, tular dalam media sosial gambar resit menunjukkan sekumpulan individu terpaksa membayar RM1,196 bagi hidangan seekor ikan siakap dengan berat sekitar tujuh kilogram.


Sementara itu, empat Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Langkawi turut kelihatan melakukan siasatan di restoran berkenaan hari ini.


Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Langkawi, Abdul Rafar Wahid berkata, pihaknya sedang menyiasat dan mengumpul maklumat kejadian daripada pengadu dan peniaga. Katanya, maklumat sudah diperolehi dari kedua-dua pihak dan siasatan lanjut sedang dijalankan secara adil.


Norasyikin menunjukkan menu masakan di restorannya yang memaparkan berat ikan dikira menggunakan sukatan gram dan lengkap dengan harga. - Foto Hamzah Osman.

Norasyikin Musa (kanan) menunjukkan ikan siakap yang dibela untuk pertunjukan di restorannya. - Foto Utusan Malaysia.


EmoticonEmoticon